TITAH

 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

MESYUARAT KHAS

JAWATANKUASA PANDU COVID-19

 

SELASA

8HB., MAC 2022

ISTANA NURUL IMAN

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddien, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Negara Brunei Darussalam telah berhadapan dengan wabak penyakit COVID-19 sejak bulan Mac 2020. Pada masa itu seluruh rakyat belum mempunyai dinding pertahanan atau tiada imunity dalam menghadapi wabak ini. Namun atas berkat kerjasama dari semua pihak, kita telah berjaya memutuskan rangkaian penularan wabak dengan pelaksanaaan langkah-langkah pengawalan yang ketat sehingga Negara Brunei Darussalam telah mencapai zero COVID-19 dan kita telah kembali menjalani kehidupan seperti biasa, dengan berpandukan kepada Standard Operating Procedure atau SOP yang telah ditetapkan.

Namun pada 7 Ogos 2021, telah timbul kes-kes tempatan pertama yang mengakibatkan terjadinya gelombang kedua pandemik di negara ini. Langkah-langkah pengawalan telah diperketatkan semula, sebagai respon untuk mengawal wabak ini daripada terus merebak.

Akan tetapi kes-kes positif semakin hari semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan adanya varian Delta COVID-19 yang sangat mudah menjangkit dengan cepatnya. Manakala rakyat rata-ratanya belum divaksinasi atau ada yang cuma menerima satu dos vaksin sahaja. Kawalan pergerakan yang diperketatkan walaupun mempunyai niat yang baik, bagi menjaga kemaslahatan masyarakat umum, namun tidak dapat dinafikan, ianya mempunyai impak risiko sampingan, baik dari segi aspek sosial mental dan sekuriti.

Negara Brunei Darussalam telah beralih dari Fasa Pandemik ke Fasa Awal Endemik sejak 15 Disember 2021, iaitu apabila Program Vaksinasi Kebangsaan telah mencapai 80 peratus.

Namun dengan kemunculan varian baru Omicron yang dianggap mudah merebak telah mengakibatkan kes jangkitan di negara ini terus meningkat dari hari ke hari sehingga menimbulkan kebimbangan, tetapi maklumat yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan menyebut bahawa majoriti kes-kes aktif hanya dalam kategori 1, 2 dan 3 sahaja. Sementara mereka yang dimaksudkan ke dalam Kategori 4 dan 5, ada yang telah divaksinasi dengan lengkap atau mempunyai masalah kesihatan lain.

Begitu juga mengenai kematian, ada yang dikategorikan sebagai kematian disebabkan COVID-19 dan ada juga yang dikategorikan sebagai bukan disebabkan COVID-19.

Bagi Beta, apapun kategorinya semua itu, tetap membimbangkan kerana tidak sesiapapun yang mahu untuk dijangkiti. Sama ada berupa kategori 1 atau 2. Begitu juga dengan kes-kes kematian yang telah disahkan menghidap COVID-19. Pada hemat Beta, tidaklah patut untuk dicari lagi sebab-sebab lain tentang kematiannya melainkan memang tergolong dalam kalangan penghidap COVID-19.

Beta mengambil maklum, bahawa negara telah berusaha untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan penduduk dengan memberikan vaksinasi pada kadar lebih 94 peratus telah menerima dua dos vaksin dan lebih 56 peratus pula bagi dos ketiga atau booster, yang kesannya mengikut kajian luar negara dapat mengurangkan gejala COVID-19.

Beta juga mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah merangka beberapa strategi bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal dan dalam masa yang sama, membolehkan rakyat dan penduduk menjalani kehidupan dalam norma baru, dapat menjana pendapatan dan menjamin pekerjaan.

Di antara strategi itu, termasuklah sekatan kemasukan warga asing dan mendapatkan kebenaran dari Jabatan Perdana Menteri bagi setiap perjalanan keluar negara. Ini pada pendapat Beta, ada kaitannya dengan SOP, di sini kita jangan lupa bahawa SOP itu ada dua: satu, SOP biasa dan satu lagi, SOP ugama. Dua-dua ini perlu dilihat dengan saksama sehingga dapat dikenalpasti kepentingannya.

SOP biasa, adalah hasil dari budi bicara manusia, sementara SOP ugama datangnya daripada Maha Pencipta manusia. Perkara ini perlu dilihat dengan kaca mata ilmu berdasarkan akidah. Beta bersetuju dengan pendapat bahawa SOP masih sahaja perlu diteruskan seperti pemakaian facemask atau sungkup muka, pengimbasan kod QR, penjarakan sosial dan lain-lain, yang dianggap mampu untuk memberikan perlindungan kepada rakyat dan negara.

Dengan mengambil kira situasi yang ada, telahpun menjadi kenyataan bahawa kemunculan varian Omicron telah banyak menjejaskan strategi yang ada, iaitu dengan meningkatnya kes-kes jangkitan sehingga telah mencapai kepada empat angka, dengan angka awal, pada mulanya hanya satu atau dua, tetapi telah meningkat setakat ini kepada lebih empat ribu, dan mungkin tidak lama lagi akan mencapai angka lima ribu, jika peningkatan terus berlaku setiap hari.

Bolehkah kita tidak perlu risau dengan perkembangan seperti ini?. Namun masih ada maklumat yang tidak dimaklumkan kepada umum secara telus sehingga rakyat dan penduduk di negara ini merasa takut dengan keadaan sebegini. Adakah kaedah yang digunakan pada masa ini untuk menguji COVID-19 bersesuaian?.

Beta dimaklumkan bahawa statistik harian yang semakin meningkat adalah berpandukan kepada jumlah ujian saringan A.R.T. yang dibuat secara persendirian bermula 18 Februari 2022. Walhal, negara-negara luar hanya mengesahkan jumlah kes-kes positif berdasarkan jumlah ujian saringan P.C.R. yang dilaksanakan dan juga ujian saringan A.R.T. yang dikendalikan secara profesional. Beta percaya, jika mereka mengikut kaedah yang dibuat oleh negara ini, purata kes positif mereka juga akan jauh lebih tinggi.

Mungkin kaedah ini lebih accurate, namun persoalannya adakah pihak awam mengetahuinya?. Ketiadaan perkongsian maklumat ini juga telah menimbulkan perbandingan dengan negara luar sehingga ada yang mengatakan Brunei gagal menangani COVID-19. Beta percaya dari perspektif Public Health, Brunei telah berusaha sebaik mungkin.

Seterusnya, Beta minta penjelasan sejelas mungkin mengenai keadaan penuntut-penuntut atau pelajar-pelajar kita pada masa ini. Sebelum Sidang Media pada 4 Mac 2022, mereka itu dibolehkan menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di sekolah-sekolah. Apakah di kalangan mereka itu tiada sebarang masalah?. Yang kedengaran, masalah itu memang ada, iaitu terdapat mereka yang mengetahui mereka itu positif tetapi masih hadir ke sekolah sehingga ada guru-guru turut dijangkiti. Jika ini senarionya, bagaimanakah pihak sekolah dapat memastikan penularan tidak berlaku di sekolah?.

Pada 4 Mac yang baru lalu, dalam sidang media, Menteri Pendidikan telah menerangkan bahawa trend kehadiran golongan pelajar menghadiri pusat pengajian dan sekolah-sekolah di negara ini mengalami kemerosotan dari hari ke hari, tetapi tidak menyebut mengapa kemerosotan itu berlaku. Menteri hanya terus mengumumkan bahawa kaedah pembelajaran secara dalam talian akan dilaksanakan selama dua minggu bermula 7 Mac 2022.

Pada hemat Beta, mengapa kehadiran merosot?, adalah kerana kebimbangan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan anak-anak mereka untuk hadir ke sekolah dengan tanggapan terdapatnya penularan COVID-19 di sekolah-sekolah. Inilah perkara yang perlu Jawatankuasa ambil perhatian.

Menyebut perkara ini, teringat Beta mengenai isu kluster pada gelombang pertama penularan sejak Mac 2020 yang lalu. Jumlah kluster baru akan dikongsi kepada orang ramai, tetapi apabila kita beralih ke Fasa Awal Endemik, ianya tidak lagi dikongsikan. Soalnya, tidakkah ini boleh dianggap sebagai menyembunyikan maklumat sedangkan orang ramai tetap memerlukan maklumat?.

Jika kluster baru tidak perlu diketahui oleh orang ramai, tidakkah ini mungkin berisiko menyebabkan orang ramai boleh terjebak menghampiri atau memasuki tempat-tempat kluster itu. Beta minta penjelasan dari Jawatankuasa ini.

Kita masih lagi merekodkan adanya kes-kes positif dari kemasukan warga asing di samping juga kes-kes tempatan. Yang turut penting dilihat, adakah kes-kes itu menurun atau meningkat?. Jika menurun, apa sebabnya dan jika meningkat, apa pula sebabnya. Inilah yang utama untuk dibahas oleh Jawatankuasa ini. Bukan setakat merekod atau menghitung jumlah jangkitan. Ertinya kajian adalah perlu, dan jika sudah ada hasil kajian, maka barulah boleh difikirkan apa langkah yang sesuai untuk diambil seterusnya.

Kes-kes sekarang ternyata kian meningkat, apakah sebabnya?. Padahal Program Vaksinasi kita boleh dikatakan hebat tetapi kes positif tetap dan terus juga meningkat. Jadi apa lagi yang perlu kita buat?. Kata kita, SOP dan vaksinasi sudahpun dilaksanakan, tetapi soalnya kes positif masih sahaja terus meningkat.

Sebagai perbandingan, negara kita, alhamdulilah, belum pernah mengisytiharkan “lockdown” berbanding beberapa negara di dunia. Terdapat antara negara-negara itu, ada yang berulang kali mengambil sikap mula-mula melonggarkan sekatan, selepas itu mengisytiharkan semula.

Beta ingin tahu apa pendapat Jawatankuasa mengenai langkah beberapa negara yang mengulang-ulang pelonggaran sekatan dan kemudian mengisytiharkan semula. Apa komen Ahli-Ahli Jawatankuasa?.

Ahli-Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada para menteri ini berkewajipan untuk sentiasa menilai dan menimbang masak-masak semua aspek tanpa tahan-tahan, berpegang kepada satu pendapat atau satu pendirian semata-mata, termasuklah jangan cepat-cepat meniru atau menggunakan pendekatan-pendekatan yang menyalahi logik dan akidah, seperti mengambil sikap terbuka dan bebas tidak mahu lagi peduli dengan jangkitan, lalu terus membuang atau membuka sahaja sekatan ini.

Ini tidak betul, kerana langkah begini adalah sama seperti mencampakkan diri kepada kebinasaan, ugama kita melarang yang sedemikian itu.

Pada hemat Beta, dalam situasi yang masih membimbangkan ini belumlah masanya untuk kita melonggarkan sekatan dengan mengambil sikap mudah, mengurangkan pemantauan, pengawalan dan perawatan.

Beta juga belum bersedia untuk bersetuju memberhentikan pengumuman harian kepada rakyat mengenai perkembangan jangkitan, kerana bukankah pengumuman itu sifatnya notis untuk diambil perhatian oleh rakyat.

Kalau tidak ada pengumuman, tidakkah ini ertinya kita menyembunyikan maklumat, sedang orang ramai mahu mengikut perkembangan dan berhajat sangat kepada garis panduan.

Selagi belum terdapat alternatif yang lebih berkesan untuk menyampaikan maklumat penting yang jelas berkenaan keadaan penularan COVID-19 di negara ini, pada hemat Beta, Sidang Media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan secara harian oleh Menteri Kesihatan dinilai masih merupakan wadah yang terbaik untuk menyampaikan maklumat situasi harian.

Dalam usaha untuk menggubal strategi menangani COVID-19 dan mengurangkan impak yang timbul daripada kemungkinan, Jawatankuasa ini terlepas pandang mengenai kepentingan matlamat dan hala tuju keputusan yang diambil untuk disebarluaskan dan di-synchronize kepada semua peringkat rakyat hingga ke akar umbi.

Beta mengambil maklum mengenai dengan protokol-protokol kesihatan yang terkini, yang telah dikeluarkan dan diberigakan melalui sidang media pada 5 Mac 2022. Walau bagaimanapun, ianya dilihat masih terlalu panjang dan mungkin akan mengambil masa untuk dibaca dan difahami. Bukankah lebih baik ianya diringkaskan, akan tetapi mencapai maksud yang diharapkan seperti yang telah dikeluarkan oleh negara-negara lain.

Begitu juga, Beta kurang memahami apabila COVID-19 disifatkan sebagai tidak akan berakhir sampai bila-bila, sedangkan petunjuk ugama setiap penyakit itu ada ubatnya, dan Allah Subhanahu Wata’ala pula adalah Maha Berkuasa untuk menyembuhkan apa sahaja penyakit.

Jadi tanggapan atau kenyataan COVID-19 tidak akan berakhir seolah-olah kita mendahului Allah dan menyangkal kuasa-Nya. Sedang dalam sejarah macam-macam wabak sudah pernah berlaku. Seperti pada tahun 1340, wabak “Black Death” yang pernah menyerang Asia Tenggara sehingga merebak ke Eropah. Pada penghujung Perang Dunia Pertama, tahun 1918 pula berlaku wabak “Selesma Sepanyol” dan lain-lain. Tetapi semua wabak ini menemui penghujungnya, berakhir. Mengapa pula wabak yang muncul terakhir ini, COVID-19 tidak ada akan penghujungnya.

Demikian juga, sering-sering didengar orang berazam mahu memerangi COVID-19, malah ada yang percaya kita manusia ini mampu untuk memenangi peperangan dengan COVID-19. Beta minta penjelasan, adakah kenyataan seperti ini tidak menyalahi akidah? Kerana menurut logik, kalau virus korona itu khusus diutus oleh Allah selaku tenteranya untuk mengajar manusia, adakah manusia boleh mampu untuk mengalahkan tentera Allah?.

Ini pun sangat mustahak untuk diambil perhatian oleh Jawatankuasa, jangan sampai kita terikut-ikut atau mengikut perkara-perkara yang bertentangan dengan akidah. Brunei Darussalam tidaklah rugi jika sentiasa berhati-hati dalam semua perkara termasuk mengenai penggunaan ubat-ubatan.

Beta difahamkan, Kementerian Kesihatan dalam masa terdekat akan memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak yang berumur 5 ke 11 tahun. Pada hemat Beta, perkara ini elok juga dikaji masak-masak sebelum dilaksanakan, kerana untuk mereka itu sudah disuntik akan berbangkit pula keperluan untuk mendapatkan dos penggalak. Adakah ini sudah dikaji sedalam-dalamnya?. Kerana baru-baru ini, tersebar berita bahawa Badan Pengawas Ubat-Ubatan Kesatuan Eropah (EU) masih saja menilai vaksin koronavirus, Pfizer untuk dos penggalak bagi kanak-kanak berumur 12 hingga 15 tahun.

Pendirian badan ini sekiranya sesuai dengan laporan bahawa 547 juta dos vaksin COVID-19 telah diberikan di Amerika Syarikat dan risiko kematian berjumlah 12,304 dari kalangan mereka yang telah menerima vaksin COVID-19. Walaupun jumlah ini dianggap kecil, namun risiko tersebut tetap mengerikan iaitu kematian.

Sekalipun Brunei Darussalam sendiri setakat 19 Februari 2022 memberi sejumlah 1,028,073 dos, namun menurut Kementerian Kesihatan, tiada kes kanser kematian atau neurotoxicity telah dikaitkan secara langsung dengan pemberian mana-mana vaksin COVID-19.

Walau bagaimanapun, dapatan Kementerian Kesihatan ini adalah dapatan awal setakat Februari 2022, sedangkan kita belum lagi tahu ada kemungkinan, adanya kesan risiko jangkitan panjang. Jadi dalam konteks ini, langkah lebih berhati-hati dan terus membuat kajian dan penilaian adalah memang bersesuaian, lebih-lebih lagi apabila isu dikaitkan dengan kanak-kanak.

Dalam isu bantuan catuan makanan kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin, adakah ianya dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna?. Dalam masa pandemik dahulu, perkara ini diketahui bagus dan memuaskan tetapi kini telah jangkitan secara drastik meningkat dengan cepatnya, apakah pengagihan catuan juga dapat diuruskan dengan baik?.

Khabar-khabarnya ramai yang menjalani kuarantin itu tidak menerima catuan atau lambat menerimanya sehingga mereka tidak tahu apa yang hendak dibuat kerana ada yang berkuarantin itu ialah seisi rumah, jika tidak ada sesiapa yang dapat keluar, jadi tidak ada yang sesiapa yang dapat keluar untuk mendapatkan makanan. Mujurlah ada alat komunikasi canggih yang membolehkan mereka dapat berhubung dengan keluarga terdekat untuk meminta bantuan atau melanggan sendiri makanan melalui cara delivery. Beta ingin tahu, bagaimanakah Jawatankuasa menangani perkara ini?

Beta mengambil maklum, yang usaha-usaha dalam menangani masalah penularan COVID-19 telah banyak dilaksanakan oleh pihak Kerajaan, lebih-lebih lagi sejak penubuhan Jawatankuasa ini melalui permesyuaratan. Namun dengan peningkatan kes-kes positif semasa negara beralih ke Fasa Awal Endemik ini, ramai pihak awam seolah-olah mahukan supaya Jawatankuasa ini mengambil tindakan yang berkesan bagi membendung penularan jangkitan wabak COVID-19.

Apa yang didengar dari masyarakat umum seolah-olah Jawatankuasa ini bersikap tenang sahaja, tidakkah Jawatankuasa menyedari tanggapan ini?. Keadaan ini seharusnya dapat ditangani sebaik-baiknya dengan cara penyaluran dan pemberigaan maklumat yang lebih telus, ringkas dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat bagi mengelakkan pihak awam menuding jari kepada pihak-pihak yang berkenaan, dan mengurangkan kegelisahan orang ramai terhadap peningkatan jangkitan yang membimbangkan ini, Jawatankuasa ini perlulah memikirkan situasi ini sedalam-dalamnya.

Beta bukakan sekarang untuk perbincangan.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.