TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
 SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-8
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
 
PADA:
Hari Isnin
30HB Rabiulawal 1442
16HB November 2020
 
BERTEMPAT DI
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
BERAKAS, NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta tidak jemu-jemu bersyukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula hadhir ke Majlis Konvokesyen Kali Ke-8 Universiti Teknologi Brunei pada hari ini.

Dikesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-­masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.

Alhamdulillah, Beta sebentar tadi telahpun melancarkan Permulaan Penulisan Mushaf UTB. Insya Allah Mushaf ini nanti akan mengepelai setiap perarakan dalam Majlis Konvokesyen UTB. Dengan ini juga bererti, UTB tidak ketinggalan memertabatkan Mushaf sebagai ‘lambang keilmuan’ yang tidak ada tolok bandingnya.

Beta, dalam majlis yang permai ini mengambil maklum, bahawa UTB buat julung kalinya akan menganugerahkan ijazah kedoktoran atau PhD. Ini menunjukkan UTB semakin meningkat matang dalam bidang penyelidikan dan pasca ijazah.

Beta pernah menyentuh mengenai peranan UTB sebagai penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan serta berupaya untuk menyelesaikan isu-isu kontemporari melalui usaha-usaha penyelidikan.

Sehubungan itu, Beta menyambut baik mengenai kerjasama penyelidikan kejuruteraan bertaraf dunia bersama Brunei Shell Petroleum Sdn Bhd (BSP), Imperial College (UK) dan University of New South Wales (Australia). Projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan salah satu cabaran teknikal paling mahal di Negara Brunei Darussalam, iaitu isu pasir dalam pengeluaran hidrokarbon.

Projek ini juga akan menawarkan biasiswa kepada pelajar dan menyediakan pekerjaan tempatan kepada para graduan UTB.

Malah, Beta juga difahamkan bahawa aktiviti-aktiviti penyelidikan UTB telah juga dilaratkan kepada komuniti, seperti Majlis Perundingan Kampung, sebagai live project bagi kakitangan dan mahasiswa UTB, selaras dengan visi UTB untuk menjadi sebuah universiti global yang memberi kesan kepada masyarakat.

Mengenai kedudukan UTB sebagai sebuah universiti global, Beta mengucapkan tahniah, kerana pada tahun ini UTB telah berjaya meraih kedudukan ke-350 di QS World University Ranking. Pada julung kalinya juga, UTB telah masuk ke dalam senarai 50 Young Global University dibawah umur 50 tahun, pada tangga ke-40.

Dalam usaha UTB mempersiapkan sumber manuasia, Beta ingin mengingatkan, supaya etika Islam yang selari dengan budaya bangsa sentiasa diutamakan. Ini penting, supaya jati diri tidak dapat di gugat oleh sebarang pengaruh asing.

Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdo’ a semoga Allah Subhanahu Wata ‘ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.