Titah KDYMM Sempena Majlis Haflut Takharruj Ke-15 Universiti Islam Sultan Sharif Ali

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-15
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
 
 
PADA HARI KHAMIS
26 SAFAR 1447 /  21 OGOS 2025
 
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala Kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua dapatlah kita sekali lagi bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-15, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.

Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang diraikan atas kejayaan mereka, yang bukan sahaja mencerminkan ketekunan dan kesungguhan, malah juga membawa harapan besar bagi generasi pelapis yang akan menerajui kepimpinan negara. Beta juga merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa dan para penjaga yang menjadi tunggak di sebalik pencapaian hari ini. Seterusnya kepada para pensyarah yang telah sama-sama berusaha untuk memastikan para graduan dapat bersama meraikan kejayaan mereka pada hari ini.

Pada tahun ini genaplah 15 tahun UNISSA melahirkan graduannya. Dalam meniti kedewasaan ini Beta melihat UNISSA bukan sekadar gedung untuk belajar ilmu ugama tetapi berperanan penting menjadi sebuah gedung ilmu yang inklusif, dalam maksud ianya terbuka kepada kepelbagaian idea dan pendekatan baharu, namun dalam masa yang sama tetap berpasakkan nilai-nilai Islam. Beta berharap UNISSA akan dapat melangkah kehadapan menjadi pelopor pengajian tinggi Islam yang holistik dalam era digital ini.

Era digital hari ini menjadikan dunia bergerak pantas. Oleh itu, UNISSA tidak boleh hanya jadi penonton dan berdiri di tepi arus perubahan yang pesat, tetapi sebaliknya perlu tampil menjadi pemain aktif yang responsif dan proaktif. Mungkin sudah tiba masanya bagi UNISSA untuk menilai semula pendekatan dan kaedah pengajaran dan pembelajaran, memperbaharui kurikulum, serta meningkatkan keupayaan literasi digital terkini dalam kalangan pelajar dan tenaga akademik. Beta percaya penguasaan terhadap teknologi pada hari ini bukan lagi  satu pilihan, bahkan keperluan untuk kelangsungan dan kecemerlangan institusi pengajian tinggi Islam seperti UNISSA.

Bidang-bidang ilmu tradisional seperti tafsir, hadits, fiqh masih saja mempunyai ruang yang sangat luas untuk diteroka semula dengan pendekatan yang lebih segar, khususnya apabila dihubungkan dengan teknologi digital. Di samping itu, UNISSA juga boleh menawarkan program micro-credential bersifat sepanjang hayat (Lifelong Learning) yang kandungan kurikulumnya adalah gabungan tradisional dan kontemporari.

Seiring dengan itu, aspek Penyelidikan dan Pembangunan adalah mustahak diberi keutamaan. Ia adalah teras utama kepada kecemerlangan sebuah universiti. UNISSA perlu memacu budaya penyelidikan berimpak tinggi, iaitu penyelidikan yang tidak hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, tetapi juga yang berkait rapat dengan isu-isu semasa, cabaran masyarakat, serta pembangunan dasar dan penyelesaian kepada permasalahan sebenar. Sebagai contoh ialah penyelidikan dalam bidang halal dan sains makanan. UNISSA boleh menerajui penyelidikan yang berkaitan dengan teknologi pengesanan halal dan kajian piawaian halal serantau yang boleh memberi impak positif kepada integrasi sistem jaminan halal. Di samping itu, penyelidikan di dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang digandingkan dengan teknologi moden juga amat diperlukan. Ini adalah bagi merangka penyelesaian untuk membantu golongan kurang berkemampuan untuk meningkatkan tahap sara diri dan kesejahteraan ekonomi keluarga, agar mereka ini tidak terus tercicir daripada pembangunan arus perdana.

Beta juga ingin melihat kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, dan pihak industri diperkasa dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan. Usaha ini boleh dijayakan melalui geran kolaboratif dan perkongsian pakar.

Dengan gabungan yang kuat seperti ini, UNISSA setentunya akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pusat ilmu yang unggul dan diiktiraf di peringkat serantau dan global.

Akhirnya, Beta merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Senat, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai serta kakitangan UNISSA atas segala sumbangan dan penglibatan mereka dalam menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-15 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas dengan ganjaran berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

***