TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND
PADA :
HARI AHAD,
20 JAMADILAKHIR 1446 / 22 DISEMBER 2024
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL, LONDON, UNITED KINGDOM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,
Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, atas limpah rahmat-Nya, mentakdirkan Beta dapat hadir bersama-sama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, khususnya para pelajar yang sedang menuntut ilmu dan menimba pengalaman, serta juga pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.
Para pelajar boleh disifatkan sebagai peneraju negara dan ejen perubahan yang akan merealisasikan aspirasi kita di masa hadapan. Maka untuk itu, kemajuan, kejayaan dan kestabilan negara dan bangsa amatlah bergantung kepada para pelajar sekalian. Oleh yang demikian, para pelajar mestilah berusaha untuk menjadi pemimpin yang bersemangat dan berilmu tinggi, yang mampu bersaing dengan apa jua tantangan di hadapan.
Kita akan tetap berhadapan dengan cabaran keadaan yang semakin kompleks, yang terbit dari isu-isu ekonomi, sosial, politik serta teknologi. Selain kita sangat diperlukan untuk sentiasa peka dengan apa jua yang mendatang, kita juga adalah dituntut untuk mempunyai pengetahuan dan kemahiran tinggi. Oleh itu bagi pelajar, ambillah peluang semasa berada di luar negeri untuk memupuk kualiti diri.
Pendedahan kepada keadaan, budaya dan ilmu yang berbeza boleh mengembangkan minda dan kualiti kemahiran. Maka oleh itu, jadikanlah kesempatan ini untuk mencabar diri sendiri supaya para pelajar dapat memiliki kualiti yang dimaksudkan.
Dalam kepesatan teknologi, para pelajar mestilah bijak serta mahir untuk membezakan sumber yang boleh dipercayai ataupun tidak. Maka oleh itu, para pelajar, jadilah awda semua warga digital atau ‘Digital Citizen’ yang bertanggungjawab dan beretika, supaya awda sekalian selamat dan berjaya.
Dalam keadaan dunia semakin tidak menentu ini juga, kita sering terdedah kepada tekanan yang boleh mempengaruhi akal budi kita. Beta menyeru kepada pelajar semua supaya sentiasa menjaga kesihatan mental, dan jangan malu untuk mendapatkan bantuan jika diperlukan. Sesungguhnya pertolongan adalah tanda kekuatan, bukan kelemahan.
Perkara yang paling penting ialah, berpegang dengan kuat kepada nilai-nilai ugama, iaitu mengamalkan segala aktiviti yang bermanfa’at yang boleh membawa kepada ketenangan, serta juga menjaga kesihatan dan mengawal pemakanan. Disamping itu Beta teruja untuk menasihatkan, supaya para pelajar yang berjauhan dengan keluarga, hendaknya jangan lupa untuk meluangkan masa berhubung dengan mereka.
Dalam proses menjadi individu cemerlang, bataskanlah diri dari mendekati aktiviti yang tidak bermoral. Perkara ini jangan dipandang remeh kerana ia boleh merosakkan masa depan, jika tidak dibendung dari awal.
Maka sehubungan itu, Beta tidak jemu-jemu mengingatkan supaya para pelajar semua janganlah mengabaikan ajaran ugama. Dekatkanlah diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala, dengan mengekalkan ibadat serta banyak membaca Al-Qur’an dan berzikir. Insya Allah dengan cara ini para pelajar akan selamat.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo’akan agar semua pelajar dan rakyat Beta di sini sentiasa dalam sejahtera dan kekal di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
* * *
