TITAH PERUTUSAN KHAS
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1443H/2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Sebagai negara yang berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, kita menyempurnakan tanggungjawab dengan ikhtiar dan tawakal. Inilah dua bentuk usaha yang menjadi kunci kejayaan kita mencapai apa yang dihasratkan.
Dari masa ke semasa, kita terus mengikuti perkembangan jangkitan COVID-19 di negara ini. Kita dapat menyaksikan jumlah jangkitan yang kadang kala memberi sedikit harapan, apabila jumlah kes harian kelihatan menurun. Namun ternyata, jumlah kes-kes ini tidak menentu dan amat sukar untuk diramal.
Keadaan seperti ini kita tangani secara berterusan. Beta memahami bahawa penularan jangkitan dan kesannya kepada kesihatan, masih sahaja membimbangkan. Ia tidak boleh diambil ringan selama mana virus ini masih wujud di permukaan bumi.
Seiring itu, Beta bersyukur dan juga terharu melihatkan kerjasama serta kesungguhan rakyat dan penduduk dalam sama-sama menangani musibah ini. Strategi negara untuk terus bertahan sehingga wabak ini benar-benar berundur, adalah harapan tertinggi kita.
Sejak beberapa bulan lalu, kesan penularan tetap dirasakan. Sekatansekatan yang terpaksa dilalui semakin lama semakin berat untuk dihadapi. Misalnya kerana sekatan, kita sampai terputus hubungan dengan masjid, surau dan balai ibadat. Begitu juga kerana sekatan, sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian sampai menangguhkan operasi masing-masing.
Demikian juga produktiviti ekonomi, perniagaan dan perkhidmatan awam tidak terkecuali turut terkesan oleh sekatan-sekatan yang dijalankan. Pendeknya, tidak ada yang terlepas daripada sama-sama menerima kesan.
Sekatan-sekatan ini bukanlah dilakukan secara sewenang-wenang. Tetapi ia adalah merupakan langkah-langkah kritikal, selaras dengan keupayaan dan kesediaan negara.
Perlu difahami, berdasarkan trend dan statistik negara dan global, wabak ini dilihat tidak akan hapus sepenuhnya dalam masa terdekat. Namun ini hanyalah ‘jangkaan’ jua, dimana setiap jangkaan itu tidaklah semestinya tepat.
Yang betulnya, semua perkara adalah terpulang kepada Allah belaka. Jika Allah mahu, apapun perkara, boleh saja berlaku. Nabi Allah Ayyub ‘Alaihissalam, dalam sekian lamanya telah diuji olleh Allah dengan penyakit luar biasa, yang pada zahirnya, dapat dianggap sebagai tidak ada harapan lagi untuk sembuh, sehingga masyarakat dan bahkan keluarga Baginda sendiri juga sampai lari meninggalkan Baginda. Tetapi setelah Nabi ini mengadu dan berdo’a kepada Allah, maka Baginda telah dikurniakan kesembuhan, dan malah mendapat ‘kelebihan’ setelah sembuh itu.
Inilah antara ‘petunjuk’ mengenai kuasa Allah, dan sekali gus kita boleh menjadikannya sebagai sandaran, mengapa kita mesti terus berusaha dan berdo’a kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Dengan mengambil kira situasi yang ada sambil menerima hakikat kehidupan cara baru, maka sudah tiba masanya untuk kita melangkah setapak kehadapan untuk mengurangkan gangguan kualiti hidup yang ada, iaitu dengan memilih jalan lurus kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Maka dalam hubungan ini, Beta bertawakal kepadaNya mengisytiharkan permulaan Fasa Endemik Negara pada Hari Rabu, 10hb. Jamadilawal, 1443 bersamaan dengan 15hb. Disember, 2021.
Dalam fasa ini, tidak dijanjikan jumlah kes menurun atau naik, dan tidak juga bermakna kita sudah berjaya atau tidak. Tetapi sebaliknya, kita masih sahaja dituntut untuk menitikberatkan kerjasama dan kepekaan di kalangan masyarakat dalam masa menjalani kehidupan norma baru. Beta berharap, rakyat dan penduduk akan terus meningkatkan tanggungjawab sosial dalam mendukung dan mematuhi usaha-usaha Kerajaan.
Walaupun fasa ini membolehkan orang ramai menjalani aktiviti-aktiviti harian seperti biasa, namun langkah berjaga-jaga masih sahaja diperlukan tanpa mengabaikan Standard Operating Procedures (SOPs) yang ditetapkan.
Tidak dapat dinafikan, perasaan bimbang atau khuatir terhadap penularan, masih saja ada. Oleh itu kita janganlah lalai dari terus berhati-hati atau beringat-ingat. Keputusan untuk meneruskan kehidupan norma baru adalah berasaskan kepada kajian dan analisa saintifik serta data-data yang berkaitan. Namun pemantauan terhadap jangkitan akan tetap dilaksanakan, terutama kes-kes kritikal yang memerlukan pemantauan rapi dan bantuan alat tertentu.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu kekal dan konsisten dengan amalan-amalan yang selama ini kita laksanakan, iaitu sembahyang hajat, membaca al-Qur’an, berselawat, berdo’a dan berzikir memohonkan rahmat Allah untuk membebaskan Brunei Darussalam dari wabak koronavirus.
Dalam kita bakal meneruskan kelangsungan hidup dalam norma baru, kita janganlah lupa terhadap mereka yang telah pergi buat selama-lamanya disebabkan kerana jangkitan. Beta sendiri turut bersimpati dan merasakan kesedihan yang amat mendalam di atas pemergian mereka itu. Beta juga terharu dengan kesabaran ahli keluarga yang tidak dapat mengkebumikan atau membuat penghormatan terakhir kepada insan-insan tersayang akibat terhalang oleh pandemik.
Sebelum mengakhiri perutusan ini, Beta merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada petugas kesihatan, penjawat awam, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta para sukarelawan yang telah menyumbangkan khidmat masing-masing. Dan Beta juga turut memberikan penghargaan kepada semua lapisan masyarakat di negara ini yang sentiasa berganding bahu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dalam menangani wabak koronavirus.
Marilah kita berdo’a memohon kepada Allah Subhanahu Wata’ala semoga keputusan untuk beralih kepada Fasa Endemik ini mendapat keberkatan serta segala perancangan dipermudahkan dan berjaya. Amin Ya Rabbal ‘Alameen.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
