TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI KEPUTERAAN
BAGINDA YANG KE-78 TAHUN
1446H / 2024M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita untuk dapat menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-78 dalam suasana aman dan tenteram.
Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Kita bersyukur, berkat negara berada dalam aman dan sejahtera, Kerajaan Beta terus berupaya melaksanakan pelbagai usaha, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, selaras dengan peredaran masa.
Keutamaan kita tetap tertumpu kepada merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan merancakkan pertumbuhan ekonomi, dan seterusnya memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk terus terpelihara.
Beta beranggapan bahawa rakyat dan penduduk di negara ini sudah semakin matang dalam melalui situasi dan keadaan yang kadang-kadang tidak menentu.
Namun berkat perpaduan dan kerjasama yang kukuh di antara rakyat dan penduduk, maka semua keadaan yang mencabar dapat di atasi dengan baik.
Bercakap mengenai keadaan mencabar, golongan belia adalah tonggak yang sangat diharapkan. Ke atas bahu merekalah turut dibebankan tanggungjawab mencorakkan masa depan negara. Mereka terus diberi peluang untuk menjadi penggerak dan pemacu perubahan. Itulah peranan dan tanggungjawab golongan belia.
Ini selaras dengan usaha memantapkan pembangunan modal insan menerusi sistem pendidikan dan latihan yang inovatif, mengukuhkan kemahiran dan kebolehpasaran anak-anak tempatan termasuk belia, sejajar dengan keperluan industri, ekonomi dan badan profesional.
Berkaitan dengan pembangunan kemahiran profesional, Kerajaan Beta menerusi Syarikat Jerudong Park Medical Centre Sendirian Berhad (JPMC) dengan kerjasama Far Eastern University, Republik Filipina telah menubuhkan JPMC College of Health Sciences.
Institusi tersebut adalah merupakan kolej kejururawatan swasta yang pertama di negara ini. Selain peluang meningkatkan kemahiran, ianya juga dirancang untuk memenuhi keperluan sektor awam dan swasta serta untuk tujuan melahirkan jururawat yang berkualiti serta mampu berdayasaing di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
Sehubungan ini, Beta amat bersyukur bahawa ekonomi negara telah mencatatkan pertumbuhan positif pada tahun 2023, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi Sektor Bukan Minyak dan Gas mencatatkan peningkatan sebanyak 4.5 peratus, dan 59.8 peratus daripada keseluruhan eksport domestik adalah sumbangan daripada sektor berkenaan.
Sementara itu, Prospek unjuran pertumbuhan ekonomi negara akan lebih memberangsangkan, bilamana ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) mengunjurkan pertumbuhan KDNK negara bagi tahun 2024 pada kadar 2.7 peratus.
Manakala Asian Development Bank pula mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 3.7 peratus; dan International Monetary Fund (I.M.F) sebanyak 2.7 peratus berasaskan kepada pertumbuhan berterusan di sektor hiliran dan makanan. Demikian juga Alhamdulillah, Beta gembira, KDNK Negara pada Suku Pertama tahun ini telah berjaya merekodkan pertumbuhan sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun.
Kerajaan Beta, insya Allah akan terus melipat gandakan lagi usaha dalam memacu pembangunan ekonomi yang lebih pesat pada tahun-tahun mendatang, dan juga telah menjadi aspirasi Beta untuk melihat pertumbuhan ekonomi yang lebih signifikan, demi kesejahteraan rakyat Beta yang Beta kasihi, lebih-lebih lagi menjelangnya Jubli Intan Pemerintahan Beta, yang insya Allah akan disambut pada tahun 2027 nanti.
Adapun usaha mewujudkan lebih banyak peluang pelaburan, pekerjaan dan pemindahan kepakaran dan teknologi kepada warga kerja tempatan akan terus dipertingkatkan. Ini dikaitkan dengan potensi besar dari pembangunan fasa kedua Kompleks Petrokimia dan Penapisan Berintegrasi Hengyi Industries di Pulau Muara Besar, peluasan Pelabuhan Muara serta projek Integrated Marine Maintenance and Decommissioning Yard.
Keutamaan juga terus diberikan kepada pembangunan keusahawanan tempatan. Pelbagai program dan inisiatif telah diperkenalkan untuk memperkukuhkan lagi keupayaan perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Ini termasuk merebiu semula dasar PMKS ke arah yang lebih lebih kondusif; memperluaskan rangkaian perniagaan dan akses pasaran; dan mengadakan latihan terkini untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan.
Ke arah mewujudkan eko-sistem perniagaan yang kondusif, khasnya dalam konteks Negara Pintar atau Smart Nation, maka usaha ke arah pembangunan sebuah hab pembayaran digital yang telah diterajui oleh National Digital Payments Network Sendirian Berhad, insya Allah dijangka akan mula dilancarkan dalam masa terdekat.
Ianya berpotensi besar dalam menjana pertumbuhan transaksi tanpa tunai atau cashless transactions menerusi pelbagai platform multimedia masa kini.
Dalam hal ehwal antarabangsa pula, Tahun 2024 menandakan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dengan negara luar serta keahliannya di pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.
Dasar luar yang diamalkan dalam tempoh empat dekad ini, telah membolehkan negara mengekalkan hubungan dan kerjasama kukuh dengan rakan-rakan strategik.
Prinsip kerjasama dan saling memahami ini juga menekankan kepentingan pelaksanaan komitmen negara di peringkat serantau dan antarabangsa.
Antaranya ialah yang berkaitan dengan perubahan iklim menerusi komitmen ‘Perjanjian Paris’ dengan sasaran pengurangan pelepasan gas hijau negara sebanyak 20 peratus menjelang 2030.
Kerajaan Beta sedang menyediakan Pelan Adaptasi Kebangsaan ke arah meningkatkan kedayatahanan negara terhadap impak perubahan iklim. Disamping itu, dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam akan terus menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi akan datang.
Semoga usaha-usaha yang bermakna ini akan terus dipertingkatkan, dengan gandingan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada, untuk bersama-sama merealisasikan aspirasi negara.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.
Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
***
