TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI 
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL ADHA
TAHUN 1440H/2019M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Sememangnya kita wajar bersyukur, kerana dapat pula menyambut hari yang mulia lagi penuh berkat ini, ‘Idil Adha Al-Mubarak. 
‘Idil Adha ertinya Hari Raya Korban, merujuk kepada pengorbanan Nabi Allah Ibrahim menyembelih putera Baginda, Nabi Ismail ‘Alaihimashshalatu wassalam. 
Perbuatan Nabi Ibrahim ini, bukan disorong oleh kemahuan sendiri, tetapi demi, kerana menjunjung titah perintah Allah jua. 
Maka kerana itu, peristiwa ini dapatlah dianggap sebagai isyarat atau ketetapan Allah, bahawa apa jua perintah yang datang daripada-Nya, adalah ia wajib dipatuhi tanpa ada soal-jawab lagi. 

Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Seyogia diingat, bahawa apa jua bentuk atau jenis perintah itu, adalah ia tidak sunyi dari mengandungi hikmah. 
Hikmah ialah ‘rahsia tertinggi’ ketuhanan.
 
Mari kita mengimbas seketika, tentang hikmah di sebalik perintah berkorban itu. Walaupun dengan mematuhi perintah ini, risikonya amat tinggi iaitu nyawa melayang, namun kerana memahami akan harga hikmah itu, maka Nabi Ibrahim tetap mematuhi perintah tersebut, tanpa mempedulikan apa pun risikonya. 
Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Walillahil Hamd.
Memang, apa saja perintah, semuanya itu tidak lepas dari risiko. Perintah sembahyang, risikonya sangat membebankan, kerana ia dilakukan sebanyak lima kali sehari semalam. Perintah berpuasa, risikonya mencabar kesabaran. Perintah berzakat, risikonya menjejaskan harta, dan perintah menunaikan haji, risikonya pelbagai kesukaran. 
Pendeknya, semua perintah adalah tidak sunyi dari risiko. Namun di sebalik risiko itu,  terdapat ‘hikmah ketuhanan’, berupa ganjaran baik, untuk diterima kemudian hari. 
Sila perhatikan, Nabi Ibrahim dan putera Baginda, Nabi Ismail ‘Alaihimashshalatu wassalam telah memilih untuk mematuhi perintah, tanpa menghiraukan apapun risiko yang akan diterima. Dan natijah daripada mematuhi perintah inilah, pada akhirnya, mereka diberikan kelepasan oleh Allah dengan menggantikan Nabi Ismail dengan kibasy untuk disembelih. 
Ini adalah satu pengajaran besar untuk dicontohi. 
Sesuai dengan senario masa kini, di mana umat Islam sedang dikepong oleh pelbagai cabaran, termasuk cuba dipengaruhi dan bahkan dipaksa untuk mengingkari hukum dan perintah Allah. Maka dalam situasi begini, semangat dan sikap Nabi Ibrahim dan putera Baginda Nabi Ismail ‘Alaihimashshalatu wassalam adalah wajar untuk diambil-pakai oleh kita. 
Dengan cara itu, insya Allah, pertolongan dan pemeliharaan-Nya akan berpihak kepada kita untuk menyelamatkan semua: Menyelamatkan ugama, menyelamatkan umat dan negara, sebagaimana yang telah diterima oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail kerana keta’atan mereka, walaupun mereka diasak dan dihasut oleh syaitan musuh Allah untuk mengingkari perintah-Nya itu. 
Lihatlah, keteguhan sikap dua beranak ini membawa rahmat, bukannya mengundang mudharat. 

Demikian itu impak keta’atan, dimana Allah akan membalasnya dengan rahmat.
 
Ini, bukan khusus untuk dua orang Nabi ini sahaja, bahkan untuk siapa jua yang beriman, dimana amal saleh dan keta’atan kepada Allah, akan membuahkan rahmat, sebagaimana janji Allah dalam Al-Qur’an, Surah At-Thalaq, Ayat 2 dan 3, tafsirnya: 
“…Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengikut segala perintah-Nya), nescaya Allah akan menyediakan untuknya jalan keluar (dari apa jua yang menyusahkannya). Dan akan mengurniakannya rezki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”
Demikian nikmat dan rahmat itu berpunca dari menta’ati Allah. Seyogia kita merebutnya.
 
Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, ingin mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Adha kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang berugama Islam, serta tidak lupa juga merafa’kan do’a ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga para jema’ah haji kita di Tanah Suci akan beroleh haji yang mabrur dan kembali ke tanahair dengan selamat. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.