SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH
IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KALI KE-9
INSTITUT TAHFIZ AL-QURAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
BERTEMPAT
DEWAN UTAMA, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI RABU, 15 REJAB 1443 BERSAMAAN 16 FEBRUARI 2022
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillah Hir Rahman Nir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan izin-Nya jua kita berpeluang berhimpun dalam Majlis Haflut Takharruj, Diploma ‘Aaliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah Kali Kesembilan. Syabas dan setinggi kejayaan menamatkan pengajian masing-masing.
Sesungguhnya kejayaan setiap graduan akan terus menjadi tunjang utama kepada hasrat kita untuk melahirkan generasi huffaz negara yang menyumbang secara langsung kepada kecemerlangan institut, serta memelihara kesinambungan generasi penjaga ‘Kalamullah’.
Malah, keberhasilannya juga menjurus kepada mengukuhkan aspek emosi, rohani, jasmani, dan intelek kehidupan bermasyarakat seiring dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.
Tambahan pula, kecenderungan masyarakat dalam melestarikan amalan membaca dan mentadabbur Al-Quran serta melazimkan zikir dan doa tertentu kini boleh sahaja dipraktikkan menerusi pelbagai bentuk media masa terkini semata-mata bagi meraih syafaat ukhrawi dan duniawi, serta limpahan rahmat-Nya.
Ianya adalah juga bagi memohon dihindari daripada segala bentuk bencana yang berpunca dari sifat ‘hubbud dunia’ atau cinta dunia, sebagaimana maksud Surah Al-A’raf ayat 204 dan 205:
“Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia, serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.
“Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasan takut (melanggar perintahnya), dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai”.
Sehubungan dengannya, Kementerian Hal Ehwal Ugama, khasnya Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, termasuk institusi pengajian Islam dan khidmat swasta untuk secara berterusan mengaktifkan dan memperbanyakkan lagi rancangan halaqah atau program penggalak bagi mengasuh serta meningkatkan kemahiran membaca, menghafaz, dan mentadabbur Al-Quran.
Di samping itu, pendekatan yang diguna pakai bagi rancangan dan program sedia ada hendaklah dipelbagaikan dengan lebih kreatif dalam usaha mendekati dan melibatkan masyarakat agar mereka lebih berminat dan tertarik untuk menyertainya ke arah memastikan pencapaian rancangan dan program yang luas dengan kesan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, peluang adalah terbuka luas bagi para graduan untuk menimba ilmu ke peringkat lebih tinggi yang menjurus kepada menambah nilai serta meningkatkan potensi masing-masing sebagai pembimbing masyarakat.
Dalam hubungan ini, saya ingin memetik Titah Paduka Ayahanda pada Majlis Haflut Takharruj UNISSA Kali Ke-9 seperti berikut :
“Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walau satu pun, tentang institusi Pendidikan tinggi Islam yang tidak relevan. Sedang pendapat yang sahih, telah meletakkan Pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna”.
Kerana itu Paduka Ayahanda berpendirian, pengajian dan Pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.
Di sinilah juga pentingnya Institut Tahfiz sendiri, untuk terus peka dengan kehendak peredaran masa, khususnya menilai keberkesanan program-program yang diterajuinya sebagai pemangkin dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkeupayaan ke arah membantu negara berkembang maju secara progresif.
Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan dan berharap ilmu yang diraih dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Saya juga tidak lupa merakamkan ucapan setinggi tahniah dan penghargaan kepada kepimpinan, pentadbir dan tenaga pengajar serta warga kerja Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah termasuk ibu bapa dan penjaga di atas semangat gigih, usaha sama dan komitmen berterusan masing-masing yang telah menyumbang kepada kelangsungan program serta kejayaan setiap graduan.
Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan ganjaran berupa rahmat dan syafaat untuk kita semua.
Sekian, Wabillahit Taufiq Wal-hidayah, Wassalamu ‘Alaikum warahmatullaahi Wabarakaatuh.
***
