SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI

 

DI UPACARA ISTIADAT PERBARISAN SEMPENA HARI POLIS KE-99 TAHUN
 
BERTEMPAT
PADANG KAWAD, PUSAT LATIHAN POLIS, KOMPLEKS IBU PEJABAT POLIS GADONG
 
PADA
HARI SELASA, 1 REJAB 1441 BERSAMAAN 24 FEBRUARI 2020
 
 
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah kurnia dan rahmat-Nya jua, mengizinkan kita berhimpun di Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun pada pagi yang penuh bersejarah ini.

Sesungguhnya perhimpunan ini adalah sangat bermakna dalam menyuntik semangat serta melestarikan budaya kerja berdaya maju, disamping merista pencapaian dan kejayaannya selaku anggota pasukan beruniform yang sentiasa berganding bahu bersama masyarakat dalam mempertahankan kedaulatan, memelihara keselamatan dan kemakmuran bumi Brunei Darussalam.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) diatas dedikasi dan khidmat bakti dengan usaha berterusan untuk mengekalkan profesionalisme dan momentum kecemerlangan demi keutuhan keharmonian kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam mencapai usia ke-100 tahun, berbagai bentuk cabaran dan dugaan telah dan bakal diharungi pasukan polis yang setentunya turut mempengaruhi perkembangan, ketahanan dan integritinya secara keseluruhan.

Tema Sambutan Hari Polis tahun ini, iaitu ‘Bersama Menghadapi Cabaran’ memperingatkan kita semua bahawa keteguhan iman serta nilai-nilai beragama dan bernegara adalah sinonim dengan cabaran kerjaya dan tugasan bidang kepolisan yang memerlukan komitmen di samping jati diri yang tinggi.

Jesteru, ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada raja serta sikap jujur, amanah dan bertanggungjawab kepada pucuk kepimpinan adalah merupakan teras kepada pasukan polis dalam bersama-sama mempertahankan kesucian agama, perpaduan rakyat serta memelihara ketenteraman dan kedaulatan negara.

Natijahnya, cabaran yang perlu dihadapi masa kini adalah semakin kompleks dalam mana kes-kes jenayah yang melibatkan ancaman pengganas dan ideologi bercanggah termasuk tindak-tanduk segelintir masyarakat yang ada kalanya di luar jangkaan. Kecanggihan teknologi infokomunikasi dan alam siber juga turut merubah landskap komunikasi sosial serta potensi ancamannya kepada keselamatan. Perkembangan ini menuntut pihak pasukan polis untuk sentiasa siap siaga dalam menangani serta mengurus kesan daripada perubahan-perubahan yang amat disruptif kepada keharmonian kehidupan dan perpaduan masyarakat.

Ke arah itu, pembangunan kompetensi yang relevan kepada setiap anggota adalah signifikan kepada memperkasa keupayaan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan secara berterusan. Dalam hubungan ini, saya juga ingin mengingatkan semua anggota untuk sentiasa menanamkan sikap sense of purpose dan urgency melalui amalan budaya kerja yang sentiasa bermatlamat serta bersegera dalam tindakan demi menanai amanah pasukan polis.

Di arena global pula, saya gembira mengetahui pasukan polis terus berusaha untuk mengembangkan rangkaian kerjasama dengan pasukan polis serantau dan antarabangsa termasuk menyertai misi pasukan pengaman di kawasan konflik tertentu. Perkara ini setentunya membantu ke arah memantapkan lagi kemampuan serta reputasi PPDB menurut standard dan perspektif luar agar sama hebat serta setanding dengan pasukan-pasukan asing yang seangkatan.

Setiap anggota hendaklah sentiasa peka terhadap landskap keselamatan semasa dengan mengikuti perkembangan bidang kepolisan serantau dan antarabangsa, di samping bersedia untuk mempelajari dan mengadaptasi amalan-amalan terbaik menurut perspektif dan impak positifnya kepada negara. Perkara ini adalah selaras dengan titah paduka ayahanda semasa berangkat ke PPDB pada 5 September 2019 bahawa “Pasukan polis perlu mencari kecemerlangan dalam kerjaya mereka, cegah betul-betul jenayah, bersihkan Negara Brunei Darussalam daripada jenayah, ianya sebenar-benar tugas pasukan polis.”

Bersukut dari titah tersebut, saya juga ingin menekankan tentang kepentingan untuk pasukan polis sentiasa beringat dan berwaspada bahawa setiap tindakan, tugasan dan interaksinya bersama masyarakat adalah signifikan kepada meraih keyakinan masyarakat serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Akhirnya bersempena Istiadat Perbarisan Hari Polis Ke-99 Tahun, marilah kita bersama-sama bertekad untuk terus menabur khidmat terbaik ke arah meningkatkan serta memperkukuhkan kewibawaan pasukan polis seiring dengan tuntutan zaman. Di sebalik segala tindakan dan apa jua usaha yang dilaksanakan, saya ingin menekankan bahawa setiap usaha dan tindakan tersebut hendaklah didasari dengan doa serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah Subhanahu Wata’ala agar kita semua sentiasa diberikan taufik dan hidayah serta dalam pemeliharaan dan keredaan-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakatuh.

 

***