TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA ‘IDIL FITRI
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA
22 SYAWAL 1440H / 27 JUN 2019
BERTEMPAT: 
DEWAN PLENARY, 
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, 
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dikurniakan kesempatan untuk kita merayakan ‘Idil Fitri yang mulia. 
Kita bersyukur kerana Ramadhan dan ‘Idil Fitri dapat kita hayati dengan sempurna, dalam suasana aman dan selamat. Tidak syak lagi suasana aman dan selamat adalah kurnia teragung daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Kerana itu wajib ia disyukuri. 
Sebagai tanda kita bersyukur ialah dengan melakukan segala amal saleh. Kita membangun juga adalah dengan cara yang betul tanpa melakukan sebarang pelanggaran. Misalnya dalam menjana sektor pertanian, kita tidak akan mengambil tanah rakyat secara paksa atau menggantinya dengan harga yang tidak munasabah. Ini, tidak boleh berlaku di Brunei. 
Beta difahamkan, dalam tempoh 20 tahun dari tahun 1998 hingga 2017, keluaran sektor pertanian, agrimakanan dan perikanan adalah menggalakkan. Perkembangan positif ini memberi petunjuk bahawa peluang bagi mengembangkan sektor ini adalah terbuka luas. Lebih-lebih lagi dengan keadaan geografi negara menerima hujan, cuaca yang mengizinkan dan tanah-tanah yang masih belum diteroka. Tinggal saja lagi ialah usaha dan komitmen kita untuk memajukan sektor ini. 
Beta gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta yang terdiri daripada para petani, peniaga, pengusaha dan termasuk para belia dan pelajar yang terlibat dalam memajukan sektor pertanian. Mereka ini memikul peranan penting dalam mengembangmajukan sektor ini di Negara Brunei Darussalam. 
Beta juga mengalu-alukan konsep mempertemukan para pengeluar dan pengusaha hasil pertanian dengan peniaga (perusahaan dan supermarket). Ini boleh membantu memasarkan hasil pertanian dengan lebih berkesan. 
Cara ini juga menambahluaskan pasaran pertanian, bukan sahaja pasaran dalam negeri malahan juga akses ke luar negara. Beta mengambil maklum inisiatif seperti Contract Farming dan Business-matching sedang digiatkan bagi mempermudahkan lagi akses pasaran tersebut. 
Beta sangatlah menghargai kerjasama seperti ini, dan berharap, lebih banyak lagi pasaraya-pasaraya tempatan termasuk pihak pemborong, restoran, perhotelan dan perkhidmatan katering akan melibatkan diri sebagai sokongan kepada Kerajaan. 
Disamping terus meningkatkan sektor pertanian, produktiviti, penggunaan teknologi tinggi dan menyediakan ekosistem yang teratur, satu elemen penting yang mesti diberi perhatian juga ialah sumber tenaga manusia. Maka ke arah ini, Beta menyeru para belia untuk tampil sebagai tenaga utama dalam industri pertanian negara. 
Kerajaan Beta telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif untuk membantu pertumbuhan sektor ini. Contohnya, melalui Kementerian berkenaan, Beta telah memperkenankan satu inisiatif yang digelar Projek Rintis, yang merangkumi penawaran tapak secara rintis untuk percubaan. Projek ini memberi peluang kepada rakyat, terutama para belia dan penduduk untuk terus bergiat dalam aktiviti perladangan ataupun penternakan. 
Setakat ini, dalam tempoh 2 tahun Projek Rintis diperkenalkan, seramai 46 pengusaha telah ditawarkan tapak rintis yang melibatkan hampir 300 hektar tanah pertanian. Seramai 16 pengusaha muda telah tampil merebut peluang yang disediakan ini. Syabas dan tahniah kepada mereka itu. 
Orang Brunei biarlah lebih sibok membangun dari sibok yang lain-lain. Sibok membangun adalah amal saleh, mendatangkan pahala, berbanding dengan sibok perkara sia-sia boleh mengundang kepada dosa. 
Kita teruskan menjana ekonomi untuk dinikmati oleh semua, bukan dibolot oleh satu pihak, sedang di pihak lain hidup menderita. Contohnya, beberapa pihak yang mendakwa maju dan kaya, sedang masih ramai rakyat yang hidup sengsara, termasuk mereka yang tidak memiliki tempat tinggal. 
Di Brunei, kita juga meneruskan kelangsungan hidup berperlembagaan dan berundang-undang, di mana semua hak adalah terpelihara dan dihormati, bukan seperti tukang jaja retorik yang menjaja atas nama ‘hak asasi manusia’, sedang dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri terhadap penindasan dan pembunuhan sewenang-wenangnya. 
Ini bukan Brunei. Budaya Brunei tidak bermain  retorik, tetapi semata-mata mengutamakan dan mengagungkan ‘kebenaran’, kerana kebenaran itulah nilai tertinggi lagi suci. 
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.