TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM.

 

SEMPENA MAJLIS PEMBUKAAN RASMI

MESYUARAT PERTAMA DARI MUSIM

PERMESYUARATAN KE-20 MAJLIS MESYUARAT NEGARA (MMN)

BAGI TAHUN 1445H/2024M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem​

Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, bersukur kita kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersidang lagi pada hari ini, di Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara.

Majlis Mesyuarat Negara adalah merupakan medan untuk melahirkan pendapat dan buah fikiran yang membina oleh para Ahli. Ia dihasratkan kekal relevan untuk membincangkan perkara-perkara strategik yang bermanfaat bagi rakyat dan negara.

Beta berharap, Ahli-Ahli Yang Berhormat akan sentiasa peka untuk mengikuti perkembangan yang berlaku, bukan sahaja di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Ini semua boleh memberikan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat perspektif berbeza serta idea-idea baharu, yang boleh menyuntik kemajuan dalam bidang-bidang utama yang diperlukan.

Secara khusus, Beta juga mahu Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik akan sentiasa ‘turun padang’ untuk bermuzakarah dengan pihak-pihak berkepentingan dari sektor Kerajaan, Swasta, Persatuan-Persatuan dan lebih-lebih lagi para penduduk yang diwakili masing-masing.

Beta percaya perundingan timbal-balik ini akan memastikan inclusiveness kesemua pihak dan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat, serta membantu reka dasar Kerajaan Beta.

Ke arah ini, Beta sarankan supaya pihak-pihak berkenaan dalam Kerajaan untuk terus memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, khasnya menerusi penglibatan dalam mana-mana keahlian jawatankuasa ataupun taskforce yang diamanahkan.

Ahli-Ahli Yang Berhormat yang dilantik juga disarankan untuk membuat inisiatif-inisiatif masing-masing ke arah membantu Kerajaan Beta dalam menjana peluang-peluang pekerjaan, mempertingkatkan sektor-sektor perekonomian dan pembangunan kapasiti sumber tenaga manusia, termasuk di kalangan pengusaha-pengusaha tempatan dan golongan-golongan tertentu yang lain.

Beta difahamkan bahawa menerusi Laporan ASEAN Plus Three Macroeconomic Research Office (AMRO), telah diramalkan bahawa ekonomi negara akan mengukuh kepada 2.4 peratus pada tahun 2024, yang diterajui oleh sektor Bukan Minyak dan Gas, melalui aktiviti perekonomian dalam sub-sektor pertanian, makanan, kewangan, pengangkutan dan pelancongan, serta perluasan aktiviti dalam sektor penapisan minyak dan gas hiliran.

Beta juga telah difahamkan bahawa beberapa usaha mempelbagaikan ekonomi telahpun dilaksanakan, namun masih saja belum mencukupi untuk mengimbangi kedudukan defisit fiskal Kerajaan.

Tetapi apapun keadaan, pada hakikatnya kita tidak dapat lagi terlalu bergantung kepada semata-mata sektor Minyak dan Gas, kerana terdapat beberapa faktor di luar kawalan kita seperti penurunan pengeluaran minyak dan gas dan harga pasaran global minyak dan gas yang tidak menentu.

Usaha-usaha perlulah diteruskan dan dipertingkatkan lagi ke arah mempelbagaikan ekonomi serta memberikan tumpuan kepada industri-industri strategik, di mana negara mempunyai potensi dan kekuatan untuk lebih berjaya. Pada masa yang sama, isu-isu semasa seperti isu alam sekitar, perubahan iklim dan sebagainya juga perlu diberikan perhatian.

Namun apapun berlaku, hala tuju pengeluaran minyak dan gas mesti diaktifkan dan industri hiliran minyak dan gas dikembangkan serta bekalan tenaga elektrik dan bahan api terus di utamakan.

Dari segi perbelanjaan Kerajaan pula, ianya dilihat semakin meningkat tahun demi tahun. Namun demikian, Alhamdulillah, Kerajaan Beta masih mampu untuk menyediakan sejumlah belanjawan bagi keperluan pembangunan.

Apa yang penting di sini ialah, setiap agensi Kerajaan Beta hendaklah menggunakan peruntukan yang disediakan dengan lebih berhimah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi penduduk dan rakyat negara ini.

Dari segi pembangunan negara pula, Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12 akan bermula pada Tahun Kewangan 2024/2025 ini bagi tempoh lima tahun. Dalam masa yang sama, RKN mempunyai peranan penting ke arah mencapai aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Maka apa yang Beta harapkan adalah supaya projek-projek pembangunan RKN ini akan dapat dipercepatkan mengikut garismasa yang sudah ditentukan.

Adalah juga menjadi harapan kita supaya Blueprint-Blueprint yang berkaitan dengan perekonomian, akan mendorong kepada pertumbuhan sektor yang disasarkan, dan dapat menarik lebih banyak lagi pelaburan langsung asing yang berpotensi untuk menjana peluang-peluang pekerjaan baharu.

Untuk akhirnya, Beta sekali lagi menyarankan agar persidangan ini akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mencapai objektif pembangunan dan kemajuan negara.​

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​