TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
HARI ULANG TAHUN
ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
KE-63 TAHUN
 
PADA HARI SABTU
23 ZULKAEDAH 1445 / 1 JUN 2024
 
BERTEMPAT :
PADANG KAWAD
INSTITUT LATIHAN ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI
PENANJONG GARISON​

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat sama-sama hadir pada pagi ini bagi meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Yang Ke Enam Puluh Tiga (63) Tahun dalam keadaan negara menikmati suasana aman, damai dan sejahtera.

Di kesempatan istimewa ini Beta mengucapkan tahniah kepada seluruh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, baik yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara. Setinggi-tinggi tahniah juga atas perbarisan yang membanggakan sebentar tadi, yang melambangkan kesiapsiagaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam menunaikan tanggungjawabnya terhadap Ugama, Raja, Bangsa dan Negara.

Alhamdulillah, lebih Enam (6) dekad penubuhannya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terus berkembang dengan pesatnya. Beta bangga dan bersyukur atas perkembangan positif mengikut perancangan, khasnya perancangan bagi tahun 2023 dan 2024, antaranya berupa penstrukturan unit Jentera Tempur menjadi Rejimen Jurutera (Engineer Regiment) Tentera Darat Diraja Brunei, pentauliahan Kapal Tentera Laut Diraja Brunei KDB AS-SIDDIQ dan KDB AL-FARUQ dan pengenalan aset baharu iaitu; Unmanned Underwater Vehicle (UUV). Sementara itu, Tentera Udara Diraja Brunei pula telah menerima dua (2) buah dari empat (4) buah Pesawat Angkut C-295MW dan Insya Allah, dalam masa terdekat juga akan menerima Pesawat Helikopter tempur baharu bagi menggantikan Pesawat Bolkow BO-105. Selain itu Markas Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga akan menaiktaraf keupayaan sistem C41-STAR nya. Beta penuh yakin bahawa, dengan terus fokus dan komited, maka apa jua yang dirancang akan tercapai, dengan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei berupaya menjadi tauladan terbaik kepada Kerajaan Beta dalam perancangan, pengurusan dan pelaksanaan projek yang telus, jujur dan berkesan.

Dari sudut pengambilan anggota tentera pula, Beta mahu Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan memberikan tumpuan dan penelitian mendalam. Beta difahamkan bahawa terdapat cabaran bagi mencapai jumlah anggota tentera yang diperlukan pada setiap tahun, khususnya bagi Sekolah Pegawai Kadet Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Kompeni Rekrut Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pada tahun 2023, pemohon yang lulus pemilihan mengikut kuota yang disediakan di Sekolah Pegawai Kadet cuma sebanyak lima puluh tujuh (57) peratus sahaja, manakala tujuh puluh lapan (78) peratus pula bagi Kompeni Rekrut. Cabaran atau trend ini jika berterusan, akan menjejaskan Penstrukturan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei ke arah matlamat Gagasan Angkatan 2035. Oleh itu, Beta sarankan supaya pihak Kementerian Pertahanan dan pihak berkepentingan di dalam negara untuk bekerjasama dalam menyiapkan laluan di kalangan belia yang berminat untuk berkhidmat dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Selain dari mengasah kekuatan tempurnya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei juga telah berjaya mengembangluaskan lagi diplomasi pertahanannya melalui kerjasama dengan Angkatan Tentera Negara-Negara sahabat di peringkat ASEAN, Serantau dan Antarabangsa. Dengan wujudnya hubungan erat diantara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan Angkatan Tentera Sahabat di rantau ini khasnya, dan antarabangsa amnya akan dapatlah memantapkan lagi keupayaan dan persefahaman melalui kegiatan eksesais dan aktiviti dua (2) hala serta pelbagai hala. Persembahan Penerjunan Terjun Payung Bebas Solidariti dari Unit Elit atau Pasukan Khusus sebelas (11) buah angkatan bersenjata negara-negara sahabat yang memeterai Memorandum Persefahaman dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, dan Pameran Industri Pertahanan daripada dua puluh (20) buah negara sebagai salah satu acara sambutan pagi ini, adalah jelas mencerminkan terjalinnya perpaduan dan diplomasi pertahanan yang kukuh. Beta ucapkan penghargaan  kepada negara-negara sahabat yang turut serta dalam Solidarity Jump dan Pameran Industri Pertahanan pada kali ini.
Keceriaan Acara Sambutan Hari Ulang tahun Ke-63 ini turut diwarnai dengan kehadiran pegawai-pegawai kanan dan anggota tentera dari Royal Guards Special Force, Bahrain Defence Force yang sedang membuat latihan bersama Exercise Hamad Storm dengan Rejiman Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei di negara ini.

Beta juga sangat gembira atas kehadiran dan keterlibatan penuh semangat anggota Persatuan Bekas Perajurit Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (PERWIRA) pada pagi ini dan juga semasa Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke empat puluh (40) tahun. Beta ucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan sumbangan yang berterusan kepada negara walaupun telah bersara dari perkhidmatan. Tahun ini juga adalah merupakan Ulang Tahun penubuhan Kementerian Pertahanan yang ke empat puluh (40) tahun dan dalam masa empat (4) dekad itu, alhamdulillah Kementerian Pertahanan telah berjaya mengemudi dengan baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Akhirnya, Beta ucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan pada tahun ini dan semua yang terlibat dalam perbarisan pagi ini. Beta turut mendo’akan agar Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​