SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA
PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS SAMBUTAN ISRA’ DAN MI’RAJ PERINGKAT NEGARA
TAHUN 1447 HIJRAH
DEWAN PLENARY,
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC),
BERAKAS
PADA HARI SABTU,
27HB REJAB 1447 BERSAMAAN 17HB JANUARI 2026
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Pada pagi yang penuh keberkatan dan bermakna ini, Saya terlebih dahulu merafakkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya, kita berpeluang berhimpun untuk memperingati peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj; iaitu peristiwa luar biasa yang mengangkat martabat Junjungan Besar Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wassalam sebagai pedoman besar kepada seluruh umat manusia.
Di sebalik peristiwa tersebut, tersirat perintah yang amat agung kedudukannya, iaitu kewajipan sembahyang fardhu lima waktu dalam mana Allah Azza Wajalla mensyariatkannya secara langsung kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalaam ketika Baginda naik ke Sidratul Muntaha yang menandakan betapa tingginya martabat sembahyang sebagai tiang ugama dan asas keteguhan akhlak umat Islam.
Tema sambutan pada tahun ini, “Sembahyang Teras Modal Insan Cemerlang”, amat bertepatan dengan tuntutan pembangunan negara. Sesungguhnya kecemerlangan seseorang insan tidak hanya diukur melalui kekuatan fizikal atau kecerdikan akal semata-mata, tetapi turut bertunjangkan keteguhan spiritual, keluhuran akhlak serta disiplin diri. Nilai-nilai ini terbina melalui sembahyang yang dijaga dan dilaksanakan dengan penuh khusyuk.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah al-Mu’minun ayat 1 hingga 2 yang bermaksud:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ dalam sembahyang mereka.”
Hakikat ini menegaskan bahawa kualiti sembahyang adalah asas kejayaan manusia sepertimana pertautannya dengan titah Paduka Ayahanda semasa Sambutan Isra’ dan Mi’raj 1446 Hijrah yang lalu:
“Hati dan minda orang sembahyang tidak ke mana-mana, melainkan hanya kepada Allah semata-mata, menjadikan hati dan minda orang sembahyang itu pasti bersih, tenang dan sihat.”
Oleh itu, hanya minda yang sihat dan cerdas sahaja yang mampu membuat pertimbangan antara perkara baik dan buruk. Inilah ciri-ciri penting bagi pembentukan kecemerlangan modal insan yang seimbang; bukan sahaja cemerlang dalam akademik atau kemahiran teknikal, tetapi turut disempurnakan dengan kerohanian yang kukuh, akhlak yang luhur, dan integriti yang tinggi. Dalam tradisi Brunei, modal insan yang unggul ialah insan yang berilmu, beradab, berugama dan berakhlak mulia.
Pembangunan modal insan cemerlang adalah bermula daripada institusi keluarga yang kukuh sebagai asas utama dalam membentuk keperibadian, akhlak dan sahsiah anak-anak. Menyedari hakikat ini, usaha mengukuhkan institusi keluarga hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.
Perkara ini seiring dengan titah Paduka Ayahanda pada Sambutan Mauludir Rasul bagi Tahun 1447 Hijrah yang menekankan: “Keluarga yang dibangun berdasarkan keimanan, ketaqwaan dan cinta kepada Allah Subhanahu Wata’ala akan membentuk kepada keluarga yang penuh dengan ketenangan, kasih sayang dan rahmat.”
Paduka Ayahanda turut mengingatkan bahawa setiap daripada kita Adalah pemimpin yang akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan mutlak untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang berakhlak mulia dan jauh daripada sebarang gejala buruk khusus di zaman penuh cabaran ini. Adalah menjadi azam bersama untuk menjadikan institusi keluarga masing-masing sebagai keluarga yang diberkati mengikut acuan keluarga Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam. Kejayaan kita membentuknya adalah juga antara pemangkin kepada pencapaian matlamat Wawasan Negara 2035.
Akhir kalam, marilah kita mengambil tabarruk daripada peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj serta meneladani akhlak dan ketabahan Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wassalam dalam memperteguh hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wata’ala melalui kesempurnaan ibadah sembahyang. Mudah-mudahan kita dikurniakan kejayaan dan kebahagiaan di dunia serta akhirat. Amiin.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
***
