SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
TAHUN 1445 / 2024 MASIHI (MALAM PERTAMA)
DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
HARI SELASA (MALAM RABU)
13 ZULKAEDAH 1445H BERSAMAAN 21 MEI 2024M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, setinggi pujian dan syukur dirafakkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan hidayah-Nya jua, usaha-usaha berterusan senegara dalam menjaga dan memelihara kesucian Al-Qur’an, kitab mukjizat agung yang diturunkan kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sebagai rahmah petunjuk dan pedoman kepada seluruh alam ke arah kecemerlangan kehidupan duniawi dan ukhrawi sepanjang zaman.
Sehingga kini, usaha untuk menghidupkan amalan dan budaya membaca Al-Qur’an, sebagai rutin kehidupan para Muslimin dan Muslimat secara turun temurun di negara ini telah dilaratkan ke hampir setiap bidang pekerjaan dan acara-acara keraian tertentu.
Amalan kerohanian dan zikrullah seumpamanya pada hakikatnya mengundang berkah ke arah semata-mata meraih rahmat serta redha Allah Subhanahu Wata’ala jua. Ianya bertepatan dengan Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Fatir ayat 29 yang mafhumnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa (melazimkan) membaca Kitab Allah (Al-Qur’an) dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian daripada rezeki yang Kami kurniakan kepada mereka, sama ada secara bersembunyi-sembunyi atau secara terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan kerugian”.
Ayat berkenaan memperjelaskan bahawa mereka yang mengamalkan pembacaan Al- Qur’an, mendirikan solat dan menginfaqkan sebahagian rezeki yang dititipkan kepadanya tidak akan mengalami kerugian, malahan mereka akan memperoleh keuntungan yang tidak terbanding di samping meraih balasan pahala yang berlipat ganda di dunia dan akhirat.
Tema “Al-Qur’an PedomanKu” yang membawa maksud Al-Qur’an sebagai panduan yang lengkap dalam kehidupan seseorang, penyuluh cahaya menuju ke jalan yang benar, serta diredhai Allah Subhanahu Wata’ala adalah amat tepat dan relevan.
Dengan memelihara kesucian Al-Qur’an dan menjadikannya sebagai pedoman dapat membimbing dan memberi petunjuk serta solusi dalam setiap persoalan yang meliputi semua aspek kehidupan di dunia yang fana ini dan juga di alam akhirat yang baqa nanti.
Alhamdulillah, di zaman yang penuh liku dan cabaran masakini, Saya gembira dan tertarik mengenai kesinambungan usaha berbagai pihak berkepentingan dalam memantap dan mengukuhkan pendidikan ugama demi membentuk peribadi dan jati diri pelajar yang berakhlak mulia. Keberhasilannya adalah menjurus kepada melahirkan masyarakat beriman dan bertakwa yang sentiasa berpegang teguh kepada pedoman daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Program literasi termasuk pengajian ilmiah yang mendaulatkan kesucian Al-Qur’an yang diterapkan bermula dari peringkat pendidikan rendah hingga ke Institusi Pengajian Tinggi ternyata telah membuahkan hasil, khususnya dalam melahirkan generasi pencinta Al-Qur’an di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Peluang-peluang seumpamanya terus diperluaskan kepada setiap lapisan masyarakat akar umbi termasuk usaha mengintegrasinya ke dalam Sistem Pendidikan Negara.
Ke arah itu, Kerajaan Paduka Ayahanda juga sentiasa memberikan keutamaan kepada menyediakan keperluan tenaga pengajar Al-Qur’an yang khusus di setiap peringkat pendidikan. Keperluannya adalah mengambil-kira peranannya yang signifikan dalam memastikan kelangsungan serta kesinambungan pengajaran kemahiran membaca, pembelajaran, dan seterusnya pengajian kandungan Al-Qur’an yang sempurna sebagai teras menerapkan kekuatan kerohanian dan pedoman kehidupan seawal usia dini.
Pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara 1445 Hijrah, Paduka Ayahanda bertitah menzahirkan hasrat bagi semua anak Brunei untuk pandai membaca Al-Qur’an dengan bertajwid. Ke arah itu, Paduka Ayahanda seterusnya menitahkan “khidmat guru-guru adalah diperlukan untuk melutani pengajaran Al-Qur’an, terutama bagi murid-murid di sekolah rendah yang belum berapa lancar membaca Al-Qur’an, di samping tidak mengabaikan juga pelajar-pelajar di sekolah menengah.”
Ibu bapa dan penjaga adalah juga berperanan utama khususnya dalam bersama- sama membimbing serta mengajak seluruh ahli keluarga dalam melestarikan amalan dan budaya mengaji Al-Qur’an dalam institusi keluarga. Kelangsungan dan keberhasilannya amatlah strategik kepada usaha senegara untuk menjadikan ajaran suci Islam dan Al-Qur’an sebagai utap bagi memperkukuh perpaduan keluarga, dan masyarakat, serta memelihara keharmonian negara dan ummah berpaksikan Falsafah Negara Melayu Islam Beraja.
Berkat kesinambungan usaha senegara yang konsisten dalam memartabat dan mengagungkan kesucian Al-Qur’an, kita memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar mengurniakan hidayah dan petunjuk untuk sentiasa membimbing para pemimpin dan seluruh ahli masyarakat dalam menebarkan amalan dan nilai-nilai murni Islam dengan petunjuk Al-Qur’an. Matlamat hakiki kita adalah untuk mendapatkan ganjaran pahala dan semata-mata meraih syafa’at daripada Ummul Kitab-Al-Qur’an Al-Karim.
Akhirnya, dengan lafaz kalimah agong “Bismillahir Rahmanir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1445 Hijrah.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
***
