SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, ​​MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN
BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1444H /2023M
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
 
PADA
RABU, 16 ZULHIJJAH 1444H BERSAMAAN 4 JULAI 2023M

  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Setinggi-tinggi puji dan syukur dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat bersama di Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan dalam suasana negara yang aman dan makmur dibawah payung kepimpinan Paduka Ayahanda serta kerajaan yang menjadikan Islam sebagai tunjang perlembagaan negara dan pegangan hidup turun-temurun.

Saya difahamkan bahawa musabaqah kali ini merupakan tahun yang Ke-65 ianya diungkayahkan.

Dalam usianya melebihi enam dekad tersebut, alhamdulillah negara telah berhasil melahirkan barisan generasi qari dan qariah kebangsaan yang bersinambung, di samping menempa nama di persada bidang Tarannum Al-Qur’an di peringkat antarabangsa.

Pencapaian ini adalah bukti jelas bahawa syiar Islam dan khasnya usaha menerapkan dan memartabatkan Ummul Kitab Al-Qur’an sebagai panduan kehidupan yang syumul telah berjaya dipertahankan dan diperkukuhkan.

Kejayaan ini adalah berkat kegigihan dan usaha yang konsisten bermula dari kebijaksanaan pucuk kepimpinan Paduka Nenda, Al-Mahrum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan kini Paduka Ayahanda, Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tema yang dipilih tahun ini, ‘Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdoa Menghadapi Ujian : Dengan Petunjuk Al-Qur’an’, memperingatkan kita semua untuk sentiasa kembali kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan Al-Qur’an dalam apa jua keadaan termasuk ketika menghadapi musibah, ujian, atau bencana.

Natijahnya, umat Islam dianjurkan untuk melazimkan diri mengaji atau membaca Al-Qur’an, bermunajat dan mengamalkan doa-doa serta zikir dan wirid, baik ketika bersendirian, mahupun secara berjemaah termasuk bersama keluarga yang menjurus kepada memperkukuhkan kekuatan rohani serta keutuhan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Hakikatnya, setiap manusia serta seluruh makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wata’ala adalah tidak terlepas dari berdepan cabaran dan ujian sepanjang kehidupan masing-masing.

Setiap musibah yang Allah Subhanahu Wata’ala turunkan kepada mana-mana individu dan kelompok manusia adalah merupakan ujian bagi menilai tahap sebenar keimanan hamba-hamba-Nya yang terpilih.

Ringkasnya, setiap musibah yang Allah Subhanahu Wata’ala turunkan kepada seseorang atau kaum mempunyai maslahat tertentu seperti mafhum Surah At-Taghabun, ayat 11:

 “Tiada sesuatu bencana pun yang menimpa melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan mengurniakan petunjuk kepada hatinya (untuk menerima apa yang berlaku dengan tenang dan sabar). Dan Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu”.
 
Musibah atau ujian mungkin saja hadir dalam pelbagai bentuk. Justeru, ketika berhadapan dengan musibah, terdapat beberapa sifat terpuji yang dianjurkan kepada umat Islam antaranya bersabar dan berikhtiar, di samping memanjatkan doa serta bertawakal agar segala urusan dipermudahkan termasuk dikurniakan keringanan.

Dengan demikian, umat manusia adalah dituntut untuk sentiasa mempersiapkan dan melengkapkan diri dengan berbagai bidang ilmu duniawi dan ukhrawi termasuk amalan dan doa tertentu sebagai usaha untuk mendepani sebarang kemungkinan yang lebih buruk sekiranya ditakdirkan ditimpa musibah atau ujian yang mungkin saja disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri.

Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda semasa Majlis Sambutan Nuzul Al-Qur’an Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah menitahkan:

“Semasa berhadapan dengan kepayahan dan kesukaran, sabar adalah menjadi kekuatan untuk bertahan kerana kita tahu bahawa Allah Subhanahu Wata’ala sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar dan adapun ujian merupakan tanda kasih sayang Allah ke atas hamba-Nya, manakala berikhtiar itu pula adalah ibadah”.

Perkara ini berkait rapat dengan maksud hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari : “Apabila kamu ditimba musibah, maka berikhtiarlah, kerana sesungguhnya setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan”.

Pada hakikatnya, kejayaan pengisian iman dan jiwa hanya akan dapat dicapai dengan melazimkan membaca, memahami dan mentadabbur isi kandungan Al-Qur’an sehingga dapat membezakan di antara yang hak dan batil, antara yang ikhlas dan berpura-pura, dan di antara yang membela kebenaran atau sebaliknya memperjudikannya.​

Memperkasakan keupayaan ini amat penting dan semakin relevan dalam zaman serta kehidupan masyarakat semasa yang dipenuhi kekaburan dan kekeliruan berpunca dari kealpaan terhadap tujuan hidup sebenarnya di alam fana ini.

Akhirnya, dengan melafazkan kalimah berkat Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1444 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​