TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN PERINGKAT NEGARA
BAGI TAHUN 1445H / 2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan  limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita bersama-sama hadir di majlis yang penuh berkat ini. Beta difahamkan tema majlis sambutan Nuzul Al-Qur’an peringkat negara pada tahun ini ialah Al-Qur’an Pedomanku.
 
Tema ini sangatlah signifikan. Apatah lagi pada masa dunia sedang menghadapi pelbagai pancaroba yang sangat mencabar. Dengan situasi ini, memang wajar kita menjadikan Al-Qur’an sebagai sumber utama rujukan dan pedoman dalam kehidupan ini.

Al-Qur’an tidak diragukan lagi adalah kitab suci dan istimewa. Di dalamnya terdapat panduan yang lengkap lagi sempurna. Al-Qur’an mengandungi jawapan kepada segala persoalan hidup, baik yang berkaitan dengan hubungan antara manusia mahupun dengan Allah Ta’ala. Beta yakin jika, semua orang tunduk dan berpegang kepada Al-Qur’an, nescaya dunia ini akan aman sejahtera.

Kerana itu Brunei Darussalam mesti komited dengan Al-Qur’an, memperkukuh pembacaan Al-Qur’an. Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan mesti menguatkan pengajaran dan pembelajaran Al-Qur’an di sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta, sentiasa memantau perkembangan pembelajaran Al-Qur’an di sekolah-sekolah rendah hingga ke peringkat tinggi.

Beta berhasrat, semua anak Brunei adalah pandai membaca Al-Qur’an dengan bertajwid. Maka oleh itu, khidmat guru-guru adalah diperlukan untuk melutani pengajaran Al-Qur’an, terutama bagi murid-murid di sekolah rendah yang belum berapa lancar membaca Al-Qur’an, di samping tidak mengabaikan juga pelajar-pelajar di sekolah menengah.

Beta mengambil maklum bahawa Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Pengajian Islam telah melaksanakan Program Tahsin Qira’atil Qur’an yang mula diperkenalkan pada tahun 2021. Ini  adalah rancangan yang bagus untuk meningkatkan  kemahiran para guru ugama dalam pembacaan Al-Qur’an. Beta percaya, pelaksanaan rancangan ini mampu untuk menghasilkan guru-guru ugama yang berkualiti dalam pembacaan Al-Qur’an.

Selain itu, Beta turut mengambil maklum, mengenai Program Tadabbur Al-Qur’an yang diungkayahkan oleh beberapa pihak, khususnya agensi-agensi di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan lain-lain institusi pendidikan di negara ini. Dengan wujudnya pelbagai inisiatif murni seperti ini, kita di Brunei tidak hanya akan fasih membaca Al-Qur’an, bahkan juga akan dapat memahami maksud Al-Qur’an. Inilah hasil tadabbur yang diharapkan.

Alhamdulillah, Beta juga sangat bersyukur, manakala mengetahui bahawa bukan sahaja pihak kerajaan, malah juga pihak swasta, agensi-agensi tempatan dan para belia masing-masing mempamerkan kesungguhan, turut sama-sama berkecimpung menghayati Al-Qur’an, melalui pusat-pusat pengajian, termasuk kelas-kelas menghalusi bacaan. Kelas-kelas ini sangatlah mustahak, yang juga berkait rapat dengan pengukuhan amalan berugama. Beta berharap pihak-pihak berkenaan akan terus menyokong usaha-usaha berkebajikan ini, disamping dalam masa yang sama memantau kelas-kelas berkenaan supaya tidak terpesong atau tersasar dari landasan pegangan Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah Mazhab Syafi’e.

Akhirnya Beta mengajak semua kita, untuk sama-sama memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala supaya ibadat puasa serta apa jua amalan yang berkebajikan yang kita lakukan di bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​