TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERSEMPENA
UPACARA PERBARISAN TAMAT LATIHAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA PENGAMBILAN KE-SEMBILAN
TEMPAT:
KEM LATIHAN
PROGRAM KHIDMAT BAKTI NEGARA,
KAMPONG BATU APOI, DAERAH TEMBURONG
PADA:
HARI KHAMIS
17HB REJAB 1441
12HB MAC 2020
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, kita merafa’kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menyaksikan Upacara Perbarisan Tamat Latihan Program Khidmat Bakti Negara Pengambilan Ke-9 pada pagi ini.
Terlebih dahulu Beta sukacita merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada kesemua 393 Pelatih PKBN Pengambilan Ke-9 di atas kejayaan mereka mengikuti latihan selama 3 bulan dengan penuh kesungguhan.
Setakat ini Beta difahamkan, bahawa lebih 65 peratus lepasan PKBN telah berjaya mendapat pekerjaan atau melanjutkan pelajaran. Ini menunjukkan PKBN adalah mampu untuk mencorakkan para belia menjadi modal insan yang berguna malah berkualiti.
Namun usaha masih saja perlu ditingkatkan bagi para lepasan membuktikan kebolehan mereka selepas latihan. Kebolehan itu meliputi, cekap melaksanakan pekerjaan dan berjaya di bidang pengajian.
Sehubungan ini, Beta melihat, Jawatankuasa Lembaga dan Jawatankuasa Kerja Khidmat Bakti Negara, sewajarnya patut turut memastikan, yang para alumni PKBN sentiasa terlibat dengan khidmat bakti terhadap masyarakat. Kerana matlamat latihan bukan hanya setakat ‘membangun’ belia, tetapi belia dibangun itu adalah juga ‘wira’ yang sanggup turun ke gelanggang bersama masyarakat.
Turun ke gelanggang ini bukanlah menunggu musim, tetapi bila-bila masa sahaja selaku kewajipan. Sifat masyarakat adalah suka kepada perubahan, di mana para belia merupakan agen kepada perubahan itu. Oleh itu, para belia perlulah menyedari perkara ini.
10 tahun melangkah, sejak projek rintis pertama, PKBN sudahpun boleh dianggap matang untuk membangun sebuah masyarakat belia yang progresif, yang mampu untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio-ekonomi negara serta membantu memperkukuh ketahanan nasional, selaras dengan matlamatnya.
Kita berharap, ini bukanlah igauan, tetapi satu perkara yang boleh menjadi kenyataan, dengan syarat, para belia tidaklah boleh patah semangat untuk meraih kecemerlangan.
Untuk akhirnya, Beta sekali lagi sukacita mengambil kesempatan untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada pelatih-pelatih PKBN Pengambilan Ke-9 yang akan menamatkan latihan mereka pada pagi ini. Kejayaan mereka ini tidak syak lagi adalah hasil dari titik peluh masing-masing, serta kerjasama padu daripada pelbagai pihak, khususnya para jurulatih, lebih-lebih lagi berkat doa ibu bapa dan penjaga selaku pendorong dan penyuntik semangat yang sangat berjasa.
Insya Allah segala sumbangan bakti yang diberikan akan mendapat balasan baik serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
