TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SAADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SAADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM PERMESYUARATAN KE- 15
MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2019
MAJLIS ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM PERMESYUARATAN KE- 15
MAJLIS MESYUARAT NEGARA 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem.
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’ala Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Belas Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.
Beta berharap, Majlis akan dapat bersidang dengan lancar, dengan Ahli-Ahli dapat menyumbangkan buah fikiran yang bermanfa’at untuk negara. Persidangan selama beberapa minggu ini hendaknya mampu untuk mengetengahkan perkara-perkara strategik demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.
Antara agenda utama dalam persidangan ini ialah, Ahli- Ahli Majlis akan membahaskan Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Negara untuk Tahun Kewangan 2019/2020. Beta penuh yakin peruntukan-peruntukan yang disediakan adalah benar-benar menepati keperluan negara. Semua program dan inisiatif yang dirancang tidak lain bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti kehidupan rakyat.
Maka sehubungan ini, sistem pentadbiran perlulah diperkukuh, termasuk Dasar-Dasar dan Peraturan-Peraturan juga sentiasa dikemaskini, supaya lebih telus dan berkesan.
Beta mengambil maklum, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, khasnya mereka yang dilantik, telah mengadakan permuzakarahan dengan Kementerian-Kementerian, termasuk mengadakan lawatan-lawatan bagi mengetahui secara lebih dekat akan kedudukan projek- projek yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan, samada melalui Pelaburan Langsung Asing (FDIs), Public Private Partnership (PPP), syarikat-syarikat swasta dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan Kerajaan (GLCs).
Dalam hubungan ini, Beta ingin menasihatkan Ahli-Ahli Yang Berhormat, supaya jangan mengemukakan soalan-soalan yang sudah pun pernah dibincangkan berulang kali, tetapi berbincanglah mengenai perkara-perkara baru, seperti bagaimana menjana ekonomi, dengan cara, merancakkan lagi aktiviti-aktiviti mempelbagaikannya, selaras dengan hasrat membina masa depan bangsa, khasnya generasi muda.
Bercakap mengenai generasi, kita semua sedia maklum bahawa golongan belia adalah aset negara, selaku ianya jentera pembangunan. Oleh itu Kementerian yang berkenaan hendaklah memastikan bahawa para belia itu diberikan suntikan semangat untuk meneruskan agenda pembangunan tanpa bosan-bosan.
Ini sesuai dengan kepesatan teknologi yang membawa perubahan besar dalam kehidupan, termasuk kemajuan industri digital yang memfokus kepada internet of things, artificial intelligence dan seumpamanya, dimana Fourth Industrial Revolution akan menjadi salah satu agenda utama dalam memperkasa masyarakat, khasnya masyarakat penuntut, peniaga dan pihak Kerajaan sendiri, termasuk akan mengubah landscape kehidupan seharian.
Meliputi pihak pengusaha, mereka juga perlu untuk mengambil kesempatan dari digital ekonomi, sambil meraih peluang dari perdagangan tanpa sempadan.
Menyentuh tentang ekonomi, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan membina persekitaran yang kondusif di peringkat antarabangsa dengan menyertai beberapa Perjanjian Perdagangan Bebas dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa sebagai memberi peluang pasaran di negara-negara berkenaan.
Insyaallah, tidak lama lagi negara akan memuktamadkan perundingan Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) iaitu satu perjanjian kerjasama ekonomi diantara negara-negara ASEAN dan enam negara lain yang terdiri daripada: Australia, China, India, Jepun, Korea, dan New Zealand yang akan membuka pasaran perniagaan kepada lebih tiga bilion penduduk.
Dalam hubungan ini, peniaga-peniaga tempatan wajarlah memanfaatkan kesempatan dari perjanjian-perjanjian tersebut dengan menaiktaraf kualiti produk dan meningkatkan daya saing masing-masing, yang tentunya secara tidak langsung dapat menyumbang kepada hasrat negara mempelbagaikan ekonomi. Ini, bertepatan dengan keperluan negara mempunyai Industry Roadmap bagi kelangsungan ekonomi dan industri.
Bagaimanapun, kita sedikit rimas apabila sejak beberapa tahun kebelakangan ini pertumbuhan KDNK adalah kurang memberangsangkan, berikutan dengan harga minyak global jatuh, sedangkan sebahagian besar dari pendapatan negara bergantung kepada hasil minyak dan gas. Namun alhamdulillah, terdapat sektor-sektor bukan minyak dan gas telah menunjukkan pertumbuhan positif seperti sektor perkhidmatan. Ini sudah barang tentu memerlukan ‘Whole of Nation Approach’, kerana jika jentera pentadbiran paling hadapan yang dibarisi oleh Jemaah Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap, dan Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan tidak menunjukkan kerjasama dan kesepakatan padu dalam merealisasikan Wawasan Negara, maka sudah pasti segala perancangan yang dibuat akan menjadi sia-sia.
Dalam fenomena berkaitan, kita terus bimbang dengan kadar pengangguran yang kian meningkat. Ini tidak boleh dipandang ringan. Kerana itu Beta mahu, supaya ia dikaji dan dicari jalan penyelesaian, samada dalam jangka pendek mahupun jangka panjang. Termasuk turut dikenalpasti ialah, sejauh manakah sumber tenaga manusia dari Pusat- Pusat Pengajian Tinggi tempatan mahupun luar negara yang marketable dan relevan dengan situasi masa kini?
Ini juga adalah sebahagian dari kebajikan rakyat yang mesti diutamakan.
Menyebut kebajikan rakyat ini, turut terkandung ialah bantuan-bantuan dan subsidi-subsidi yang telah dihulurkan hendaknya ia dilaksanakan dengan teratur, supaya tidak berlaku ketirisan atau penyalahgunaan dikalangan penerima.
Akhir sekali, Beta berharap Persidangan Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini akan dapat memberikan lebih tumpuan kepada perkara-perkara yang strategik bagi mengukuhkan lagi pencapaian-pencapaian negara. Ahli-Ahli Yang Berhormat juga diharapkan akan dapat mengemukakan pandangan-pandangan atau saranan-saranan di dalam semua bidang, yang menjadi tanggungjawab kepada Kerajaan, tanpa tertentu kepada perkara ekonomi semata-mata.
Beta ucapkan selamat bersidang.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
