SABDA
DULI YANG TERAMAT MULIA PADUKA SERI PENGIRAN MUDA MAHKOTA PENGIRAN MUDA HAJI AL-MUHTADEE BILLAH IBNI KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, MENTERI KANAN DI JABATAN PERDANA MENTERI
DI MAJLIS MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
TAHUN 1442 HIJRAH / 2021 MASIHI
BERTEMPAT
DEWAN PLENARY, PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI SELASA, 27 SYAWAL 1442 BERSAMAAN 8 JUN 2021
Assalamu ‘Alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidinaa Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas izin-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1442 Hijrah bersamaan 2021 Masihi. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan keberkatan di atas kehadiran kita semua di majlis yang berkebajikan ini dengan mendengarkan ayat-ayat yang dibaca para qari dan qariah serta menghayati maknanya.
Alhamdulillah, kitab Al-Quran adalah mukjizat teragung yang diwahyukan kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang umat Islam wajib berpegang teguh padanya serta dipelihara secara mutawir atau bersambung dari satu generasi ke generasi sehingga ke hari ini seperti maksud ayat 9, Surah Al-Hijr :
“Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Zikr (Al-Quran) dan kamilah yang memelihara dan menjaganya”.
Setiap insan adalah masing-masing berperanan dalam membangun kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara melalui amanah serta tanggungjawab yang perlu ditunaikan dengan sebaiknya dalam mengharungi kehidupan di atas muka bumi dan seterusnya alam akhirat yang hakiki.
Allah Subhanahu Wata’ala telah dengan jelasnya mengamanahkan tugas dan tanggungjawab kepada manusia untuk memakmurkan alam ini dengan menciptakan dan meramaikan penduduk sesuai dengan peranan masing-masing sebagai pemakmur alam bagi seterusnya melestarikan ketamadunan manusia.
Sebagai pemakmur dan pentadbir alam, manusia juga perlu menunaikan tanggungjawabnya untuk memastikan kelestarian alam sekitar supaya apa jua bentuk pembangunan yang dinikmati dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang. Justeru, di sinilah keperluannya bagi generasi muda yang akan menerajui pembangunan negara khasnya dan seluruh masyarakat amnya dengan menghayati ajaran yang tersurat dan rahsia yang tersirat di dalam Al-Quran yang menyentuh seluruh aspek kehidupan, rohani dan jasmani, mental dan fizikal serta hubungan di antara haliq dan sesama insan.
Di sinilah umat Islam sepatutnya mengambil peranan yang lebih besar dalam membangun perpaduan umat sejagat, di samping menjadi sumber inspirasi serta pencetus kepada inovasi tamadun dan kesaksamaan peradaban, sesuai dengan cabaran zaman yang melangkaui bimbingan dan pendidikan kerohanian, di sebalik mematuhi perintah dan larangan-Nya demi membina kesejahteraan, perpaduan serta keharmonian kehidupan berbilang bangsa dan budaya.
Dengan demikian, penghayatan terhadap ajaran Al-Quran yang diterapkan kepada kita sebagai pemakmur dan pentadbir alam yang bermula daripada alam kanak-kanak perlu dilihat dengan lebih objektif, ke arah melestarikan kaedah pengajaran dan menyebarluaskan ilmu-ilmu tafsir dan tadabbur Al-Quran di seluruh peringkat masyarakat.
Melaluinya, murid-murid, para pelajar dan masyarakat, akan lebih mesra dengan Al-Quran, serta memahami maksud dan menghargai nilai iktibar yang tersirat di dalamnya, selaras dengan hasrat kita untuk membangun Negara zikir.
Pada masa ini, dunia sedang berhadapan dengan cabaran penularan wabak Koronavirus, yang mana menjejaskan kehidupan normal seluruh manusia termasuk di Negara Brunei Darussalam.
Walau bagaimanapun, alhamdulillah, kita di Negara Brunei Darussalam sangat-sangat mengutamakan dan penuh percaya dengan amalan-amalan doa dan selawat, yang terkandung di dalam Al-Quran dan as-Sunnah, selain Ikhtiar dan usaha menolak jangkitan Koronavirus berkenaan secara bersepadu, dengan mematuhi garis pandu yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Sepertimana Titah Paduka Ayahanda Semasa Perutusan Majlis Ilmu 2020 Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-74 Tahun yang berbunyi :
“Adakah pada pendapat para ilmuwan antara sebabnya ialah kerana kita terus mematuhi piawaian standard antarabangsa, di samping secara konsisten menggunakan vaksin ketuhanan berupa ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa?”
Jelas sekali, dengan penyerapan bacaan Al-Quran, zikrullah, selawat secara berterusan di balai-balai ibadah, radio dan televisyen serta mengharapkan pertolongan sepenuhnya dari Allah Subhanahu Wata’ala, dengan izin-Nya jua, Negara Brunei Darussalam, dilindungi dan dijauhkan daripada penularan wabak Koronavirus. Ini kerana, kita umat Islam penuh percaya bahawa Allah Subhanahu Wata’ala sahajalah maha berkuasa menyembuhkan semua penyakit.
Akhirnya dengan berkat kalimah Bismillahir Rahmanir Rahim, selawat serta salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya sukacita merasmikan Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1442 Hijrah.
Sekian. Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
