Titah KDYMM Sempena Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-35 Negara Brunei Darussalam
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KEMUNCAK SAMBUTAN HARI GURU NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KALI KE-35 TAHUN 2025
PADA HARI SELASA
1 RABIULAKHIR 1447 / 23 SEPTEMBER 2025
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Segala puji dan syukur bagi Allah Subhanahu Wata’ala kerana mengizinkan kita dapat berhimpun di Majlis Sambutan Hari Guru kali Ke-35 sebagai tanda menghargai dan mengiktiraf jasa dan dedikasi para guru.
Guru adalah nadi utama dalam menjayakan transformasi pendidikan. Sesuai dengan tema kita tahun ini iaitu “Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi”, ianya bukan sahaja mencerminkan peranan penting guru sebagai pemacu kepada transformasi ke arah masa depan yang lestari dan berdaya tahan. Di samping itu, guru juga berperanan sebagai agen perubahan bagi memupuk dan mencetuskan pertumbuhan dan perkembangan inovasi dalam kurikulum pendidikan.
Beta mengambil maklum bahawa dengan kepesatan teknologi digital, semakin banyak sumber-sumber rujukan dan juga alat-alat bantu belajar yang tersedia. Penggunaan teknologi terutama teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence, AI) semakin memudahkan tugasan. Generasi masa kini semakin banyak bergantung kepada AI dalam membantu penyelesaian tugasan mereka. Oleh itu, Beta menyeru para guru supaya tidak boleh ketinggalan dalam memanfaatkan kelebihan AI. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama perlu menyediakan peluang pembangunan kapasiti kepada para guru supaya tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa.
Namun pada hemat Beta, kebergantungan yang berlebihan kepada AI boleh melemahkan keupayaan berfikir secara mendalam, dan menjejaskan kreativiti dalam jangka masa panjang. Menyedari akan impak negatif perkara ini maka Beta menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan yang telah menghasilkan sebuah buku Panduan Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan sebagai langkah awal ke arah menyediakan kerangka Kebangsaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pendidikan. Sehubungan itu, sukacita Beta memperkenankan pelancaran buku Gen A.I., Guidance for Education pada hari ini.
Beta berharap buku panduan ini akan dapat memastikan para pelajar dan guru memanfaatkan AI dalam pembelajaran dan pengajaran secara beretika, berhemah, bertanggungjawab dan berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja.
Dasar-dasar pendidikan juga perlu sentiasa dikemaskini seiring dengan perkembangan semasa agar sistem pendidikan negara kekal relevan. Maka ke arah ini, Beta sukacita memperkenankan “Pengemaskinian Klausa dan Terma Rujukan Akta Pendidikan Brunei (Bab 56), yang memberi kuasa kepada Lembaga Peperiksaan Negara Brunei Darussalam untuk menganugerahkan kelayakan dan pensijilan bagi mata pelajaran tempatan di peringkat Menengah Atas dan Pra-Universiti”.
Pengemaskinian ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan Negara Brunei Darussalam, dan sekali gus memastikan kelayakan yang dianugerahkan akan terus mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Kerajaan Beta juga turut menitikberatkan usaha untuk memperluaskan peluang pembelajaran di semua Institusi Pengajian Tinggi, termasuk Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dengan mempelbagaikan lagi program pengajian selaras dengan keperluan semasa. Sehubungan ini, Beta sukacita memperkenankan “Garis Panduan bagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta untuk menawarkan Program Hasilan Sendiri dan menganugerahkan Kelulusan-Kelulusan dalam Brunei Darussalam Qualification Framework (BDQF)”. Dengan adanya garis panduan ini, kualiti program-program yang ditawarkan akan lebih relevan dengan keperluan negara, seterusnya meningkatkan kredibiliti IPTS.
Pada hemat Beta, kejayaan di peringkat Pengajian Tinggi ini akan banyak bergantung kepada kualiti pendidikan asas yang diterima di peringkat Pendidikan Awal Kanak-Kanak lagi. Oleh itu, Beta merasakan adalah sesuai bagi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan kerjasama pihak-pihak berkepentingan, untuk melakar sebuah Kerangka Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang Komprehensif. Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak di negara ini menerima asas pendidikan yang holistik, inklusif dan berkualiti tinggi sejak peringkat awal lagi dengan mengambil kira juga kepentingan Pendidikan Agama.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan Selamat hari Guru kepada seluruh warga guru di negara ini. Beta berdoa semoga segala sumbangan para guru dalam mendidik anak bangsa akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Aamiin.
Kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru, Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan berharap semoga penganugerahan ini akan menjadi motivasi untuk terus menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara demi masa depan anak bangsa kita.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
