Titah KDYMM Di Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN BAHAGIAN
DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN
BAGI TAHUN 1446 HIJRAH / 2025 MASIHI

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, dengan berkat dan mukjizat Al-Qur’an jua, maka dapatlah kita berhimpun pada malam yang penuh keberkatan ini untuk sama-sama memeriahkan Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur’an Bahagian dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi.

Tema Musabaqah tahun ini “Akal Sihat Dengan Al-Qur’an”, amat bertepatan dengan peranan Al-Qur’an sebagai panduan hidup yang sempurna. Al-Qur’an bukan sahaja memberi pencerahan kepada akal fikiran, tetapi juga mendidik jiwa untuk memahami erti kebenaran, keadilan dan kehidupan yang aman serta sejahtera.

Musabaqah Membaca Al-Qur’an seperti ini memainkan peranan besar dalam meningkatkan kecintaan umat Islam terhadap Al-Qur’an. Bacaan yang tartil dan indah menyentuh hati, sementara penghayatan isi kandungannya menggerakkan akal untuk berfikir secara mendalam dan bijaksana. Firman Allah Subhanahu Wata’ala, dalam Surah Al-An’am ayat 50 yang tafsirnya: “Tidakkah kamu mahu berfikir?”.

Ayat ini menyeru umat Islam untuk menggunakan akal dengan penuh hikmah, berpandukan Al-Qur’an dalam segala aspek kehidupan. Akal yang sihat adalah asas kepada masyarakat yang maju dan sejahtera. Kecemerlangan akal hanya dapat dicapai apabila ia dipandu oleh wahyu Ilahi iaitu Al-Qur’an. Al-Qur’an mendidik akal untuk mengenal perkara-perkara baik dan buruk, memberi pertimbangan yang adil, serta menyatukan ilmu duniawi dengan nilai-nilai ukhrawi. Oleh itu, usaha menjaga kesahihan dan kesucian mushaf Al-Qur’an adalah satu amanah yang mesti diberi perhatian utama.

Dalam hubungan ini, bagi memastikan setiap bahan-bahan terbitan yang meliputi mushaf Al-Qur’an untuk diterbitkan, dicetak dan diedarkan di negara ini hendaklah memenuhi piawaian yang tinggi.

Beta berpendapat adalah baik bagi agensi-agensi yang berkaitan memperkemaskan lagi Garis Panduan yang sedia ada dengan mewujudkan satu akta khas penerbitan, pencetakan dan pemuliaan mushaf Al-Qur’an bagi Negara Brunei Darussalam. Beta berharap ia akan dapat dimanfaatkan dalam memastikan setiap mushaf yang akan diguna pakai itu memenuhi kaedah Rasam Uthmani yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hubungan diantara tema dengan keperluan akta ini mengingatkan kita kepada, bahawa Al-Qur’an bukan sekadar bacaan, tetapi sebuah manual kehidupan yang mendidik akal-budi untuk mengenal hikmah dan kebenaran. Dengan adanya akta ini, kita dapat memastikan bahawa mushaf Al-Qur’an yang digunakan oleh umat Islam di negara ini adalah sahih, sekali gus menjamin keaslian panduan Al-Qur’an dalam mencerdaskan akal dan jiwa.

Akhirnya, Beta berharap, pihak-pihak berkenaan akan dapat memberikan sokongan padu dalam usaha-usaha berkebajikan ini, dan juga yang berkait rapat dengan pengukuhan amalan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan ‘Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafi’e. Laungan Kalamullah yang sentiasa bergema di muka bumi Brunei Darussalam ini tidak diragukan lagi adalah pemangkin kepada kesejahteraan negara dan kemakmurannya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​​