TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, 
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
TAHUN 1447H / 2026M

ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA HARI SABTU:
16 SYAWAL 1447H / 04 APRIL 2026M

 

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, kita di negara ini berpeluang lagi meraikan hari kemenangan umat Islam, Hari Raya ‘Idil Fitri, dalam suasana aman, sejahtera dan riang gembira.

Dalam meraikan hari yang mulia ini, kita tidak boleh lupa mendoakan sebahagian umat Islam dan masyarakat di beberapa buah negara yang sedang diuji dengan pergolakan, sehingga menyebabkan rakyat dan penduduknya mengalami kesusahan dan penderitaan. Sesungguhnya, keadaan sedemikian ini cukup menginsafkan kita untuk sentiasa mensyukuri nikmat keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata ‘ala kepada kita.

Kerana itu, adalah wajar untuk kita membalas nikmat itu dengan amal salih yang tiada penghujungnya.

Beta menyambut baik tema sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri anjuran Yayasan pada tahun ini iaitu “Inovasi A.I: Pemangkin Pembangunan Masyarakat”. Tema ini memberi isyarat bahawa kecerdasan buatan (AI) yang kini tampil sebagai gelombang baharu yang sedang membentuk wajah dunia, perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, secara inklusif, beretika dan demi kepentingan pembangunan masyarakat.

Tidak dinafikan, potensi inovasi AI amatlah luas dalam memacu kemajuan dan daya saing. Namun demikian, perkara ini hendaklah ditangani dengan penuh bertanggungjawab, supaya semua manfaatnya dapat diraih tanpa mengabaikan tuntutan etika, tadbir urus yang baik, keadilan sosial dan rohani generasi akan datang.

Pada pandangan Beta, tumpuan utama hendaklah diberikan kepada bidang-bidang yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, seperti memperkukuh perkhidmatan awam, meningkatkan mutu pendidikan, menambahkan kecekapan sistem kesihatan, memajukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana, serta melahirkan tenaga kerja yang mahir. Pendekatan seperti ini adalah selaras dengan hasrat negara ke arah merealisasikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Smart Nation, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Di sinilah pelbagai pihak yang berkenaan perlu berganding bahu untuk melengkapkan para belia dan tenaga kerja tempatan dengan kelayakan dan kemahiran terkini.

Pembangunan AI tidak boleh dilihat hanya dari sudut teknologi, tetapi hendaklah juga dinilai dari sudut kemanusiaan, keadilan dan kelestarian. Kecerdasan buatan (AI) mesti dimanfaatkan untuk memperluas peluang, dan bukan memperdalam jurang, serta untuk memperkasa daya cipta manusia, bukan melemahkannya.

Beta sangatlah mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para pegawai daripada agensi kerajaan dan sektor swasta, para usahawan dalam bidang teknologi kecerdasan buatan (A.I), sektor perbankan, para pendidik dan pelajar, golongan belia serta ketua-ketua komuniti akar umbi, yang masing-masing memainkan peranan penting dalam menyumbangkan idea, karya dan komitmen ke arah membentuk masyarakat yang celik teknologi, berdaya tahan, berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan. Kehadiran dan penglibatan semua pihak ini amatlah bermakna untuk memperkukuh usaha negara memanfaatkan AI secara inklusif, beretika dan berkesan, demi kemajuan dan kesejahteraan masyarakat.

Kita berdoa semoga dengan usaha bersepadu, kerjasama semua pihak dan petunjuk serta pertolongan Allah Subhanahu Wat’ala jua, Negara Brunei Darussalam akan terus melangkah sebagai sebuah negara, yang bukan sahaja bersedia menghadapi masa depan digital, bahkan juga mampu untuk mempelopori perubahan dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***