TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS PEMBUKAAN PERSIDANGAN
MUSIM PERMESYUARATAN KE LAPAN BELAS
MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)
2022
PADA HARI KHAMIS
23HB. REJAB 1443
24HB FEBRUARI 2022
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Kita bersyukur kerana dapat berkumpul pada pagi ini untuk menghadhiri Majlis Pembukaan Persidangan Bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke Lapan Belas (18) Majlis Mesyuarat Negara.
Majlis Mesyuarat Negara, sebagaimana pernah Beta titahkan, adalah merupakan wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara.
Persidangan Majlis pada kali ini, akan membincangkan Rang Belanjawan Negara Tahun kewangan 2022/2023. Rang ini telahpun ditunduki bersama-sama dengan Kementerian-Kementerian berkenaan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara. Oleh itu, semua projek yang disenaraikan sudah tentu mendokong Perancangan Strategik setiap Kementerian dan Jabatan yang berkenaan.
Beta ingin mengingatkan bahawa kewangan negara hendaklah dikendalikan dengan berhemah dan berdisiplin. Setiap Pegawai Pengawal yang dilantik hendaklah memahami perkara ini, bahawa mereka diminta untuk mematuhi peraturan-peraturan kewangan yang ada, tidak menggunakan kuasa berbelanja secara sewenang-wenang. Luruskanlah tadbir urus masing-masing mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur.
Mengenai Peraturan Kewangan, Beta telahpun memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan (Prosedur Kewangan) (Pindaan) 2022 dan Peraturan-Peraturan Kewangan 2022 yang akan mula berkuatkuasa pada 1 haribulan April 2022.
Sedikit mengenai isu Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP), Alhamdulillah Beta mengambil maklum bahawa kajian telahpun selesai dibuat oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan Kerjasama Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan insya Allah perlaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023. Dalam pada itu, Beta sukacita menekankan bahawa segala persiapan sebelum perlaksanaannya hendaklah dilaksanakan dengan teratur, antaranya pindaan kepada Akta, perubahan kepada sistem teknologi maklumat dan termasuk pemberigaan. Apa yang penting bagi mereka yang terlibat dalam skim ini ialah, untuk memahami berkenaan dengan skim persaraan baru yang dimaksudkan.
Rancangan Kemajuan Negara Ke Sebelas (11) akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022/2023. Ini bererti, Rancangan Kemajuan Negara ke Dua Belas (12) akan bermula pada bulan April 2023, dimana pada masa ini Sekretariat Rancangan Kemajuan Negara di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang giat menyediakan peta jalan bagi projek-projek yang akan dimasukkan ke dalam Rancangan Kemajuan Negara ke Dua Belas (12) nanti. Peta jalan ini menerapkan kaedah Whole of Government yang melibatkan semua Kementerian, sebagai usaha untuk memastikan Wawasan Negara 2035 tercapai.
Sejak gelombang kedua wabak koronavirus melanda negara ini, Kerajaan Beta telah menghulurkan bantuan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, dengan tujuan untuk mengurangkan pekerja-pekerja diberhentikan. Manakala bagi golongan pekerja sektor swasta yang terkesan pula, bantuan kewangan juga dihulurkan untuk kelangsungan hidup seharian mereka.
Antara perkara yang menjadi pengajaran berikutan penularan wabak ini ialah mengenai jaminan makanan (food security). Berikutan dengan beberapa sekatan perjalanan yang masih dilaksanakan oleh sebahagian negara, maka langkah ini sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan barang-barang makanan dan sekaligus menjadikan harga barangan dan kadar inflasi tinggi.
Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari menerima kesan yang sama. Namun alhamdulillah, Beta difahamkan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang aktif melaksanakan tindakan pemantauan harga, sebagai langkah memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan pada paras yang tidak dibenarkan.
Semua orang tahu, bahawa pendapatan negara masih bergantung kepada hasil Minyak dan Gas. Namun usaha-usaha mengembangkan ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan ini, telahpun mula menampakkan hasilnya, berupa jumlah export Refined Fuel melalui projek Pelaburan Langsung Asing dari bulan Januari 2021 hingga November 2021 bernilai USD 4.9 bilion. Di samping itu juga, projek Brunei Fertilizer Industry telah mula mengeksport 6,200 ton metrik baja Urea pada 3 haribulan Februari 2022.
Dengan kemasukan Pelabur Langsung Asing ke negara ini, sudah setentunya akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang-orang dan syarikat-syarikat tempatan. Ini semua memberi faedah signifikan kepada negara, termasuk menambahkan hasil pendapatan.
Sementara itu, usaha meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agri-makanan perikanan dan ternakan sedang diaktifkan. Beta mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dilaksanakan oleh Kementerian berkenaan dengan meningkatkan keluaran dari sektor pertanian dan perikanan. Pengeluaran beras tempatan pada khususnya, juga sudah mula menampakkan hasilnya dengan produktiviti peningkatan kapasiti rice milling. Insya Allah dengan terlaksananya projek ini nanti akan membantu para petani untuk lebih fokus kepada penanaman padi masing-masing.
Akhirnya, Beta berharap kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya bersedia memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dan walang demi kebaikan semata-mata. Adapun negara, memang sentiasa menunggu idea-idea bernas daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat.
Beta mahu, supaya digunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki. Inilah ‘moto’ persidangan kali ini. Beta ucapkan selamat bersidang.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
