TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ
PERINGKAT NEGARA TAHUN 1440H/2019M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, marilah kita sama-sama merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul pada pagi ini bagi memperingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj.
Sudah menjadi tradisi kita meraikan peristiwa ini dengan mengadakan majlis-majlis bercorak keugamaan. Majlis-majlis ini membawa makna sangat besar sebagai syi’ar kesucian Islam.
Melalui kerai’an ini, kita berpeluang menyelusuri dan menyingkap balik sejarah Isra’ dan Mi’raj itu. Ia adalah sejarah berharga, menjadi guru sepanjang zaman bagi orang-orang yang beriman. Daripadanya kita belajar pelbagai pelajaran, khasnya pelajaran yang paling asasi, iaitu tentang ibadat sembahyang.
Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah Al-‘Ankabut Ayat 45 memberitahu, bahawa ibadat sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Ayat ini memberi isyarat, betapa hebatnya peranan sembahyang itu. Ia adalah kubu dan perisai untuk menolak mungkar.
Barangsiapa yang ingin selamat dan terhindar daripada mungkar, maka hendaklah dia sembahyang. Inilah satu jaminan daripada Allah.
Jelas di sini, mendirikan ibadat sembahyang itu bukan sahaja untuk memperolehi pahala, malahan juga bagi mendapatkan keberkatan. Bukankah beroleh keselamatan dan terhindar daripada mungkar itu satu dari keberkatan?
Jadi semua kita yang bernama Muslim ini adalah disuruh untuk segera meraih keberkatan itu, iaitu, keberkatan di dunia dan juga Insya-Allah keberkatan di akhirat berupa syurga Allah Ta’ala.
Menyentuh mengenai keberkatan ini, Beta ingin melihat syi’ar Islam di negara ini bertambah teguh dan menyerlah. Di antara syi’ar Islam yang perlu menonjol ialah seruan azan bagi menandakan masuknya waktu sembahyang. Maka alangkah indahnya, jika seruan ini dikumandangkan bukan hanya di masjid-masjid, di surau-surau dan di balai-balai ibadat, malahan juga, boleh turut didengar di tempat-tempat kunjungan orang awam, sebagai memberitahu waktu sembahyang telah masuk, dan sekali gus menandakan di tempat-tempat berkenaan itu ada didirikan sembahyang.
Sebagai sebuah negara zikir, penyediaan kemudahan untuk sembahyang di tempat-tempat bekerja dan pusat-pusat tumpuan orang ramai adalah merupakan satu syi’ar yang sangat bermakna, yang wajar untuk diberikan perhatian. Kerana apabila ini ada, maka ibadat sembahyang dengan sendirinya akan terpelihara di kalangan orang-orang Islam, di mana saja mereka itu berada. Ini juga adalah satu cara untuk memenuhi tuntutan mendirikan sembahyang.
Tidak diragukan lagi, ia turut menyangkut kewajipan pihak-pihak berkenaan dan malah kewajipan kita semua. Oleh itu, untuk ia menjadi kenyataan, maka pihak-pihak berkenaan itu perlulah mengambil inisiatif mengenainya.
Beta ingin tegaskan, bahawa Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang molek, yang sentiasa mementingkan ibadat kepada Allah. Ia dipandu oleh sistem MIB yang telah pun berjalan sekian lama sejak ratusan tahun lagi. Sistem ini berkewajipan untuk memelihara dan menjamin semua hak rakyat dan penduduk tanpa mengira puak dan pegangan mereka. Inilah MIB, konsep keramat yang telah berjaya menjelmakan sebuah negara yang adil lagi bahagia, yang hidup didalamnya sebuah komuniti yang bersatu padu.
Sistem MIB juga telah terbukti amat mesra kepada dunia, sehingga siapa saja yang datang berkunjung ke negara ini akan beroleh pengalaman manis, dapat menikmati suasana aman dan harmoni serta layanan yang sebaik-baiknya.
Inilah hakikat Brunei, Negara MIB, dimana selain dari itu, ia bukanlah Brunei.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
