TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1445H / 2024M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul lagi bagi meraikan dan memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Beta menyambut baik tema sambutan pada tahun ini, iaitu Sembahyang Tiang Ugama. Imam at-Tirmizi dalam kitab Jami’nya meriwayatkan daripada Mu’adz bin Jabal Radhiallahu ‘Anhu, bahawa Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda maksudnya: “Asas Ugama (Islam) itu ialah (melafazkan dua kalimah syahadat), sementara tiangnya pula ialah sembahyang dan kemuncaknya berjihad (pada jalan Allah)”.
Demikian hebatnya kedudukan sembahyang itu, sehingga diumpamakan sebagai tiang ugama. Sembahyang adalah ibadat paling utama dalam Islam dan yang pertama akan dihisab di akhirat kelak.
Dalam hubungan ini, kita tidak boleh lihat bahawa bangunan tidak akan terbina tanpa tiang. Maka demikian itulah juga dengan Islam tidak akan tegak terbina tanpa sembahyang, selaku tiangnya.
Sesungguhnya barangsiapa yang menunaikan sembahyang bererti dia menegakkan ugamanya, dan barangsiapa yang meninggalkan sembahyang, bererti dia meruntuhkan ugamanya.
Orang-orang yang sentiasa memelihara sembahyang telah dijanjikan oleh Allah akan memperolehi nikmat kebahagiaan dan keuntungan, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun, ayat 9 hingga 11 tafsirnya: “Dan Orang-orang yang tetap memelihara sembahyang, mereka itulah pewaris-pewaris yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya”.
Untuk menjadi pewaris-pewaris tersebut, pada hemat Beta, pendidikan ugama, mustahaklah sentiasa dititikberatkan. Penekanan secara amali atau praktikal ilmu ugama, seperti cara berwudhu, perbuatan dan bacaan-bacaan dalam sembahyang masih sahaja perlu untuk terus diperkasa, bukan sahaja diperingkat sekolah rendah, malah juga diperingkat yang lebih tinggi. Kerana ibadat sembahyang mempunyai rukun-rukunnya yang perlu dipelajari dan dihalusi, selaku ibadat utama.
Kita sama-sama memahami, bahawa sembahyang itu wajib ditunaikan tanpa mengira keadaan fizikal seseorang, sama ada dia berupaya atau kurang upaya (OKU), sihat atau pun sakit dan seumpamanya, selagi akal masih waras.
Kerana itu, pihak-pihak agensi yang berkenaan sangatlah mustahak untuk mengadakan pelbagai program pengukuhan ugama di tempat-tempat yang sesuai termasuk masjid dan seumpamanya.
Beta amat gembira dengan usaha Kementerian Hal Ehwal Ugama melibatkan pelbagai agensi dan badan-badan persatuan termasuk kalangan belia bagi sama-sama menyemarakkan lagi suasana keilmuan dan peribadatan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat termasuk dalam bangunan-bangunan Kementerian atau Jabatan. Beta melihat, satu contoh pengisian yang bagus ialah ‘program munajat’ yang diisikan dengan bacaan surah-surah pilihan, zikir-zikir, do’a dan tazkirah, yang sehingga kini masih terus dilaksanakan. Pada hemat Beta, program ini boleh diperkasakan lagi.
Maka melalui majlis yang penuh berkat ini, Beta ingin menekankan supaya pihak-pihak berkenaan akan sama-sama memastikan bahawa program pendidikan adalah benar-benar terarah dan terlaksana dengan sebaik-baiknya tanpa mengabaikan kemudahan pendidikan bagi orang kurang upaya (OKU). Insya Allah, dengan cara demikian, bangsa dan negara ini akan beroleh berkat dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
