TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN
KALI KE-16
TEMA: ‘BELIA SIAP SIAGA MASA DEPAN’
PADA HARI SABTU
27 ZULHIJJAH 1442 / 7 OGOS 2021
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN
ANTARABANGSA, BERAKAS
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-16 pagi ini.
Cabaran bersabit wabak pandemik telah menampilkan golongan belia sebagai sumber tenaga masyarakat dan negara.
Belia, tanpa mengenal letih, mampu untuk menjadi sukarelawan yang berjasa. Inilah belia.
Mereka layak untuk dicontohi dalam perkara menyumbangkan bakti kepada negara. Apabila diperlukan, biasanya mereka cepat-cepat tampil menyahut panggilan. Inilah sifat belia.
Mereka akan tampil dengan semangat juang yang tinggi serta tenaga yang kental dan segar, berbanding golongan-golongan lain. Ini tidak syak lagi, adalah ciri istimewa belia itu.
Beta berharap, ciri ini biarlah kekal untuk mewarnai kehidupan belia, supaya mereka terus unggul, dihargai oleh semua peringkat.
Jangan runtuhkan identiti belia yang baik. Kekalkan identiti ini untuk mendapatkan keyakinan masyarakat terhadap mereka. Ingatlah, keyakinan boleh luntur apabila identiti tidak dipelihara.
Masyarakat cukup sensitif dengan belia. Jika baik belia, maka masyarakat pun sangat teruja dan menyanjung mereka. Tetapi jika sebaliknya, masyarakat akan lari, menjauhi diri daripada mereka.
Contohnya, apabila belia misalnya, terjebak menagih dadah, maka masyarakat dengan sendirinya akan berundur, untuk melindungi diri daripada angkara dadah.
Maka disinilah, para belia itu perlu insaf, bahawa mereka adalah ibarat ‘cermin’ masyarakat, dimana baik atau buruk keadaan, dapat dilihat menerusi cermin ini.
Beta telah melihat dari cermin ini satu perkara yang menggembirakan, iaitu mengenai Ekosistem Keusahawanan Belia dan Program i-Usahawan, yang sedang berkembang dengan baiknya semenjak ia dilancarkan pada Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-13, tahun 2018.
Bukti awal kejayaan Ekosistem dan Program i-Usahawan ini berhasil mengkhususkan sebanyak 35 kontrak di dalam Sektor Tenaga, dalam mana, 19 daripadanya telahpun dianugerahkan kepada 24 pengusaha-pengusaha belia dengan anggaran nilai kontrak berjumlah 29 juta ringgit.
Dalam kalangan pengusaha belia, mereka juga telah berjaya untuk memberikan peluang pekerjaan kepada lebih kurang 300 orang anak tempatan.
Semua ini menjadi petunjuk jelas, bahawa para belia Brunei sudah mampu untuk mencapai dan mencatatkan kejayaan di peringkat yang tinggi.
Pada hemat Beta, Program i-Usahawan ini, elok juga dilaratkan ke dalam sektor bukan tenaga, terutama dalam sektor awam dan keseluruhan pelaburan yang dihasratkan.
Disini kita dapat memahami, bahawa kedayatahanan adalah kunci kejayaan belia, disamping kualiti keperibadian dan sikap tidak mahu mengalah dalam bersaing.
Persaingan yang dimaksudkan disini, ialah bersaing bagi mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
Untuk akhirnya, bersempena dengan Hari Belia Kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan syabas kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka sama-sama membangun dan memajukan negara.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
