SABDA

DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
DI MAJLIS PERASMIAN
MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR’AN BAHAGIAN DEWASA
PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN TAHUN 1446 HIJRAH /2025 MASIHI
(MALAM PERTAMA)
 
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
PADA
SELASA (MALAM RABU), 3 SYAWAL 1446 BERSAMAAN 22 APRIL 2025

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Segala puji dan syukur dirafakkan ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan Inayah-Nya jua, kita dapat berkumpul untuk mendengar dan menghayati bersama lantunan kalam Allah dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.

Kalam Allah yang termaktub dalam Kitab suci Al-Qur’an yang diwahyukan melalui Malaikat Jibril ‘Alaihissalam adalah mukjizat teragung yang diturunkan kepada Nabi terakhir Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai pedoman dan petunjuk sepanjang zaman. Di dalamnya terkandung hukum mengenai ibadah secara individu dan undang-undang sosial, kisah para Nabi dan ummat terdahulu termasuk pelbagai petunjuk tentang kekuasaan Allah Maha Pencipta, kejadian alam dan sains.

Hikmahnya adalah untuk diimani dengan hati dan difikirkan dengan akal manusia yang sihat. Akal yang sihat dan cerdas sahaja yang dapat mendalami dan memahami hikmah ayat-ayat yang terkandung dengan melazimkan membaca, di samping mengukuhkan kefahaman melalui amalan tadabbur yang menjurus kepada menerangkan mata hati serta akal dan minda yang tajam. Justeru, akal dikurniakan kepada manusia sebagai alat organ spiritual untuk memahami, menilai dan membuat keputusan berpandukan kepada wahyu Illahi agar tidak tersesat dari kebenaran.

“Akal” disebut dalam Al-Qur’an sebanyak 49 kali dalam mana para Ulama menafsirkan kata “akal” disebut dengan kata kerja, iaitu suruhan supaya manusia sentiasa dalam proses memikir, memahami dan seterusnya mengenali Maha Pencipta alam semesta.

Dalam hubungan ini, Paduka Ayahanda Sempena Sambutan Mauludir Rasul yang baru lalu khasnya mengurniakan Titah mengenai dengan keperluan untuk ‘Memelihara Akal’ disebalik cabaran-cabaran masa kini dalam mana Paduka Ayahanda turut menitahkan antaralain tentang “akal yang sihat menjamin kehidupan berkat. Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. Sebab itu gejala mental adalah menjadi keutamaan untuk dirawat.”

“Dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar, terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran ahli Sunnah Wal Jama’ah. Oleh itu, kita perlu memperkuat sistem ‘immun’ atau kekebalan diri dengan pendidikan ugama. Ini penting, supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar Kerajaan.”

Sehubungan dengannya, Paduka Ayahanda juga seterusnya menitahkan bagi “aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat dari disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.”

Dengan demikian, keperluan untuk ‘Memelihara Akal’ dan seterusnya memperkukuh kekebalan diri adalah bertepatan dengan tema Musabaqah kali ini, iaitu “Akal Sihat dengan Al-Qur’an”. Fungsi akal sihat menurut Al-Qur’an adalah akal yang selalu ingat kepada Allah, mengenal kebesaran-Nya, dan menjalankan fungsinya sesuai dengan tujuan penciptaannya.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam surah Al-‘Imran, ayat 190-191, tafsirnya:“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan dan kebijaksanaan Allah) bagi orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.”

Konsep “Akal Sihat dengan Al-Qur’an” pada hemat saya bermaksud kesihatan dan
ketajaman pemikiran seseorang bergantung kepada sejauh mana akal itu berpandukan
ajaran Al-Qur’an. Al-Qur’an menyihatkan akal dengan membimbing akal ke arah kebenaran, mengajarkan manusia berfikir secara kritis dan merenungkan tanda-tanda kebesaran-Nya. Al-Qur’an juga menjauhkan dari pemikiran yang tidak sihat, negatif dan songsang serta menghindarkan dari ideologi yang menyesatkan dan nafsu yang melampaui batas.

Di sinilah signifikannya peranan semua pihak berkepentingan khasnya dalam bersama-sama menjunjung serta menanai Titah saranan Paduka Ayahanda seiring dengan keperluan untuk memperkasa masyarakat dalam menghayati ajaran-ajaran murni Islam berlandaskan Maqasid Syariah ke arah melahirkan generasi bangsa dan negara yang
sentiasa berusaha meraih keberkatan kehidupan duniawi dan ukhrawi.

Akhirnya, dengan lafaz kalimah agong “Bismillah Hir Rahman Nir Rahim”, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Saya sukacita merasmikan Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​