TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN IRELAND
PADA:
24 JAMADILAWAL 1444 / 18 DISEMBER 2022
TEMPAT:
LONDON UNITED KINGDOM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,
Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta merafa’kan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah Beta bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.
Majlis ini sangat bermakna kerana ianya mencerminkan perpaduan erat yang dibina di kalangan penduduk dan rakyat Beta, dimanapun mereka berada, terutama setelah dunia bergelut dengan pandemik coronavirus. Alhamdulillah, kini Beta dapat bersua-muka dan mengetahui secara dekat perkembangan, kemaslahatan dan kesejahteraan para penduduk dan rakyat Beta, khasnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini.
Beta sedia maklum, bahawa para pelajar juga ada yang dijangkiti virus ini, dan Beta gembira mengetahui, keadaan mereka yang dijangkiti itu cuma ditahap ringan sahaja dan telah sembuh dalam tempoh yang singkat.
Dalam hubungan ini, Beta ingin mengingatkan, supaya para pelajar terus sahaja berjaga-jaga dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan, walaupun telah menerima vaksinasi sepenuhnya.
Beta memahami, bahawa COVID-19, sedikit sebanyak telah memberikan kesan ke atas pembelajaran dan proses penyelidikan para pelajar sekalian. Namun Beta tetap yakin, para pelajar akan terus cekal, tabah, gigih dan resilient dalam menempuh cabaran ini.
Perlu diingat oleh semua golongan pelajar, bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk memacu pembangunan negara, kerana pendidikanlah yang menentukan sumber manusia menjadi nadi penggerak kepada kemajuan. Kerana itu, Kerajaan Beta akan terus menyediakan peluang untuk para pelajar mengikuti pengajian melalui pelbagai skim biasiswa. Gunakan dan rebutlah peluang ini dengan sebaiknya.
Dalam pada itu, disamping giat menimba ilmu, Beta juga tidak jemu-jemu mengingatkan, supaya para pelajar hendaklah terus peka memelihara identiti kebruneian dimana sahaja mereka berada. Kita ‘Orang Brunei’ tetap Orang Brunei dengan calaknya pula ialah MIB, Melayu Islam Beraja.
Supaya para pelajar tetap berhias dengan iman dan sifat takwa, maka Beta sangat menggalakkan supaya program bimbingan Al-Qur’an dan ugama yang dilaksanakan oleh pihak berkenaan bagi pelajar-pelajar yang menuntut di luar negara. Ini penting, sebagai kewajipan melengkapi diri pelajar-pelajar dengan nilai-nilai seimbang, duniawi dan ukhrawi.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan, semoga semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini sentiasa dalam keadaan baik-baik belaka, sejahtera dan maju serta berada di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala jua. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
