TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KE-31
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)
PADA:
Hari Khamis
21HB Zulhijjah 1440
22HB Ogos 2019
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dapat bersama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali Ke-31 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini. 
Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah juga ditujukan kepada para ibu bapa dan penjaga atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD. 
Beta percaya, para graduan mampu untuk mengikuti sebarang perubahan dalam paradigma ekonomi dan cabaran-cabaran baru. Salah satu contoh, ialah ledakan teknologi yang membawa kepada perubahan-perubahan terpantas dalam sejarah tamadun manusia. Aplikasi teknologi ini lebih menonjol di era revolusi industri ke empat kini. 
Dalam era ini, kepentingan teknologi amatlah ketara, dimana kita, tidak boleh ketinggalan. Untuk tidak berlaku ketinggalan itu, kita perlu mengemaskan diri, termasuk kalau perlu, mengemaskini sistem pendidikan, selaras dengan keperluan. 
Diantara keperluan utama ialah, untuk menjana kemahiran. Kemahiran sangat mustahak dalam persaingan. Tanpa kemahiran, kita hanya akan jadi penonton. 
Maka dalam hubungan ini, Beta gembira mengetahui, bahawa UBD telah memulakan langkah melaksanakan inisiatif-inisiatif digital, seperti memperkenalkan perspektif digital dalam semua program sarjana muda dan mengemaskinikan Sarjana Muda Sains Komputer. Beta difahamkan, program Sarjana Muda Sains Komputer akan merangkumi pelbagai jurusan sains digital seperti Data Analytics, Artificial Intelligence dan keselamatan siber atau Cybersecurity. 
Selain itu, Beta juga difahamkan bahawa UBD telah memperkenalkan dual degree yang berunsur perspektif digital dalam bidang kejuruteraan, khususnya Smart Manufacturing Technologies ditahap sarjana dan kedoktoran bersama Sungkyunkwan University, iaitu salah sebuah universiti utama di Republik Korea dan di arena antarabangsa. Beta berharap inisiatif-inisiatif seperti ini bukan sahaja akan menghasilkan graduan celik digital teknologi future ready, tetapi juga turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. 
Mengenai future ready ini, adalah untuk memastikan semangat para graduan tidak hanya untuk menceburi pekerjaan sedia ada, tetapi mereka sendiri juga mampu untuk mewujudkan peluang pekerjaan. 
Beta telah difaham, Entrepreneurship Village di UBD telah diperluaskan dengan penubuhan The UBD Start-Up Centre. Beta juga difahamkan, pusat ini adalah kolaborasi bersama Darussalam Enterprise yang akan melibatkan projek keusahawanan berdasarkan multi-disciplinary dan mempunyai perspektif revolusi industri keempat. 
Ini adalah satu penerokaan, jika ia diurus dengan baik, boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, terutama sebagai sokongan untuk membangunkan Micro and Small, Medium-Sized Enterprises (MSME). 
Melihat ke dalam UBD secara khusus, ada beberapa kepentingan patut diambil berat. Pertama mengenai perkembangan kapasiti manusia, adalah memerlukan ciri-ciri kepimpinan, baik bagi peringkat petugas mahupun pelajar. Kedua-duanya adalah sama penting untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin yang berkualiti yang mempunyai visi serta idea-idea membina. 
Ini boleh dicapai melalui pengemasan kurikulum dan mengadakan program-program khusus, seperti program-program eksekutif. Namun dalam pada itu, jangan pula dilupakan kepimpinan Islam (Islamic Leadership) sebagai jurusan khusus dan utama di UBD. Beta mahu, Islam tidak terpinggir untuk memupuk kepimpinan dan cara hidup di kalangan semua warga UBD. 
Kepentingan lain, UBD perlu kekal dengan etikanya sendiri dan bersikap tidak akan meniru-niru pendekatan orang lain. Misalnya, dalam perkara penganugerahan ijazah, baik kepada pelajar mahupun kepada siapa saja, hendaklah ia seratus peratus bersifat ‘pengiktirafan ilmu’, bukan dicampur-aduk dengan kepentingan politik. Kerana jika dicampur, maka ijazah mungkin saja akan jadi seperti barang dagangan atau alat untuk menjejaskan penerimanya. Ini berlaku, apabila ijazah yang dianugerahkan itu ditarik balik kerana sebab-sebab politik. 
Di sini, UBD dan semua pusat pengajian tinggi kita, janganlah meniru pendekatan seperti itu, iaitu suatu pendekatan yang tidak Islamik. 
Akhirnya, Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan yang diraikan. Beta berharap agar setiap graduan sentiasa menimba ilmu bagi sama-sama membangun Negara yang kita cintai ini. Selain dari itu, Beta juga mengingatkan agar para graduan sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam agar apa jua usaha akan sentiasa mendapat berkat dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala.
Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis, Ahli-ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas mereka dengan ganjaran-Nya yang berlipat ganda. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.