TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-9
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI (UNISSA)
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
TAHUN 1440 HIJRAH / 2019 MASIHI
PADA HARI KHAMIS,
28 ZULHIJJAH 1440H / 29 OGOS 2019M
TEMPAT:
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita bersama-sama meraikan Majlis Haflut Takharruj kali Ke-9, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Beta dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian masing-masing. Demikian juga kepada ibu bapa, penjaga serta para pensyarah yang sama-sama memberikan sumbangan signifikan kepada kejayaan yang dicapai oleh para graduan pada hari ini.
Sebagai gedung penjana ilmu pengetahuan, UNISSA juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran dan tuntutan semasa. Ini termasuklah kesediaan UNISSA untuk terlibat dalam mengharungi gelombang Revolusi Industri Keempat, yang secara drastik telah merubah cara hidup manusia dan dunia dalam pekerjaan.
Bagi menghadapi cabaran ini, UNISSA perlu peka dalam menyedia dan menawarkan program-program pengajiannya. Program-program tersebut mustahak dikenalpasti sebagai mampu untuk memenuhi keperluan-keperluan semasa, dan juga secocok dengan transformasi digital, tanpa mengabaikan peranan utamanya untuk melahirkan ulama dan cendekiawan yang berwibawa.
Dalam situasi ini, UNISSA sebenarnya adalah tersendiri. Ia berbeza dengan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain. Semangat dan sasarannya juga berbeza. Kerana itu pada hemat Beta, bukanlah perkara yang mendesak untuk mesti mengejar ranking dunia yang sedia ada, berdasarkan ianya hanya ciptaan orang lain dan kriteria kecemerlangan juga ditetapkan oleh mereka sendiri.
Sedang aras kecemerlangan sebenar tidak semestinya ditentukan oleh sebuah komuniti atau negara sahaja, melainkan sepatutnya menjadi hak kepada banyak pihak untuk sama-sama menentukannya.
Kecemerlangan memang wajar dicari. Kita tidak boleh berhenti dari mengusahakannya. Bagi UNISSA, buktikanlah ianya cemerlang. Wujudkan kriteria kecemerlangan melalui kerja-kerja akademik oleh para pensyarah dan penuntut, dengan melazimkan rajin menulis, seperti buku atau kajian atau artikel-artikel ilmiah, dan menghantar tulisan-tulisan tersebut ke Journal-Journal antarabangsa.
Kita sedia mempunyai banyak bahan, malah di UNISSA sendiri bahan-bahan itu sudah ada, tinggal sahaja lagi kita mahu ataupun tidak untuk memanfaatkannya.
Di antara program-program pengajian UNISSA: Ada program undang-undang dan perundangan syariah, program usuluddin, program tahfiz dan qira’at, program pengurusan perniagaan, program sains dalam kewangan Islam, program syariah (Fiqeh dan Kehakiman), program sejarah dan tamadun Islam, program Bahasa Arab dan penterjemahan, program sains halal dan lain-lain.
Ini semua adalah bahan. Ianya bukan saja jurusan untuk dipelajari, malahan juga boleh ditulis di dalam bentuk buku atau tulisan atau kajian atau artikel. Jika ini mampu dibuat sehingga jadi budaya kepada UNISSA, maka Beta berpendapat, inilah antara ciri kriteria kecemerlangan yang lebih melayakkan UNISSA menempati ranking.
Pada masa ini tidak terdapat tanggapan walau satupun, tentang institusi pendidikan tinggi Islam tidak relevan. Sedang pendapat yang sahih, telah meletakkan pendidikan tinggi Islam itu sebagai keperluan asasi yang tidak boleh diabaikan, kerana daripadanya muncul tamadun yang sempurna.
Kerana itu Beta berpendirian, pengajian dan pendidikan Islam mesti terus diperkasa, kerana ia adalah teras segala kepentingan, yang mampu untuk menghadirkan segala kebaikan untuk bangsa dan negara.
Beta sukacita mengambil maklum bahawa UNISSA telah menyediakan Pelan Strategik 2019-2023. Beta berharap pelan ini akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti pengajian yang ditawarkan, mampu menghasilkan penyelidikan bermutu serta memberikan perkhidmatan dan urus tadbir yang cemerlang. Ketiga-tiga elemen ini adalah merupakan ciri yang mesti wujud di UNISSA.
Akhirnya Beta mengambil peluang untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang meliputi para Ahli Majlis dan Senat, Rektor, Pegawai Utama, ahli-ahli akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan Universiti di atas segala sumbangan dan khidmat bakti mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala jua akan membalas mereka dengan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
