TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
HARI RAYA ‘IDIL FITRI
BAGI TAHUN 1441H / 2020M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah  Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd. 
Hari Raya yang mulia menjelang lagi, seluruh umat Islam merayakannya, tidak terkecuali juga kita di Negara Brunei Darussalam. 
Biasanya, perayaan akan bermula dengan perhimpunan di masjid-masjid atau balai-balai ibadat atau surau-surau untuk kita melakukan Sembahyang Sunat ‘Idil Fitri. 
Tetapi pada tahun ini, untuk julung kalinya, kebiasaan itu tidak dapat diteruskan bersabit dengan pandemik koronavirus masih saja jadi ancaman. 
Demikian itu juga tradisi rumah terbuka untuk semua orang, dengan sendirinya turut tidak berlaku, demi mematuhi arahan untuk keselamatan. 
Namun ini bukan bermakna, Hari Raya tidak dapat dihayati langsung. Penghayatannya masih saja boleh dilakukan, iaitu dengan melakukan Takbir Hari Raya dan bahkan juga melakukan Sembahyang Sunat Hari Raya. Cuma, kita akan melakukannya tidaklah seperti yang lazim di tempat-tempat ibadat, namun ia masih saja boleh dilakukan secara terhad bersama-sama dengan keluarga di rumah masing-masing. 
Selebihnya, kita juga boleh meneruskan amal-amal saleh atau amal ta’at, berupa membaca Kitab Suci Al-Qur’an dan melakukan Puasa Sunat Enam Syawal yang sangat besar pahalanya. 
Ini juga masih berkaitan dengan hari raya, iaitu apabila kita berjaya melalui setiap hari dengan amal-amal kebajikan, maka semua itu adalah merupakan ‘hari raya tertinggi’, kerana ia adalah perkara yang diredhai. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Walaupun tangan tidak dihulurkan untuk bersalaman, namun kemudahan komunikasi masih sahaja ada, yang membolehkan kita dapat berhubung di antara satu dengan yang lain. 
Tidakkah ini juga masih merupakan satu peluang untuk kita dapat terus bersilaturrahim, bercakap-cakap dengan keluarga, dengan sahabat handai bagi bertanya-tanyakan khabar dan mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin. Bahkan bukan suara sahaja dapat didengar, malah kita juga boleh menggunakan kaedah video conference atau video chat untuk menggantikan perjumpaan fizikal. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Walau bagaimanapun, mengikut garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan, sambutan Hari Raya masih dapat dibuat dikalangan ahli keluarga terdekat, seperti anak-anak atau adik beradik menziarahi ibu bapa. Jika keluarga agak besar, maka mereka hanya dikehendaki untuk mematuhi panduan perkumpulan, iaitu setakat 20-30 orang sahaja pada satu-satu masa. 
Atau jika keluarga itu lebih besar lagi, maka kehadiran mereka bolehlah dibuat secara berjadual dan bergilir-gilir bagi mengelakkan jumlah perkumpulan yang ditegah berlaku. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Memang kita masing-masing merasa terjejas oleh keadaan. Istana sendiri tidak dapat dibuka seperti lazimnya, namun rakyat dan penduduk adalah tetap di hati Beta dan keluarga. 
Beta dan keluarga Beta dengan perasaan amat mendalam, mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri kepada semua kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, semoga sekaliannya berada dalam sihat ‘afiat dan sejahtera dan di bawah ‘inayah dan perlindungan Allah Yang Maha Kaya. 
Dalam keadaan sekarang, tidak ada yang lebih bermakna dari memupuk sifat sabar, kerana sabar itu adalah ‘istana iman’. Orang yang sabar dikasihi oleh Allah, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 146, tafsirnya: “Dan (ingatlah), Allah itu sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.”
Di antara tanda-tanda sabar itu, kita sentiasa bersedia untuk mengikut atau mematuhi apa jua peraturan, tidak seperti di setengah tempat, orang melawan peraturan. 
Beta amat berbangga mempunyai rakyat yang sentiasa menghormati undang-undang dan peraturan, kerana  dengan cara ini insya Allah, bangsa dan negara kita akan tetap beroleh keselamatan dan keamanan. 
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah,  Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.