Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’aa, kerana dapat bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Australia, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini termasuk juga mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Keberadaan di luar negeri mendedahkan para pelajar kep​ada pelbagai cabaran. Barangsiapa yang mampu menghadapi cabaran, itu tandanya mereka memiliki kedayatahanan diri. Oleh itu, gunakanlah peluang ini untuk membina diri, pemikiran dan nilai kepimpinan. Para pelajar adalah pewaris kepimpinan negara. Kerana itu, seyogia para pelajar jangan leka dari memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan sebagai keperluan untuk bergerak lebih pantas mendepani cabaran-cabaran era globalisasi yang dinamik.

Sains dan teknologi sangat ketara mempengaruhi kehidupan. Platform digital seperti media social semakin menjadi penentu kepada sumber ilmu, inspirasi, idea, kolaborasi dan komunikasi. Teknologi ini apabila digabungkan dengan AI (Artificial Intelligence), maka ia menjadi penyampai dan penyebar maklumat lebih terbuka, pantas dan mudah. Maka gunakanlah ia dengan penuh tanggungjawab, supaya tidak terjebak ke dalam pelbagai isu keselamatan digital seperti academic malpractice, penyebaran maklumat palsu dan menjadi mangsa jenayah siber.

Juga perlu diingat oleh para pelajar, manakala jauh diperantauan, maka janganlah lupa akan budaya keBruneian, sekalipun di mana kita berada. Sebaliknya pupuklah nilai-nilai kerohanian yang tinggi yang bersendikan akidah Ahli Sunnah Waljama’ah untuk keselamatan kita di dunia dan di akhirat.

Pada beberapa hari yang lalu, kita di Brunei telah menyambut secara besar-besaran 40 tahun merdeka. Sambutan ini sepatutnya menyedarkan kita bahawa kemerdekaan itu bukan untuk disambut semata-mata, tetapi yang penting ialah untuk diisi. Kemerdekaan mesti diisi, barulah ada makna kita merdeka.

Dengan apakah kemerdekaan itu diisi? Dengan tanggungjawab, dengan kerja keras, dengan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi serta dengan mempertahankannya jika ia dikacau.

Bagi para pelajar, mengisi kemerdekaan itu ialah dengan belajar bersungguh-sungguh, di mana ilmu pengetahuan yang diperolehi, itulah pengisi kemerdekaan.

Selain itu, semangat patriotic perlu disemat kukuh dalam jiwa setiap pelajar. Libatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat, sebagai tanda “Pemuda Harapan Bangsa dan Pemudi Tiang Negara.” Cintailah negara dalam susah dan senang, nescaya Allah akan mengasihi awda, kerana cintakan negara itu daripada iman.

Akhirnya, Beta berharap agar para pelajar juga sentiasa menghormati undang-undang, kerana kita adalah warga dunia yang menghormati undang-undang.

Dengan tulus ikhlas, Beta mendoakan supaya semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam aman sejahtera di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian, Wabillahit Tufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​