Skip Ribbon Commands
Skip to main content

TITAH

Manage PermissionsManage Permissions
Titah Perutusan Khas KDYMM Berkenaan Jangkitan Wabak COVID-19

TITAH PERUTUSAN KHAS 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
BERKENAAN 
JANGKITAN WABAK COVID-19


PADA: 
HARI SABTU
21HB MAC 2020


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Rakyat Beta yang dikasihi!

Kita pada sa’at ini sedang diuji, dengan COVID-19. Tetapi kita bukanlah bersendirian, malah seluruh dunia. Wabak ini telah menular dengan pantasnya melanda 180 buah negara, dengan melebihi 260,000 kes, yang menyebabkan lebih 11,000 kematian. 

Selama tiga (3) bulan dari wabak bermula, Brunei Darussalam masih saja bebas dari COVID-19, sedang banyak negara di dunia sudahpun mengalaminya. Namun dengan takdir Allah, Brunei kini, juga telah turut dilanda.
 
Punca wabak menjejaki Brunei telah dikenal pasti, iaitu apabila sekumpulan orang Brunei menyertai perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur, Malaysia. Kes pertama dikesan ialah pada 3 Mac 2020 dari seorang lelaki warga tempatan berumur 53 tahun. Sehingga kini, jumlah jangkitan telahpun meningkat. 

Kita berharap, akan dapat membendung jangkitan-jangkitan baru dengan izin Allah.
 
Sesungguhnya kita tidaklah boleh leka untuk menangani kes ini. 

Dari perkembangan yang berlaku di seluruh dunia, semua orang boleh menjangkakan, bahawa wabak ini mungkin menjadi ancaman bagi jangka masa yang panjang.
 
Kerana itu, Brunei mesti bersedia secara bersepadu untuk membentengi diri daripada wabak ini. Secara fizikal, kita didorong untuk mengutamakan kebersihan, menggunakan topeng muka dan hand sanitizer. Tetapi ini saja belum memadai, melainkan mesti juga komited dengan faktor psikologi, iaitu bersabar dan bertenang serta yakin kepada pertolongan Allah. 

Perlu diingat, ancaman sekarang bukan datang daripada angin ribut atau api atau banjir besar. Kalau ancaman itu datangnya daripada anasir-anasir ini, maka kita masih saja boleh mengarah unit-unit keselamatan untuk membantu. Tetapi ini COVID-19, seperti juga wabak-wabak yang lain misalnya SARS, kita sesungguhnya tidak dapat  bergantung sepenuhnya kepada unit-unit tersebut untuk membantu.
 
Tetapi apa yang sebenar-benarnya diperlukan ialah, rawatan dan pencegahan melalui pelbagai cara, seperti menghindari perkumpulan ramai, memakai penutup muka, menggunakan cecair pembunuh kuman, mengadakan sekatan-sekatan keluar dan masuk apabila diperlukan dan membanyakkan do’a. 

Ini semua menjadi tanggungjawab kita bersama. Jangan siapa yang lari dari tanggungjawab ini. Contoh orang lari dari tanggungjawab ialah, seperti tidak mengikuti peraturan atau enggan untuk mematuhi arahan. 

Semua orang tidak wajar mengambil sikap yang bercanggah dengan etika dan ugama, seperti enggan untuk menjalani ujian atau rawatan, dengan alasan-alasan yang mengelirukan, seperti semata-mata ingin bertawakal. Setahu Beta, tawakal itu paksinya ialah ikhtiar atau usaha, bukannya dengan melulu begitu sahaja.

Kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah meningkatkan kapasiti tenaga kerja, bukan sahaja bilangan doktor dan jururawat, malahan juga keupayaan-keupayaan klinikal sekaligus akan dipertingkatkan. 

Bagi meningkatkan keupayaan penganalisaan makmal, Beta telah memperkenankan pembinaan makmal virologi tambahan, yang akan ditempatkan di Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan. Makmal tambahan ini dijangka mampu untuk meningkatkan keupayaan penganalisaan sehingga sepuluh kali ganda, dan dapat mengeluarkan keputusan ujian dengan lebih cepat. 

Hukum syara’, telahpun menggariskan panduan berasaskan Al-Qur’an, untuk kita tidak mencampakkan diri kepada kebinasaan. Sementara hadith-hadith Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wassallam pula dengan tegasnya melarang, dari memasuki mana-mana tempat atau bumi yang berlaku di dalamnya ta’un (penyakit berjangkit) dan tidak boleh meninggalkan tempat itu setelah memasukinya, dan bahkan, hadith juga mengingatkan, supaya lari daripada penyakit itu. 

Beta menyedari, semua kita mengalami kejutan. Tetapi hendaknya, tidak sampai ke tahap panik, kerana panik itu berisiko untuk menggugat ketenteraman. 

Bagaimanapun, telah kedengaran, terdapat segelintir masyarakat yang membuat pembelian panik barang-barang asasi, sehingga menyebabkan berkurangnya secara drastik bekalan beras di kedai-kedai dalam negara ini.

Untuk perhatian semua rakyat dan penduduk, bahawa Kementerian Kewangan dan Ekonomi telah mengesahkan bahawa stok beras dan gula adalah mencukupi bagi keperluan seharian dan jadual waktu penjualannya kepada syarikat-syarikat di Stor Negara juga adalah dipanjangkan, dibuka pada setiap hari, termasuk hari-hari Jumaat, Ahad dan Kelepasan Awam. 

Diingatkan kepada para peniaga supaya jangan sekali-kali mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan, dan jika didapati berlaku, Kerajaan Beta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. 

Selaku bangsa yang berakidah, disamping meneruskan usaha-usaha bersifat jasmani (fizikal), kita juga dituntut untuk menggandakan usaha-usaha bersifat kerohanian(spiritual) dengan membanyakkan do’a dan zikir kepada Allah serta melakukan Amar Ma’ruf dan Nahyi Munkar. 

Disinilah budaya kita berbeza. Kita tahu, wabak ini bukan wujud dengan sendirinya, tetapi datang daripada, siapa yang bernama ‘Maha Pencipta’. Tiada siapa dikalangan kita yang tahu mengapa ia didatangkan. Tetapi bercermin kepada peristiwa-peristiwa yang dirakam dalam Al-Qur’an, maka dapatlah difahami, bahawa setiap bala atau musibah atau wabak itu adalah ia satu peringatan atau hukuman atau intiqam daripada Allah.

Cuma satu sahaja harapan yang tinggal, iaitu kita sama-sama datang kepada Allah dengan merendah diri, mengaku berdosa sambil memohonkan belas kasihan-Nya. Ya Allah, pelihara dan selamatkanlah kami dari wabak yang dahsyat ini. Hanya Engkau jua sebaik-baik pemeliharaan itu.

Kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama, pandu dan bimbinglah rakyat untuk berdo’a dan berzikir. Sediakan teks do’a dan zikir itu untuk kemudahan. Utamakan yang mudah-mudah tetapi warid, supaya senang bagi orang ramai melakukannya. Insya Allah, melalui usaha yang sangat berkebajikan ini, semoga Allah menerimanya.

Bagi mengakhiri perutusan ini, Beta dengan rendah hati mengucapkan penghargaan dan terima kasih, terutama kepada para petugas kesihatan dan jururawat, para penjawat awam sekaliannya, khasnya askar dan polis yang sama-sama bertungkus lumus menyumbangkan tugas masing-masing tanpa mengira masa, dan bahkan tidak dilupakan juga semua pihak, termasuk para sukarelawan yang turut menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung bagi menangani wabak COVID-19 ini. Semoga Allah memberkati usaha kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 


Attachments