TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
ISTIADAT PEMBUKAAN RASMI
MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM
PERMESYUARATAN KE-21
MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)
BAGI TAHUN 1446H/2025M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah izin-Nya jua, dapatlah kita sama-sama hadir di Majlis Persidangan yang mulia ini bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara.
 
Beta terlebih dahulu sukacita mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik dalam usaha memajukan agenda pembangunan negara melalui sesi dialog, muzakarah dan lawatan kerja sebagai wadah penting bagi perkongsian pandangan diantara pihak Kerajaan dan Rakyat di negara ini.

Adalah jelas peranan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara untuk membahaskan perkara-perkara utama, termasuk memberikan maklum balas terhadap setiap dasar Kerajaan supaya benar-benar menghasilkan impak positif terhadap kesejahteraan rakyat.

Kerana itu, integriti dan kewibawaan setiap Ahli Majlis adalah diukur pada kemampuan masing-masing untuk berfikir secara terbuka, berunding secara teratur dan bertindak proaktif demi kepentingan negara.

Melihat akan perkara ini, maka Beta telah memperkenankan bagi perubahan terhadap kekerapan persidangan majlis ini iaitu kepada dua kali setahun bermula tahun ini. Ini termasuk pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Orders) bagi setiap ahli untuk mempraktikkan sepenuhnya.

Dalam perkara berkaitan, Beta juga melihat akan keperluan bagi penggubalan Kod Etika Ahli-Ahli Majlis dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan dan berintegriti tinggi.

Perubahan-perubahan ini akan mengukuhkan lagi keberkesanan persidangan majlis melalui perbincangan yang lebih teratur, fokus dan berkesinambungan serta mencerminkan kematangan dan profesionalisme Ahli-Ahli Yang Berhormat yang bekerjasama dengan Kerajaan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat di negara ini.

Selain itu, Beta juga memperkenankan bagi Kementerian Kesihatan untuk mengemaskini dasar caj perkhidmatan yang sedia ada bagi Penduduk Tetap yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan (stateless) untuk diberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan sepertimana yang diberikan kepada warganegara Brunei Darussalam.

Berkaitan dengan ekonomi pula, usaha kita ke arah mempelbagaikan ekonomi juga sudah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK (bagi Sektor Bukan Minyak dan Gas) telah menunjukkan kemajuan yang ketara dari segi purata pertumbuhan sepanjang tempoh tahun 2017 sehingga 2023 iaitu sebanyak 4.3 peratus setahun. Peningkatan ini telah menyumbang kepada peningkatan eksport barangan negara termasuk pengeksportan produk-produk baharu dan juga penembusan ke pasaran baharu seperti ke Chile, Mozambique, Colombia, Peru dan Mexico. Antara kemajuan yang dimaksudkan adalah di sektor hiliran minyak dan gas yang telah mengalami peningkatan yang luar biasa, dengan jumlah sumbangan KDNK pada harga tetap meningkat daripada BND136 juga pada tahun 2017 kepada BND1,241 juta pada tahun 2023. Apa yang jelas ialah Penubuhan industri petrokimia telah menghasilkan produk seperti petroleum, metanol dan urea telah menjadi pemacu utama.

Selain itu, sektor perkhidmatan juga mencatatkan peningkatan iaitu daripada BND1,485 juga pada tahun 2017 kepada BND1,721 juta pada tahun 2023, dengan purata peningkatan tahunan sebanyak 2.5 peratus, yang disumbangkan oleh aktiviti-aktiviti perdagangan dan perkhidmatan perniagaan.

Insya Allah, kita akan terus memacu pertumbuhan ekonomi melalui aktiviti perekonomian baharu seperti pengeluaran Petroleum Intermediate Derivatives yang akan menjana aktiviti tambahan dalam sektor hiliran minyak dan gas: menjadikan negara sebagai hab bagi sektor kimia, pembuatan dan makanan, dan menerokai aktiviti peralihan tenaga ke arah persekitaran yang mampan.

Di samping itu, di peringkat mikro pula, Kerajaan Beta akan terus berusaha dalam menggerakkan lebih banyak lagi aktiviti perekonomian dan pelancongan ke negara ini yang dapat mendatangkan kesan limpahan positif kepada peniaga-peniaga tempatan.

Namun demikian, kita tidak boleh berpuas hati. Ekonomi kita masih sahaja bergantung kepada minyak dan gas. Maka, kita perlu terus melakukan transformasi dalam meningkatkan produktiviti dan hasil negara merentasi sektor-sektor seperti pertanian, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, pelancongan, keselamatan dan perkhidmatan awam serta industri-industri baharu dengan mengambil kira kepesatan teknologi.

Menyentuh tentang revolusi teknologi, khususnya kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence, ianya membuka peluang baharu yang memerlukan kita untuk terus memperkasa sumber manusia dan keupayaan negara.

Apa yang pasti, perjalanan menuju Wawasan Brunei 2035 memerlukan kerjasama, inovasi dan semangat juang yang tinggi dari semua pihak. Oleh yang demikian, setiap cadangan dan idea yang dikemukakan di Dewan ini adalah bernilai untuk diteliti dengan mengambil kira emerging issues di peringkat global untuk diambil tindakan loleh pihak-pihak berkepentingan mengikut kesesuaiannya.

Sejajar dengan ini, Beta sentiasa mengharapkan agar persidangan majlis ini akan terus berunding dengan jujur, berfikiran kreatif dan bertindak strategik ke arah meraih masa depan gemilang negara kita.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***​