TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA HARI RAYA ‘IDIL ADHA TAHUN 1443H/2022M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Dengan rahmat serta izin Allah jua, dapatlah kita menyambut lagi ‘Idil Adha Al-Mubarak dengan membanyakkan takbir dan tahmid memuji Allah. Pada hari pertama, kita akan bergerak ke masjid atau ke surau atau ke balai ibadat untuk menunaikan sembahyang sunat ‘Idil Adha, yang diikuti selepas itu sehingga akhir Hari Tasyriq kita menyembelih korban.

Inilah unik dan indahnya suasana ‘Idil Adha itu. Suasana ini bukan kita yang mencipta atau dengan sesuka hati kita mencorakkannya. Tetapi ia adalah perkara yang telah disyari’atkan.

Setelah berlalu beberapa tahun sehingga sekarang, kita masih saja menyambut ‘Idil Adha dalam keadaan tertekan disebabkan wabak koronavirus. Dan belum pun berakhir wabak ini, tiba-tiba muncul pula kes jangkitan baru, Cacar Monyet (Monkeypox).

Setakat pertengahan Jun 2022 yang lalu, sejumlah lebih dari dua ribu kes jangkitan telah disahkan dikalangan 36 buah negara di dunia. Ini, sudah tentu merupakan ancaman baru yang tidak boleh dipandang ringan. Semoga negara kita, dipayungi oleh Allah dengan rahmat perlindungan-Nya.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Apapun yang berlaku, Brunei Darussalam tidak akan berpaling dari Allah. Apa jua situasi mendatang, semuanya itu akan kita hadapi dengan sabar dan dengan ikhtiar-ikhtiar biasa, lebih-lebih lagi dengan ikhtiar keugamaan.

Oleh kerana ancaman wabak dan musibah silih berganti, maka kedengaranlah beberapa badan tertentu dan juga pakar-pakar memberi amaran, tentang wujudnya kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal.

Diantara amaran itu, turut datang dari pihak Badan Dunia (PBB) yang menyebut bahawa: ”Hampir satu billion penduduk dunia, termasuk berjuta kanak-kanak dan golongan muda mengalami gangguan kesihatan mental.”

Gangguan mental boleh berlaku kerana hati tidak tenang atau takut melampau, sehingga memungkinkan pengidapnya memerlukan beberapa jenis rawatan seperti kaunseling psikoterapi dan pengambilan ubat psikotropik daripada doktor-doktor pakar mental.

Ini, baru satu ikhtiar biasa. Tetapi kita orang Islam ada ikhtiar khusus yang namanya ikhtiar keugamaan, yang sayugia jangan dilupa atau diabaikan, walaupun kiranya ikhtiar biasa telah atau sedang dilalui, tetapi ikhtiar khusus atau ikhtiar keugamaan ini diyakini lebih efektif untuk merawat gejala mental.

Mengapa kita meyakininya demikian itu? Kerana ikhtiar keugamaan itu adalah datangnya daripada Allah sendiri sebagai ‘petunjuk’. Sesungguhnya petunjuk Allah itu, semuanya adalah lurus dan benar belaka.

 Adapun petunjuk untuk merawat gejala mental itu, kita boleh temui di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28, Allah berfirman, tafsirnya: ”Orang-orang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenang tenteram (sihat) ialah dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah (sahaja) hati-hati manusia menjadi tenteram.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Yang dimaksudkan dengan mengingati Allah disini, ialah berzikir dengan hati dan berlafaz dengan lidah. Dalam makna membanyakkan zikir dengan menyebut, seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar, berdoa, berselawat dan membaca al-Qur’an. Ini semua, menurut petunjuk ayat di atas, adalah paling berkesan untuk merawat gejala mental.

Berbetulan dengan saat-saat penuh berkat ‘Idil Adha ini, maka marilah kita sama-sama memeriahkan negara, terutama dengan takbir, tasbih dan tahmid serta lain-lain lagi unsur zikir. Semoga dengan itu, semua musibah akan terdinding, dan gejala mental juga, jika ada, akan terubat.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Beta yakin, para jemaah haji kita yang sedang berada di Tanah Suci pada masa ini, tidak terkecuali sibuk berzikir dan melakukan pergerakan-pergerakan menyempurnakan ibadat haji. Beta berdoa, semoga sekalian mereka hendaknya berada dalam sihat ‘afiat dan beroleh haji yang mabrur.

Akhir kalam, Beta dan keluarga Beta mengambil peluang untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Korban kepada seluruh rakyat dan penduduk yang berugama Islam di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.