TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT DAN PENDUDUK SERTA PENUNTUT
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG BERADA DI KAHERAH,
REPUBLIK ARAB MESIR
REPUBLIK ARAB MESIR
PADA
4 ZULHIJJAH 1440H/5 OGOS 2019
BERTEMPAT
KAHERAH, REPUBLIK ARAB MESIR
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta amat bersyukur kerana berpeluang dapat bersama-sama rakyat dan penduduk serta para penuntut yang berada di Kaherah, Republik Arab Mesir masa ini.
Dengan peluang ini dapatlah Beta mengetahui secara langsung keadaan sekalian yang hadhir, khasnya para penuntut Brunei yang sedang menjalani pengajian mereka di sini.
Alhamdulillah, Beta sangat gembira mendapati, sekalian yang hadhir ini berkeadaan sihat dan ceria.
Beta mahu, kesihatan dan keceriaan yang dikurniakan oleh Allah Subahanahu Wata’ala, janganlah digunakan untuk semata-mata berseronok, tetapi jadikanlah ia ‘modal pelaburan’ untuk mengaut keuntungan duniawi dan ukhrawi.
Antara keuntungan duniawi, ialah berupa ilmu dan pengalaman. Ilmu yang dituntut dan pengalaman yang didapat, boleh digunakan untuk membangun ummah dan Negara. Kerana itu Ugama Islam sendiripun sampai mewajibkan menuntut ilmu itu dan menggalakkan mencari pengalaman.
Tentang kehebatan ilmu, mudah saja untuk dibuktikan, iaitu dengan melihat kepada bangsa-bangsa yang maju di dunia. Mereka itu sangat-sangat mengutamakan ilmu.
Mereka menjana ekonomi dengan ilmu. Begitu pula mereka meneroka angkasa juga dengan ilmu. Semuanya dengan ilmu.
Kemudian mengenai dengan keuntungan ukhrawi pula, adalah juga sama, boleh diraih dengan ilmu, apa saja nama ilmu. Jika ilmu itu ilmu ugama, maka ia lebih mengungguli kategori fardhu ‘ain, sementara lain-lain ilmu, seperti ilmu sains, ilmu perubatan, ilmu ekonomi dengan segala rangkaiannya dan lain-lain, semua itu mengungguli kategori fardhu kifayah, dimana kita umat Islam tidak terkecuali dituntut untuk mempelajarinya.
Dalam makna, mempelajari semua ilmu yang bermanfa’at adalat dituntut, dan jika dibuat mendatangkan pahala.
Melihat kepada kepentingan ilmu inilah makanya, Kerajaan Beta, sejak dari sekian lama lagi telah melaksanakan ‘dasar pedidikan percuma’, di samping terus konsisten mengurniakan biasiswa-biasiswa kepada mereka yang berkelayakan.
Tidak diragukan lagi, para pelajar atau penuntut adalah golongan yang berpotensi untuk masa depan. Mereka adalah ‘calak zaman’ untuk melakar sejarah bangsa dan negara. Tanpa mereka, jalan sejarah akan didapati lain dari sepatutnya.
Beta menaruh harapan kepada lepasan-lepasan pengajian tinggi Islam, di dalam mahupun di luar negara, khasnya mereka yang memilih Universiti Al-Azhar sebagai tempat belajar, supaya mengikuti jejak langkah generasi awal, bagaimana mereka itu memanfa’atkan ilmu kepada Brunei.
Beta difahamkan, di sini, pada masa ini, ada seramai 363 orang penuntut sedang mengikuti pelbagai peringkat dan jurusan pengajian ugama. 72 orang adalah penerima biasiswa, termasuk 3 orang biasiswa Sultan’s Scholars dan 2 orang biasiswa BIBD. Selebihnya 247 orang ialah penuntut persendirian dan 44 orang lagi di bawah Skim Pinjaman Pendidikan.
Dari angka-angka ini menunjukkan, bahawa usaha Kerajaan dalam memberikan pendidikan ugama adalah turut disokong oleh rakyat dengan ramainya para ibu bapa membiayai sendiri anak-anak mereka.
Ini adalah petanda sihat sebuah masyarakat yang sedar, yang patut dikagumi. Beta dan malah negara, amatlah menghargainya.
Sedikit pesanan Beta kepada penuntut, supaya terus belajar dan jangan hampakan harapan negara dan ibu bapa.
Selain menyempurnakan pengajian, rebut juga peluang untuk memiliki kemahiran. Cari dan usahakan ia sebagai nilai tambah. Kerana era sekarang, selain mengutamakan ilmu, juga mementingkan kemahiran.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
