SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, TIMBALAN SULTAN
DI MAJLIS PERASMIAN
PERSIDANGAN ANTARABANGSA MAZHAB SYAFI’I
BERSEMPENA 60 TAHUN INSTITUSI FATWA DI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
ANJURAN
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) DAN JABATAN MUFTI KERAJAAN,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
PADA
HARI SELASA, 6HB ZULHIJJAH 1446 BERSAMAAN 3HB JUN 2025
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua dapatlah kita sama-sama menghadiri Persidangan Antarabangsa Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam pada pagi ini.
Dalam majlis ilmu yang berkat ini, Saya sukacita menzahirkan rasa syukur atas pencapaian Institusi Fatwa di negara ini yang dilihat berjaya memainkan peranannya dalam mengeluarkan Fatwa dan Irsyad kepada masyarakat. Fatwa dan Irsyad adalah pasak memelihara keharmonian hidup berugama sesuai dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jama’ah Mazhab Syafi’i.
Penubuhan Institusi Fatwa di Brunei Darussalam bermula pada tahun 1962, diilhamkan oleh Paduka Ninda, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien yang sangat menitikberatkan semua urusan yang berkait dengan ugama Islam.
Pada tahun tersebut, satu bahagian yang bertanggungjawab dalam hal ehwal fatwa telah ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Ugama sebagai langkah awal memperkukuh kedudukan fatwa dalam sistem pentadbiran ugama negara.
Institusi Fatwa dalam sesebuah negara, khasnya di rantau ini adalah sangat mustahak untuk dipelihara, kerana ia bukan sahaja menjadi rujukan tertinggi dalam semua permasalahan agama, malahan juga menjadi tunjang kepada dasar-dasar negara. Tidak syak lagi keputusan yang dikeluarkan oleh Institusi Fatwa akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.
Institusi Fatwa juga turut memainkan peranan penting dalam melahirkan ulama. Ulama adalah pewaris nabi-nabi yang mampu untuk membimbing ummah dengan ilmu mereka.
Menyentuh tema persidangan adalah berbunyi “Mazhab Syafi’i Dalam Era Digital: Relevan dan Cabaran”, Saya melihat ia sangat bertepatan dengan realiti semasa, khususnya bagi membincangkan keperluan mazhab dalam menghadapi arus pemodenan teknologi.
Pertemuan ulama dan ilmuwan Islam serantau dalam persidangan ini sudah setentunya akan membuka ruang berharga untuk meneliti isu-isu tersebut secara ilmiah dan mendalam. Antara isu yang semakin mendesak pada era digital ini ialah fenomena fatwa yang mudah diakses secara tidak terbimbing. Masyarakat mudah mendapatkan pandangan ugama melalui media sosial tanpa menilai kesahihan dan kesesuaiannya dalam konteks tempatan.
Dalam pada masa yang sama, sesiapa pun boleh mengaku sebagai “mufti” atau “ustaz” dalam dunia digital dan alam maya. Lebih membimbangkan lagi, segelintir masyarakat pula, mula mengenepikan autoriti rasmi dalam hukum-hakam dengan memilih “ulama digital” untuk memberikan jawapan segera terhadap persoalan-persoalan mereka.
Isu-isu sebegini, jika tidak ditangani dengan bijaksana, ia berpotensi untuk menimbulkan kekeliruan yang besar dalam kalangan umat Islam, malahan boleh menggugat kedudukan dan kelangsungan Mazhab Syafi’i di rantau ini. Oleh itu, Saya berharap dalam perhimpunan para tokoh dan sarjana di persidangan ini, beberapa strategi berkesan akan dapat dikenal pasti bagi menanganinya.
Seiring dengan perkembangan era digital yang pesat dan mencabar, Institusi Fatwa serta Fuqaha dalam Mazhab Syafi’i perlulah mengukuhkan kehadiran mereka dalam ruang digital. Pembangunan platform fatwa digital yang berwibawa, yang mudah diakses dan mesra pengguna adalah amatlah penting.
Usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kedudukan Mazhab Syafi’i, bahkan menjadi benteng kepada masyarakat daripada terpengaruh dengan pandangan yang cuma berasaskan populariti tetapi tidak mempunyai sandaran sahih dalam ugama.
Akhirnya, Saya tidak lupa merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan Jabatan Mufti Kerajaan, selaku penganjur utama, berserta semua organisasi dalam dan luar negara yang turut bekerjasama menjayakan persidangan ini. Saya juga mengalu-alukan kehadiran para delegasi dari luar negara ke Negara Brunei Darussalam, dan mengucapkan selamat bersidang serta bermuzakarah.
Saya mendo’akan agar hubungan erat antara para ilmuwan, pakar dan sarjana rantau ini akan terus diperkukuh demi memartabatkan lagi kedudukan Islam di Asia Tenggara.
Dengan bertabarruk mengambil berkat Kalimat Suci, Bismillah Hir Rahman Nir Rahim, maka Saya rasmikan Persidangan Mazhab Syafi’i bersempena 60 Tahun Institusi Fatwa di Negara Brunei Darussalam, dan seterusnya Saya lancarkan Buku-Buku terbitan terbaharu Jabatan Mufti Kerajaan dan UNISSA.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
***
