TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1443H/2022M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Bersyukur kita kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat pula memasuki gerbang Syawal untuk menyambut ‘Idil Fitri yang mulia. 1 Syawal adalah detik istimewa bagi kita umat Islam dimana saja berada. Ia merupakan detik yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua.

Kita orang-orang Islam berhari raya, bukanlah saja-saja seperti bersukaria biasa, tetapi sukaria kita adalah disandarkan kepada kejayaan kita menyempurnakan ibadat puasa. Kerana itu, cara kita menyambutnya, kita dahulukan dengan takbir dan tahmid serta Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri, sebagai tanda kita bersyukur.

Bersyukur dengan memuji dan membesarkan Allah Subhanahu Wata’ala adalah budaya kita orang-orang Brunei. Budaya ini mesti dikekalkan dan bahkan mustahak untuk dihayati oleh segenap lapisan.

Dalam susah dan senang kita, kita tidak mahu berenggang dengan Allah, tetapi mahu, untuk selama-lamanya bersama dengan Allah. Jika kita mengadu, kita mengadu kepada Allah, dan jika kita memohon, hanya memohon kepada Allah jua.

Inilah pegangan kita orang-orang Brunei. Pegangan ini, hendaknya akan terus berkekalan.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Sudah masuk tiga tahun kita menghadapi wabak koronavirus, namun di sepanjang masa tersebut, kita tetap sahaja tidak berganjak dari terus mendekati Allah.

Pada 19 April, 2022 yang baru lalu, kita umat di negara ini, telah menghampirkan diri kepada Allah melalui munajat “Berselawat Senegara” di masjid-masjid, iaitu satu-satunya pendekatan unik lagi luar biasa yang julung-julung kali pernah diadakan di Negara Brunei Darussalam.

Beta sangat teruja untuk merakamkan penghargaan, khasnya mereka yang mengambil bahagian, bahkan kepada semua yang berkenaan, tidak terkecuali juga seluruh warga negara yang sama-sama turut mengumandangkan selawat tersebut, di masjid mahupun tempat-tempat kediaman sendiri.

Kita semua berharap, semoga dengan berkat selawat itu, semua hajat kita yang baik akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Kita penuh yakin, janji Allah terhadap orang-orang yang berselawat pasti akan dipenuhi, berdasarkan, Allah Subhanahu Wata’ala sama sekali tidak memungkiri janji-Nya.

Namun jangan pula kita lupa, bahawa rahmat Allah itu hanya akan datang apabila persyaratan dapat kita penuhi. Apakah persyaratan itu? Jawabnya ialah firman Allah dalam Surah Al-A’raf Ayat 96, tafsirnya:

“Sekiranya penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami bukakan kepada mereka pintu berkat (rezki dan rahmat) yang melimpah-limpah dari langit dan bumi…”.

Inilah persyaratan itu, iaitu ada ‘dua’: Iman dan takwa. Semoga kita di negara ini dapat memenuhi persyaratan tersebut.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Mengakhiri perutusan ini, Beta dan keluarga Beta dengan hati yang tulus jernih sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri Al-Mubarak  kepada semua lapisan rakyat dan penduduk dimana sahaja mereka berada, semoga kita semua sama-sama berada dalam sejahtera, sihat ‘afiat dan selamat di bawah naungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.