Titah KDYMM Di Majlis Bersama Penuntut-Penuntut Berserta Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Di Malaysia

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT
BERSERTA RAKYAT DAN PENDUDUK
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MALAYSIA
 
PADA:
03 JAMADILAWAL 1447 / 25 OKTOBER 2025​

BERTEMPAT:
HYATT REGENCY HOTEL AT KL MIDTOWN
KUALA LUMPUR, MALAYSIA

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah Beta hadir bersama-sama Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Malaysia, termasuk para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Melalui majlis ini, Beta berpeluang mendekati dan berinteraksi dengan rakyat Beta, lebih-lebih lagi para pelajar yang sedang menuntut di sini. Para pelajar yang melanjutkan pengajian di luar negara seperti Malaysia, adalah berpeluang untuk memperolehi pendedahan dan persekitaran berbeza. Ini sangat baik untuk mengasah “bakat berdikari” dalam masa berjauhan dengan ibu bapa.

Bagaimanapun, Beta yakin para ibu bapa tetap sahaja memberi sokongan berupa do’a yang tidak putus-putus untuk keselamatan dan kejayaan anak-anak mereka.

Ini adalah wajar, berdasarkan beberapa kejadian buruk telah berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Kejadian-kejadian ini tentu sahaja merisaukan pihak kerajaan dan ibu bapa. Oleh itu, berhati-hati dalam perkara pergaulan dan memilih kawan adalah sangat penting untuk diambil ingatan, sebagaimana ugama kita sendiri menggalakkan untuk memilih kawan yang baik yang berakhlak mulia.

Tugas para pelajar ialah untuk meraih kejayaan. Namun apabila sudah berjaya, janganlah lekas selesa dengan kejayaan itu. Maksud Beta, kejayaan mendapat skor yang baik di atas kertas belum mencukupi, melainkan kejayaan yang sebenar-benarnya ialah kita berupaya mengembangkan potensi diri, meliputi segi-segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Beta gembira mengetahui bahawa, para pelajar terus mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang bermanfa’at yang berupaya untuk menambahkan kemahiran yang diperlukan oleh negara.

Menyentuh mengenai inovasi, para pelajar hari ini sedang melalui proses pembelajaran yang semakin mencabar, dimana penggunaan Kecerdasan Buatan atau AI telah memberikan impak besar terhadap cara pengurusan dalam ekosistem pendidikan. Penggunaan Generatif AI menawarkan pelbagai kelebihan pembelajaran yang lebih efektif dan berimpak tinggi. Namun, hendaklah perkara itu digunakan secara berhemah dan berintegriti. Kebergantungan kepada AI secara berlebihan, tentu sahaja boleh mengancam pembangunan kemahiran lain seperti pemikiran kritis dan kreativiti. Kita boleh gunakan AI sebagai alat bantu, tetapi bukan untuk menggantikan usaha dan kebijaksanaan.

Selain perubahan dalam ekosistem pendidikan, beta juga ingin menzahirkan kebimbangan terhadap pengaruh negatif yang semakin meluas yang mencakupi pelbagai aspek. Gejala penyalahgunaan dadah, rokok elektronik atau vape bukan sahaja boleh merosakkan kesihatan tetapi juga mampu untuk melumpuhkan prestasi akademik dan reputasi pelajar. Gejala buli juga, dalam apa jua bentuknya perlu dicegah kerana aktiviti buli bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa buli tapi juga pembuli sendiri.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan supaya para pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini akan sentiasa berada dalam perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala. Semoga Allah memberkati kita semua dan negara dengan keamanan, kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan yang berpanjangan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.
 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***