SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH

IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ

INSTITUT TAHFIZ AL-QUR’AN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

KALI KEDUA BELAS TAHUN 1446 HIJRAH /2024 MASIHI

 

BERTEMPAT DEWAN UTAMA,

PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS

 

PADA HARI KHAMIS, 1HB RABIULAWAL 1446 BERSAMAAN

5HB SEPTEMBER 2024

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas izin dan limpah rahmat-Nya jua, kita sekali lagi dapat berkumpul di Majlis Haflut Takharruj, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah kali yang kedua belas bagi meraikan dan memberikan pengiktirafan kepada dua puluh (20) graduan Diploma ‘Aliyah Qiraat.

Terlebih dahulu, Saya merakamkan rasa syukur dan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan atas kejayaan yang telah dicapai. Saya percaya majlis ini adalah antara saat yang paling bermakna kepada setiap graduan dalam mengharungi tempoh pengajian selama tiga tahun di peringkat Diploma dan menghafaz 30 juzuk Al-Qur’an dan setentunya akan menjadi kenangan manis yang abadi.

Lebih bermakna lagi, di sebalik pencapaian yang dikecapi ini sudah setentunya ada insan-insan mulia yang sentiasa tetap berdiri teguh menyokong dan memberi semangat yang tidak putus-putus untuk setiap graduan. Mereka adalah para ibubapa termasuk penjaga para graduan. Sekalung tahniah kepada mereka-mereka ini yang sentiasa mendo’akan dan bersedia berkorban masa, tenaga dan wang ringgit sebagai dokongan untuk bersama-sama menyumbang kepada kejayaan bermakna anak masing-masing.

Tidak lupa juga, ucapan penghargaan ditujukan kepada para tenaga pengajar dan seluruh warga institut atas komitmen berterusan dalam mendidik dan membimbing para graduan. Kepada Allah Subhanahu Wata’ala jua dipanjatkan do’a bagi sebaik-baik kurnia ganjaran terhadap semua yang terlibat yang menjadi asbab kejayaan para graduan.

Saya juga bersyukur kejayaan para pelajar dan graduan di Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah adalah juga menyumbang kepada pencapaian Matlamat Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran dan berjaya.

Mereka yang menuntut ilmu di sini merupakan kalangan rakyat Brunei yang terpilih dan menjadi sebahagian aset yang amat berharga kepada pembangunan negara. Setiap ilmu yang ditimba dan kemahiran yang diraih sepanjang pengajian akan dapat memastikan tercapainya aspirasi negara khasnya bagi melengkapi mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran abad ke-21 yang bermanfaat duniawi dan ukhrawi.

Sebagaimana yang disebutkan para ulama bahawa Al-Qur’an itu memiliki banyak nama. Salah satu nama Al-Qur’an adalah ‘Asy-Syifa’ yang bermaksud penawar, iaitu merujuk kepada mafhum Surah Al-Isra, ayat 82:

Dan Kami menurunkan daripada Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman.”

Dalam hubungan ini, Saya sukacita memetik kurnia Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Musabaqah Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1445 Hijrah:

“Memang menjadi dasar Kerajaan menjadikan Al-Qur’an untuk dibaca dan ditadabbur ayat-ayatnya untuk kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Al-Qur’an tidak syak lagi adalah sumber keberkatan dan kekuatan yang tidak ada tolok bandingnya. Sebab itu Negara Brunei Darussalam tidak boleh berenggang dari Al-Qur’an.

Menyebut mengenai penyakit rohani, teringat kita kepada isu gejala mental yang sedang rancak diperkatakan akhir-akhir ini. Pihak berkenaan di negara ini patut sensitif untuk melihat bagaimana cara merawat atau menangani gejala ini dengan Al-Qur’an. Cara itu tentu sahaja ada menurut Al-Qur’an. Inilah namanya kita berpandu kepada Al-Qur’an, dengan memanfa’atkan segala ajarannya bagi mengatasi apa jua masalah yang berkaitan.”

Bersinambung dengan Titah Perutusan sempena Awal Tahun Hijrah 1446, Paduka Ayahanda selanjutnya menitahkan:

“Usaha-usaha yang sedia ada perlu dipertingkatkan lagi, supaya isu ini dapat ditangani dengan lebih berkesan. ‘Program Kesihatan Mental’ secara saintifik dan kerohanian hendaklah diaktifkan melalui pendidikan, terutama Pendidikan ugama dan dakwah secara berterusan. Inilah antara konsep hijrah, iaitu untuk mengubah atau membaiki perkara-perkara negatif kepada positif.”

Dalam hal ini, dengan lahirnya ramai para huffaz ataupun penghafal Al-Qur’an di negara ini, khususnya daripada Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah, akan mampu menyebarluaskan lagi manfaat dan keberkatan Al-Qur’an melalui pembelajaran dan apa jua program mahupun aktiviti yang berkaitan dengan pengamalan bacaan Al-Qur’an, malahan isi kandungannya turut dihayati sebagai panduan cara hidup yang utama.

Pada hemat Saya, untuk mendapatkan penawar ataupun syifa’ daripada Al-Qur’an bukan setakat memperbanyak pembacaannya malahan melestarikan budaya mentadabbur dan tazkirah Al-Qur’an di masjid-masjid termasuk rumah, sekolah, dan pejabat serta di manapun tempat yang bersesuaian Al-Qur’an dilantunkan.

Bagi mencapai hasrat ini, setiap individu muslim perlulah terlebih dahulu menguasai bacaan Al-Qur’an yang pra-syaratnya adalah kesediaan untuk mempelajari ilmu tajwid dan memperhalusi sebutan makhraj dengan penuh teliti secara berperingkat dan berterusan. Melalui kaedah bacaan yang lancar, kedua-dua pembaca dan yang mendengarkannya akan selanjutnya berupaya untuk menghayati dan seterusnya mengundang keberkatan dan rahmat Allah kepada masyarakat dan negara yang kita sama-sama cintai.

Saya seterusnya berpendapat dan yakin, di sinilah ruang kepada para graduan Institut Tahfiz untuk turut berperanan sebagai ejen yang menyambung perjuangan mulia Rasulullah Shallahu ‘Alaihi Wassalam dalam menyebar-luas syiar Islam serta bacaan Al-Qur’an menjurus kepada membantu masyarakat mengukuhkan pengisian kerohanian dan pengukuhan akidah termasuk mengatasi apa jua masalah atau gejala yang berkaitan bersandarkan kepada panduan lengkap seperti terkandung dalam kitab suci Al-Qur’an.

Di samping itu, menjaga akhlak serta memelihara harga diri yang tinggi dengan berterusan beradab dengan adab-adab Al-Qur’an adalah menjurus kepada menzahirkan keperibadian seorang penghafal Kitabullah sebagai bentuk tanda pengagungan diri dan insani terhadap Kalamullah, iaitu Al-Qur’an Al-Karim.

Akhir kalam, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada para graduan termasuk Jemaah Tadbir, ibubapa, penjaga, tenaga pengajar dan seluruh warga Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala membalas segala usaha dan jasa bakti mulia ini dengan balasan yang sebaik-baiknya di sisi-Nya jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​​​