TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDILFITRI
1442H / 2021M
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA HARI KHAMIS:
14 SYAWAL, 1442H / 27 MEI, 2021M
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmatNya jua, dapatlah kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia ini dalam suasana aman dan selesa.
‘Idil Fitri adalah merupakan hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menyempurnakan ibadat puasa Ramadhan. Maka adalah wajar untuk kita merayakannya sambil banyak-banyak bersyukur.
Pada tahun lepas ‘Idil Fitri kita sambut dalam suasana berbeza, akibat penularan wabak yang melanda dunia. Namun alhamdulillah, negara kita sudah melimpasi setahun tidak mencatatkan kes penularan tempatan.
Keadaan ini telah membolehkan kita mengurangkan pelbagai sekatan serta dapat meraikan ‘Idil Fitri dengan lebih selesa.
Walau bagaimanapun, kita masih juga perlu untuk meneruskan langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Beta mengkagumi sikap sabar yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat dan penduduk dalam memberikan dokongan padu kepada Kerajaan dalam usaha menangani wabak. Secara khusus Beta ingin mengulangi penghargaan kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) termasuk petugas-petugas keugamaan di atas sumbangan dan komitmen mereka menangani dan menghadapi situasi yang menakutkan ini.
Beta juga berbangga melihat usaha padu semua agensi kerajaan, swasta dan badan-badan NGO yang bergerak aktif melaksanakan pelbagai inisiatif, usaha dan tindakan segera bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan penduduk. Syabas dan terima kasih Beta kepada semua.
Pada saat ini, Beta amat gembira mengalu-alukan kehadhiran para peserta sambutan Hari Raya anjuran Yayasan Beta kali ini yang mewakili semua para petugas barisan hadapan termasuk petugas-petugas keugamaan yang mengisi rancangan-rancangan berzikir, berdo’a dan membaca Al-Qur’an di radio dan televisyen. Demikian juga tidak terkecuali pegawai-pegawai perubatan ‘medical team’ yang terlibat secara langsung menangani pesakit wabak, pegawai-pegawai kesihatan awam yang bertungkus lumus mengesan dan mencari kontak-kontak pesakit demi mengekang penularan wabak, para pegawai dari pelbagai agensi yang terlibat menyumbangkan khidmat secara langsung mahupun tidak langsung untuk menangani penularan, serta juga para sukarelawan yang turut membantu usaha ini.
Tidak diragukan, bahawa wabak koronavirus adalah ia ujian. Setiap ujian ada hikmahnya, untuk dihadapi dengan sabar. Antara hikmah itu, mungkin saja untuk menyedarkan kita, atau untuk mendorong supaya kita lebih bersatu menghadapi cabaran, atau lebih kreatif memperkasa diri dengan kemahiran-kemahiran dan lain-lain lagi dan seumpamanya,
Beta juga menyambut baik tema sambutan kali ini yang disepadankan dengan tema Majlis Ilmu 2020 iaitu “Mensyukuri Ni’mat Kesihatan Sebagai Anugerah Allah”. Kesihatan memang merupakan anugerah dan nikmat yang tidak ternilai harganya. Dalam usaha Kerajaan membangun bangsa dan negara, kesihatan adalah faktor yang turut diutamakan. Kerana apabila rakyat dan penduduk sihat barulah sumbangan mereka dapat diharapkan berkesan.
Meskipun negara sudah melimpasi jangka masa setahun terpelihara daripada jangkitan komuniti, namun ini bukan bermakna kita boleh leka. Tetapi perlu seterusnya berusaha dan membanyakkan do’a supaya kekal terhindar daripada musibah.
Dalam masa kita bergembira menikmati suasana aman berhari raya, kita juga jangan lupa terhadap saudara-saudara kita di bumi Palestin yang sedang bergelut mempertahankan diri dan negara mereka daripada pencorobohan musuh.
Bayangkan, akibat pencorobohan itu, ramai rakyat yang tidak berdosa menjadi korban, termasuk kanak-kanak, kaum perempuan dan orang-orang tua. Lain lagi harta benda yang musnah, terutama rumah-rumah kediaman tempat berteduh. Tidak diragukan lagi pencerobohan ini adalah satu tindakan kejam yang melangkahi lunas-lunas kemanusiaan. Hanya kepada Allah jua dipohonkan perhitungan.
Akhirnya, Beta merakamkan ucapan penghargaan setinggi-tingginya kepada semua lapisan warga Yayasan Beta dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya ‘Idil Fitri pada tahun ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
