TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA
SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1443H / 2022M
  

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua, kita dapat lagi memperingati peristiwa agung yang terjadi kepada junjungan besar kita Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah merupakan kejadian luar biasa yang berlaku keatas Nabi kita Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Bagi orang-orang yang beriman peristiwa ini tidak dilihat dengan logik akal, tetapi dengan mata hati dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala yang berfirman dalam Surah al-Isra ayat 1, tafsirnya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haraam ke Masjidil Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Adapun matlamat utama dari peristiwa ini ialah untuk menerima sembahyang lima waktu daripada Allah. Perintah sembahyang disyari’atkan secara langsung oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tanpa sebarang perantaraan. Inilah hebat dan istimewanya sembahyang itu.

Tidak syak lagi, sembahyang adalah tali penghubung diantara Al-Khaliq dan hamba-Nya. Maka akan kuatlah hubungan itu dengan melakukan sembahyang.

Oleh itu diwajibkan sembahyang itu sebagai ibadat utama didalam kehidupan kita, sebagai cara untuk menjaga hubungan ini biar ia terus kekal dan kukuh sehingga tiada putus-putus.

Dengan sembahyang, Allah akan mengurniakan keamanan, ketenangan, kesihatan dan kebahagiaan. Ini, dapat dikesan dari firman Allah dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 45, tafsirnya:

“Baca serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur’an, dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (terutama dengan melakukan sembahyang) itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan Allah Maha Mengetahui akan apa-apa jua yang kamu kerjakan.”

Ayat ini adalah isyarat untuk kita memahami bahawa, ibadat sembahyang adalah segala-galanya yang mampu untuk membersihkan kita daripada mungkar.

Apakah ada lagi selain ini yang lebih sempurna?

Demikian itulah dengan sembahyang. Ia adalah ‘kubu’ untuk membentengi kita daripada mungkar. Manakala seseorang itu terselamat daripada mungkar, maka itulah harapan tertinggi baginya untuk meraih Syurga Allah Ta’ala.

Kerana matlamat yang suci inilah, Kerajaan Beta mengambil sikap tegas menyediakan sistem persekolahan ‘wajib ugama’. Kerana Beta tidak mahu, walau seorangpun dari rakyat muslim di negara ini yang tidak sembahyang.

Beta akan merasa bahagia, jika semua kita orang Islam menunaikan sembahyang. Kerana Sembahyang adalah Tiang Ugama, jika ia ditinggalkan, bererti kita meroboh ugama.

Beta berharap, pihak-pihak berkenaan yang dipertanggung-jawabkan untuk mengendalikan hal ehwal pendidikan, hendaklah tidak mengabaikan perkara ini. Kerana inilah tugas asasi diantara lain-lain tugas yang ada. Ia adalah ‘amanah’ tertinggi untuk ditunaikan.

Semua orang tidak boleh lari dari kewajipan ini. Para guru, ibu bapa dan malah Kerajaan adalah sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ibadat ini benar-benar dihayati. Apabila sudah berlaku demikian, maka insya Allah, berkat dan rahmat akan turun kepada Brunei dan kepada kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.