TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND 
PADA 
25 RABIULAKHIR 1441H/22 DISEMBER 2019
BERTEMPAT
LONDON, UNITED KINGDOM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmatNya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang sedang bertugas di sini dan mereka yang bercuti bersama keluarga.
Majlis ini memberi peluang kepada Beta untuk secara lebih dekat mengetahui kemaslahatan para penduduk dan rakyat Beta, khasnya para pelajar yang sedang menuntut.
Kerajaan Beta tetap akan memberi keutamaan kepada pendidikan, selaku salah satu pelaburan. Pelaburan jenis ini mampu, untuk melahirkan tenaga manusia yang berkualiti, yang diperlukan untuk memacu perkembangan dan kemajuan.
Dalam mempersiapkan negara mengharungi perkembangan, tenaga manusia adalah utama untuk diambil kira. Pertama, tenaga itu mesti berilmu dan berkemahiran, dan kedua, mereka mesti amanah, berwibawa dan berwawasan. Inilah kualiti yang sebenar-benarnya yang kita perlukan. Pada hemat Beta, tenaga seperti ini lebih hampir untuk diperolehi daripada kalangan penuntut atau pelajar jua.
Oleh itu, para pelajar jangan lalai dari memanfaatkan peluang ini. Ambillah langkah meningkatkan pengetahuan secara formal di institusi-institusi pendidikan, sambil proaktif mengembangkan kompentensi-kompetensi membentuk jati diri, melalui pendidikan tidak formal seperti penceburan ke dalam akitiviti-aktiviti kokurikulum dan program-program pembangunan kapasiti.
Untuk ini, semua kementerian-kementerian yang menawarkan biasiswa kerajaan patutlah menimbangkan aspek-aspek lain selain dari pencapaian akademik dalam proses pemilihan calon, seperti aspek kepimpinan dan kemantapan jati diri. Ini penting sebagai persediaan menghadapi persekitaran yang mengandungi pelbagai budaya dan gaya hidup berbeza.
Para pelajar sendiri, apabila berada di luar negara, perlu bijak menimbang atau menilai kepelbagaian ini, dengan tidak mengabaikan ugama, identiti dan bahasa ibunda. Kerana semua ini merujuk kepada harga diri bangsa.
Beta mengharapkan, seluruh pelajar yang menuntut di luar negara, sama ada di bawah Skim Biasiswa Kerajaan mahupun yang belajar dengan pembiayaan sendiri, akan pulang ke tanah air dengan membawa kejayaan masing-masing.
Beta difahamkan seramai 51 orang pelajar yang dianugerahkan biasiswa kerajaan telah menamatkan pengajian mereka di sini pada tahun ini. Sejumlah 18 peratus iaitu 9 orang daripadanya telah memperolehi ijazah sarjana muda klasifikasi Kelas Pertama, dan yang selebihnya Kelas Kedua Atas dan Kelas Kedua Bawah. Di antara mereka juga termasuk seramai 19 orang pelajar yang telah lulus dalam bidang perubatan.
Beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang berjaya itu. Semoga kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Dan pada masa yang sama juga, diharapkan kejayaan ini akan turut menyuntik semangat pelajar lain yang masih belajar. 
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan agar semua pelajar dan pegawai yang sedang berada di sini sentiasa dalam sejahtera dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.