TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS MUSABAQAH
MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR ANTARABANGSA
BAGI TAHUN 1443 HIJRAH / 2022 MASIHI
 
PADA HARI KHAMIS MALAM JUMA’AT
05 SAFAR, 1444 / 01 SEPTEMBER, 2022
 
TEMPAT:
DEWAN PLENARI,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
BERAKAS
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat-Nya jua, dapatlah kita menghadhiri Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan kali yang ke-63 pada tahun ini.

Sudah setentunya perkara ini tidak akan berlaku tanpa izin Allah Subhanahu Wata’ala dan usaha ikhlas daripada semua peringkat, sama ada kerajaan mahupun masyarakat.

Menyebut usaha sebagai salah satu sebab untuk memperolehi apa yang dihajati, maka tidaklah memadai usaha tersebut cuma bersifat duniawi semata-mata, malah selaku umat berakidah, kita juga dituntut untuk mengimbanginya dengan usaha-usaha yang bersifat ukhrawi. Salah satu usaha bersifat ukhrawi itu ialah dengan mendampingi Al-Quran.

Mendampingi Al-Quran bererti membaca dan beramal dengan ajaran-ajarannya. Ini, adalah satu usaha yang dijamin dapat meraih keselamatan, sebagaimana tafsir ayat 16, surah Al-Maidah, bahawa:

“Dengan (Al-Quran) itu, Allah akan tunjukkan jalan-jalan keselamatan dan kesejahteraan kepada sesiapa saja yang mematuhi (apa-apa jua) yang di-redhai-Nya, dan (dengannya juga) Allah akan keluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang. (Demikian) dengan izin-Nya, Dia menunjukkan mereka jalan yang lurus.”

Alhamdulillah, sejak berkurun lamanya, kita di negara ini tidak pernah meminggirkan Al-Quran dan ajaran ugama. Malah kita selamanya bersuluh dengan Al-Quran dan ugama, sehingga datanglah petunjuk Allah kepada kita untuk memartabatkan Ugama Islam sebagai Ugama Rasmi Negara.

Ini adalah bukti, bahawa menghayati Al-Quran dan ajaran-ajaran Islam itu sudah menjadi darah daging kita orang-orang Brunei.

Mengapakah ini menjadi kemestian bagi kita? Kerana Al-Quran dan Islam adalah cahaya yang mampu untuk menerangi segalanya, termasuk mampu untuk melindungi kita dan negara daripada anasir-­anasir perosak, sama ada anasir itu nampak mahupun tidak nampak. Contoh anasir yang tidak nampak ialah seperti musuh dalam selimut dan makhluk dari kalangan jin dan syaitan.

Maka memang sangat bertepatan jika tema Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini, berbunyi: “Bertemankan Al-Quran Sepanjang Zaman.”

Maksud berteman dengan AI­-Quran itu, tidak lain dari menjadikannya sebagai ‘pendamping’ untuk dibawa ke mana saja, dibaca dan diamalkan pengajarannya, sehingga dengan itu insya Allah, dapatlah kita menunggu keberkatan dan syafa’at daripadanya.

Jika ini berlaku, maka barulah dapat dianggap sebagai tercapai maksud berdamping dengan Al-Quran itu. Sayugia pihak yang mencipta tema akan dapat menghurai dan memahamkan perkara ini kepada umum untuk dihayati, bukan setakat mengungkapkannya di atas kertas sahaja.

Akhirnya, Beta sukacita merakamkan ucapan tahniah kepada johan qari dan qariah dan juga peserta yang berjaya ke peringkat akhir pada tahun ini. Menang dalam musabaqah bukanlah matlamat utama, tetapi memperdengarkan bacaan yang baik adalah lebih mustahak untuk diberikan perhatian.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.