TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-12
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA HARI ISNIN
01HB. SAFAR, 1444
29HB. OGOS 2022
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita sama-sama hadhir ke Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-12, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Beta dengan sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam pengajian masing-masing. Ucapan yang sama juga Beta tujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah di atas usaha mereka memberikan dorongan dan sokongan untuk kejayaan para graduan.
Beta mengambil maklum, bahawa UNISSA menawarkan program da’wah dalam struktur pengajiannya. Sehubungan itu, Beta ingin mengimbas balik saranan Beta semasa mengadakan lawatan tidak berjadual ke Pusat Dakwah Islamiah baru-baru ini, supaya para da’ie diberikan latihan-latihan da’wah atau diberikan peluang bagi pengajian lanjutan dalam bidang da’wah.
Untuk itu, UNISSA memang patut untuk turut menyediakan program keilmuan atau kursus latihan bagi para da’ie. Kerana ketajaman da’wah sangat bergantung kepada ilmu dan kepakaran. Tanpa faktor ilmu dan kepakaran, hasil yang diharapkan tidak akan datang bergolek.
Disamping bidang da’wah, bidang-bidang lain juga sama-sama perlu diperkasa, dengan para pelajar mesti digalakkan untuk memperolehi kelulusan akademik yang cemerlang.
Beta yakin, UNISSA adalah mampu untuk menjayakan apa jua program yang ditawarkannya. Setiap kejayaan itu adalah ia satu ‘pencapaian’, dan mengenai pencapaian ini, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA telah diiktiraf untuk memenangi Global Islamic Finance Awards (GIFA) dalam kategori GIFA Market Leadership Award (Education in Islamic Banking and Finance) 2021.
Kemudian, UNISSA seterusnya meraih kedudukan Top 201-300 dalam WURI Ranking (World’s Universities with Real Impact) yang diterajui oleh Institute for Policy and Strategy on National Competitiveness (IPSNC).
Manakala kursus ‘Projek Keusahawanan’ yang ditawarkan melalui Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam UNISSA pula, telah berjaya menduduki Top 51-100 dalam Kategori Semangat Keusahawanan.
Sistem ranking berkenaan adalah disokong oleh empat buah organisasi antarabangsa, iaitu Hanseatic League of Universities (HLU); the Institute for Industrial Policy Studies (IPS); the United Nations Institute for Training and Research (UNITAR); dan Tailor Institute, Franklin University Switzerland (FUS).
Ini adalah syi’ar, satu tanda kecemerlangan. Tahniah dan syabas kepada UNISSA.
Untuk pencapaian seperti ini dapat berterusan menjadi kenyataan, maka pihak UNISSA mustahak mempunyai sistem urus tadbir yang sentiasa relevan, terutama dalam menerajui hal ehwal pelajar, seperti menyediakan jadual pengajian, cara pengajian disampaikan, aktiviti-aktiviti berupa kokurikulum di luar bilik kuliah dan lain-lain, hendaklah mengikut piawaian yang betul. Kerana semua itu menjadi penentu kepada ‘kualiti’ warga UNISSA, khasnya para siswa dan siswinya. Malah peringatan ini juga Beta tujukan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi di negara ini.
Sesungguhnya pencapaian cemerlang para siswa dan siswi adalah merupakan mercutanda bagi semua Pusat Pengajian Tinggi. Kerana itu amat perlu, semua pengajian berjalan dengan lancar dan teratur tanpa banyak diganggu oleh aktiviti-aktiviti yang tidak ada kena mengena dengan pengajian.
Ini, sangat mustahak diambil berat, demi untuk mengelakkan supaya pengajian dan tujuan untuk menghasilkan siswazah yang berkualiti tidak terjejas.
UNISSA, disamping untuk melahirkan siswazah yang berkualiti, ia juga merupakan agen untuk memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat. Contohnya, UNISSA telah berjaya mewakafkan Mushaf UNISSA kepada masyarakat, termasuk komuniti di luar negara yang memerlukan.
Beta juga mengambil maklum, bahawa UNISSA kini menawarkan program Sains Halal dan Pertanian.
Hendaknya kedua-dua program ini akan bergerak seiring dengan agensi dan institusi lain bagi menjayakan agenda jaminan sekuriti makanan dan produk halal.
Bagi Sektor Tani dan Produk Halal, penyelidikan adalah diperlukan. Penyelidikan tersebut akan meliputi kajian fizikal terhadap bahan sebenar, seperti spesimen segar atau yang telah diawet. Uji kaji akan dijalankan di dalam makmal dengan melibatkan peralatan dan bahan kimia melalui analisis patuh disiplin dan standard yang diiktiraf.
Maka untuk memenuhi kepentingan ini, Beta pun memperkenankan penubuhan sebuah Makmal Saintifik di Kampus Sinaut dengan nama : “Pusat Makmal Saintifik Ibnu Sina Universiti Islam Sultan Sharif Ali”.
Beta optimis, dengan adanya makmal ini akan membuka ruang lebih luas untuk meneroka inovasi baru melalui penyelidikan berteknologi moden dan sekaligus menjadi pelaburan untuk melahirkan para graduan penyelidik yang berkebolehan.
Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA, yang meliputi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan universiti di atas segala sumbangan mereka untuk menjayakan Majlis Haflut Takharruj ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua yang akan membalas mereka dengan ganjaran pahala.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
