Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita berkumpul di Majlis Persidangan yang mulia ini bagi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 Majlis Mesyuarat Negara pada pagi ini.
Beta terlebih dahulu, mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, di atas perlantikan semula sebagai Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.
Beta juga mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara yang baharu dilantik. Ucapan penghargaan dan ucapan terima kasih juga Beta tujukan kepada mantan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di atas sumbangan mereka di dalam persidangan-persidangan Majlis yang lalu.
Beta berharap Ahli-Ahli baharu yang dilantik akan dapat menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas bagi memberikan apa jua pandangan serta bersikap terbuka dengan anak buah ketika mendapatkan pendapat dan maklum balas daripada mereka masing-masing.
Begitu juga ketika membahas sesuatu perkara, sikap ini juga penting, sambil pemikiran jangan lari dari mencari impak positif untuk negara. Inilah masanya untuk berbincang tanpa terikat dengan syarat-syarat yang merugikan.
Beta mahu semua Ahli hendaklah berfikiran terbuka tetapi bebas daripada sebarang pengaruh luar. Kerana kita sesungguhnya tidak mahu sebarang anasir mungkin mencemari kemurnian Calak Brunei kita.
Secara khusus, Beta juga berharap supaya Ahli-Ahli Majlis dari kalangan Orang-Orang Bergelar, yang mempunyai pengalaman luas, akan dapat menjadi teladan terbaik dalam menyuarakan isu-isu yang berbentuk strategik. Manakala perkara-perkara yang bersifat operasi dan taktikal bolehlah dibincangkan bersama agensi-agensi yang berkenaan di luar Dewan Majlis dari masa ke semasa.
Sangat penting diambil kira ialah cabaran untuk meningkatkan Hasil Kerajaan Beta dan dalam masa yang sama, perbelanjaan yang akan dibahas dan diluluskan dalam Mesyuarat M.M.N nanti akan benar-benar memberi impak positif kepada negara dan rakyat tanpa terlalu banyak membebankan kerajaan Beta.
Janganlah lupa, antara isu penting yang perlu diberikan perhatian ialah isu pengangguran. Beta yakin dengan adanya kerjasama dan sokongan padu dari semua pihak yang berkepentingan, maka kadar pengangguran boleh dikurangkan, sebagaimana telah dicapai sebelum ini, iaitu kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada tahun 2021 berbanding 7.3 peratus pada tahun 2020.
Kerajaan Beta melalui Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (M.P.E.C) sentiasa merancang dan melaksanakan beberapa strategi melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation supaya kebajikan dan kepentingan para pencari kerja tempatan diperkasa dengan latihan semula, dan peningkatan ilmu pengetahuan untuk memudahkan mendapat pekerjaan.
Dalam meningkatkan kemahiran profesional anak-anak tempatan di syarikat swasta di Sektor Pembinaan dan Tenaga, H.S.E Competency Apprentice Program telah diperkenalkan untuk membolehkan mereka layak mendaftar sebagai workplace safety and health officer (WSHO) atau penyelaras di tempat kerja mengikut piawaian Safety, Health and Environmental National Authority atau SHENA.
Kerajaan juga telah memperkenalkan Program SkillsPlus untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan meningkatkan kemahiran dan kebolehanpasaran, dan program ini telah dilaratkan kepada empat (4) sektor baharu iaitu Sektor Tenaga, Pembinaan, Pengangkutan dan Logistik, dan H.S.E.
Semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-18 Majlis Mesyuarat Negara yang lalu, Beta telahpun bertitah mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan kajian yang dilaksanakan bagi penambahbaikan skim persaraan dalam usaha Kerajaan beta mengukuhkan perlindungan sosial dan inklusif dan mampan, yang merupakan salah satu tunjang utama Strategi jaminan Sosial Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam.
Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang baharu ini akan dapat memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik daripada skim ‘TAP’ yang ada pada masa ini dan juga akan menggalakkan ahli-ahli SPK untuk terus berusaha mencari dan mendapatkan pekerjaan sama ada di sektor swasta, Kerajaan atau secara persendirian di mana hasil dari sumbangan ke dalam SPK akan menampung pada hari persaraan nanti. SPK ini Insya Allah, akan dilancarkan pada bulan Julai tahun ini.
Mengenai Komitmen negara ke arah Perubahan Iklim, Beta telah memperkenankan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi Tuan Rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ASEAN Centre for Climate Change) yang akan menempatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara untuk menjalankan kegiatan penyelidikan, berkaitan dengan perubahan iklim.
Ini selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara, pada mana satu direktif, Inventori Karbon menggunakan Centralised Inventory System, yang akan diperkenalkan dalam usaha negara melaksanakan pemantauan dan mengesahkan data gas rumah hijau secara telus, konsisten dan tepat.
Dengan maklumat tersebut, pada penghujung tahun 2023, pelan kebangsaan adaptasi perubahan iklim akan dirangka sebagai usaha penyelarasan dan penyesuaian dengan perubahan iklim.
Menyentuh mengenai Bidang Ekonomi, mengikut Laporan Ringkasan Annual Census of Enterprises 2021 yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik bagi tahun 2020, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (P.M.K.S) membentuk 97.2% daripada jumlah keseluruhan perusahaan aktif di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2020.
Dengan demikian, peranan P.M.K.S adalah sangat penting dalam menggiatkan ekonomi negara, dan dengan itu, persekitaran perniagaan, harus pula terus diperbaiki untuk menggalakkan lebih ramai lagi usahawan untuk menceburi bidang perniagaan dan perusahaan, serta menggalakkan perusahaan yang sedia ada untuk terus berkembang. P.M.K.S juga perlu berani merebut peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara, kerana ini akan menghasilkan high-value add kepada ekonomi Negara.
Pihak Darussalam Enterprise (DARe) telah dan akan terus menyediakan skim bantuan dan program latihan serta khidmat nasihat untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh P.M.K.S.
DARe juga telah memudahcara beberapa projek strategik di berbagai sektor utama ( priority sectors) yang dikenalpasti seperti sektor agrimakanan dan sektor pembangunan bagi meningkatkan persekitaran kondusif ke arah menjana lebih banyak aktiviti perekonomian yang mendokong sara diri dan berorientasikan eksport.
Akhirnya, Beta ingin mengingatkan sekali lagi kepada Ahli-Ahli Majlis supaya akan dapat menggunakan persidangan di sini dengan sebaiknya, dengan membentangkan isu-isu utama yang strategik dan penting, serta sama-sama memberikan buah fikiran dan mencari jalan-jalan penyelesaian yang berpatutan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
