SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDAMAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI SELAKU KETUA PENGAKAP PERSEKUTUAN PENGAKAP NEGARA BRUNEI DARUSSALAM (PPNBD)
DI MAJLIS PENUTUPAN RASMI JAMBORI NASIONAL KE-5
BRUNEI DARUSSALAM SEMPENA SAMBUTAN 90 TAHUN BERPENGAKAP
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
BERTEMPAT
PADANG KEMASYARAKATAN, BUKIT BENDERA, PEKAN TUTONG
PADA
HARI KHAMIS, 23 JAMADILAWAL 1445 BERSAMAAN 7 DISEMBER 2023
Assalamu’alaikum Warahmatullahi WabarakatuhBismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat serta izin-Nya jua, kita dapat bersama-sama berkumpul di Majlis Penutupan Rasmi Jambori Nasional Ke-5 Brunei Darussalam.
Terlebih dahulu, saya ucapkan syabas kepada Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang telah berjaya mengungkayahkan Jambori Nasional dan setinggi tahniah di atas pencapaian ulang tahun ke-90 kegiatan berpengakap di negara ini.
Di kesempatan ini, saya juga ingin mengalu-alukan penyertaan pasukan pengakap dari negara jiran dan antarabangsa lainnya di Jambori Nasional Ke-5 ini yang membuktikan bahawa kegiatan berpengakap adalah menyumbang secara langsung kepada merapatkan dan memantapkan semangat kesetiakawanan serta perpaduan serantau dan sejagat.
Semenjak penubuhannya pada tahun 1933, pergerakan Pengakap di Brunei arus dan perkembangan pergerakan pengakap seluruh dunia sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.
Pergerakan pengakap di Brunei Darussalam tidak dapat dinafikan telah banyak menyumbang kepada pembangunan belia dan negara. Inilah yang kita harapkan, kewujudan dan kelangsungannya sebagai agen pembentukan barisan generasi muda dan remaja dalam bersama-sama menyantuni serta mendukung aspirasi dan menjayakan Wawasan Negara.
Ini bertepatan dengan antara kandungan Titah Paduka Ayahanda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Upacara Perasmian Jambori Nasional Kali Ke-5 ini pada hari Isnin, 4 Disember yang lalu di mana Paduka Ayahanda menyentuh melalui tema Jambori ‘Scouts on the Move’ adalah mencerminkan para pengakap yang sentiasa aktif dan bersedia menghadapi cabaran dengan berbekalkan nilai undang-undang dan kemahiran-kemahiran Abad Ke-21 sebagai skills set yang perlu dipelajari dan miliki.
Saya gembira pengisian Jambori yang telah berlangsung sejak 2 Disember adalah merupakan wadah kepada semua Ahli Pengakap untuk saling mempelajari serta menimba pengalaman yang sangat berharga.
Di samping itu, ianya juga memberikan pengakap dari dalam dan luar dengan pertukaran pandangan dan pengetahuan serta pengalaman yang berguna untuk kemajuan diri dan pasukan masing-masing melalui berbagai kegiatan Jambori yang diaturkan.
Akhirnya, pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi penghargaan kepada semua agensi kerajaan, swasta, NGO serta semua peringkat Jawatankuasa yang terlibat bagi bersama-sama menjayakan Jambori ini. Penghargaan yang sama juga saya tujukan kepada semua anggota pasukan-pasukan pengakap yang menyertainya.
Kepada anggota pasukan pengakap dari negara jiran dan antarabangsa, saya yakin mereka akan membawa balik pengetahuan dan pengalaman serta kenangan manis di sepanjang mengikuti Jambori ini dan akan terus mengukuhkan hubungan persahabatan yang dijalin melalui Jambori ini dan kemanfaatannya di masa hadapan. Kepada mereka ini saya mengucapkan selamat kembali ke tanah air masing-masing dengan selamatnya.
Dengan kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim serta selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya mengisytiharkan penutupan rasmi Jambori Nasional Ke-5 Brunei Darussalam.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
