TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS
PERASMIAN KONFERENSI ANTARABANGSA
ISLAM BORNEO KE-15 (KAIB XV)
 
PADA
HARI RABU
28 ZULKAEDAH 1445 / 5 JUN 2024
 
ANJURAN
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
(UNISSA)
 
BERTEMPAT :
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan rahmat-Nya sehingga dapatlah kita sama-sama menghadiri Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Kali Ke-15 pada pagi ini.

Kepulauan Borneo dimaklumi mengalami perkembangan pesat, seiring dengan kemajuan pusat-pusat ilmu yang mencorak masyarakat bertamadun. Islam di Borneo merupakan pegangan atau anutan majoriti rakyat dan penduduknya. Oleh itu Beta gembira mengetahui, bahawa persidangan seumpama ini, yang telah bertapak melebihi satu dekad, masih saja meneruskan wacana intelektualnya sehingga ke hari ini. Tidak syak lagi sumbangan para ilmuan dalam persidangan seumpama ini adalah merupakan tonggak kemajuan ummah.

Pada kali ini, KAIB membawakan tema “Membangun Masyarakat dan Perbandaran Islam Yang Mampan”. Beta melihat pembangunan perbandaran Islam itu sifatnya adalah menyeluruh, tidak hanya berupa pembangunan material atau fizikal, tetapi menekankan kemajuan yang seimbang lahiriah dan rohaniah. Pembangunan yang hanya mementingkan kemajuan fizikal semata-mata tidak akan bertahan lama.

Demikian itulah ketentuan sejarah, bagaimana kerajaan-kerajaan besar zaman silam runtuh kerana kemajuan yang dibangun tidak berpaksikan nilai-nilai rabbani yang kukuh. Lalu peradaban yang dibina sekian lama itupun roboh, hanya tinggal menjadi ristaan sahaja.

Berdasarkan ketentuan dan pengalaman pahit inilah, kita tidak mahu memiliki perbandaran yang hanya dibangun dengan benda yang cepat malap dan luntur. Sebaliknya yang kita mahu ialah perbandaran Islam yang dibangun dengan nilai-nilai seimbang, benda dan rohani.

Kepulauan Borneo yang kaya dengan sumber alam, mesti kaya juga dengan sumber rohani, maka barulah kita akan dapat masyarakat berdaya tahan dan kuat untuk mendepani segala cabaran dan asakan zaman.

Sehubungan itu, Beta suka menyarankan supaya institusi pengajian tinggi Borneo dapat memainkan peranan untuk benar-benar menjadi lubuk ilmu yang bukan sahaja menawarkan program untuk memenuhi tuntutan semasa, tetapi juga mendidik dan mencorak anak bangsa menjadi insan seimbang.

Dalam kita membincangkan pembinaan tamadun, khasnya tamadun masyarakat Islam di Alam Melayu, maka kita janganlah lupa mengenai khazanah ilmu dalam bentuk pelbagai manuskrip ataupun kitab-kitab lama tulisan ulama silam.

Di sini, Beta melihat adanya keperluan bagi penubuhan sebuah pusat yang bertanggungjawab memelihara dan melestari manuskrip. Pusat itu nanti akan jadi sumber kajian berkaitan ugama, identiti, asal-usul, sejarah, tradisi dan legasi masyarakat rantau ini. Melaluinya aktiviti kajian dan penyelidikan manuskrip dapat diaktifkan. Hal ini mustahak kerana manuskrip adalah warisan atau khazanah yang menyimpan banyak ilmu serta pengetahuan yang bernilai.

Penerokaan terhadap karya ilmuan klasik ini akan mampu memberi kesedaran atau kefahaman kepada generasi hari ini mengenai sejarah bangsa dan negara untuk merangka kemajuan masa depan yang progresif dan menyeluruh. Beta juga berharap, manuskrip-manuskrip berharga ini akan dapat diakses dengan mudah dengan menggunakan teknologi digital. Dokumentasi dalam bentuk digital ini nanti juga akan dapat mempercepat dan memperluas lagi sebaran manuskrip milik kita di kepulauan ini ke merata pelusuk dunia.
Akhirnya, Beta tidak lupa mengucapkan selamat datang kepada para delegasi dari luar ke Negara Brunei Darussalam dan mengucapkan selamat bersidang. Beta mendo’akan majlis-majlis ilmu seperti ini akan memartabatkan lagi kedudukan Islam Borneo dan sekaligus di rantau Asia tenggara. Kerukunan dan semangat persaudaraan yang terjalin kukuh akan menjadikan kita lebih bersatu untuk membangun masyarakat dan perbandaran Islam yang mampan.

Dengan bertabarruk mengambil berkat Kalimat Suci, Bismillah Hirrahmanir Rahim, maka Beta rasmikan Majlis Konferensi Antarabangsa Islam Borneo Kali Ke-15.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​