TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR’AN
PERINGKAT NEGARA BAGI TAHUN
1440 HIJRIAH / 2019 MASIHI
BERTEMPAT DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS
17 RAMADHAN 1440 / 22 MEI 2019
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakaatuh
Bismillahir Rahmanir Raheem
Alhamdulillaahi Rabbil ‘Aalameen,
Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya
Waddeen Wassalaatu Wassalaamu
‘AlaaAsyrafil Mursaleen, Sayyidinaa
Muhammadin Wa’alaa ‘Alihie Wasahbihee
Ajma’een, Waba’du.
Alhamdulilah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izinNya jua dapatlah kita hadhir di majlis memperingati Peristiwa Nuzul Al-Qur’an yang penuh berkat ini.
Peristiwa Nuzul Al-Qur’an berlaku pada malam 17 Ramadhan di Gua Hira’. Dan peristiwa inilah yang kita sambut, malah oleh seluruh umat Islam di serata dunia.
Al-Qur’an adalah sumber hidayah untuk kita memperolehi kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apa jua yang terkandung dalam Al-Qur’an, adalah ia petunjuk ketuhanan untuk dipakai. Barang siapa yang mengikut atau memakainya, itulah orang-orang yang berjaya.
Pada awal surah Al-Baqarah, Al-Qur’an disifatkan sebagai kitab daripada Allah yang tidak terdapat padanya sebarang keraguan, dan menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa. Barangsiapa yang benar-benar beriman dengan Al-Qur’an, Allah menjamin, mereka itulah orang-orang yang berjaya.
Begitulah hakikat Al-Qur’an, semakin ia dibaca, semakin banyak hikmah atau pengajaran yang diperolehi. Semua kita maklum, ayat pertama yang diturunkan adalah mengenai pembelajaran dan pembacaan Al-Qur’an itu, iaitu satu isyarat bahawa Al-Qur’an adalah sumber segala ilmu pengetahuan.
Kita tidak akan sesat selagi mana berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kerana Al-Qur’an adalah mukjizat agung yang ditinggalkan oleh Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk menjadi pemandu jalan, khasnya di zaman mutakhir yang penuh liku dan cabaran ini.
Diantara cabaran yang membebani kita, terdapat satu trend, orang suka bercakap atau berteori perkara-perkara yang bertentangan dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits.
Mengenai mimpikan Nabi atau berjumpa dengan Nabi dalam mimpi adalah perkara benar, kerana syaitan tidak dapat menyerupai Nabi. Namun para ulama ada yang melarang atau tidak menggalakkan untuk menceritakan mimpi itu kepada umum. Kerana mimpikan Nabi adalah perkara besar dan sulit, tidak wajar ia untuk dijaja.
Di samping itu, perlu juga dinilai siapa yang bermimpi, apa latar belakangnya dan apa isi mimpinya itu. Kerana cerita boleh saja direka-reka, seperti Nabi berkirim salam kepada ramai orang, yang memberi gambaran betapa hebatnya ingatan orang yang bermimpi, sehingga mampu mengingat satu persatu nama-nama yang diminta untuk disampaikan salam itu.
Juga turut mustahak diperhatikan ialah isi mimpi, jika ianya bercanggah dengan Al-Qur’an atau Al-Hadits, seperti baru-baru ini ada orang yang membawa cerita mimpikan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, konon-kononnya Baginda itu memberitahu, bahawa yang mula-mula sekali masuk Syurga ialah umat Baginda. Kemudian baru Baginda sendiri.
Sedangkan menurut hadits sendiri, tiada siapapun yang mula-mula dibukakan pintu Syurga, melainkan hanya Nabi, dalam makna, Bagindalah orang pertama yang mula-mula sekali memasuki Syurga, sebelum lagi orang lain.
Tetapi walaupun kedudukan hadits ini sudah dijelaskan, namun masih ada juga pihak yang terus berdegil untuk membenarkan mimpi tersebut. Inilah yang Beta maksudkan sebagai cabaran yang membebani itu
Sebagai langkah mengatasi perkara seumpama ini, Beta meminta kepada pihak berkenaan yang menjalankan kuasa dibawah akta Permohonan Tauliah Kebenaran Mengajar Al-Qur’an / Ugama / Berceramah Ugama, Majlis Ugama Islam Brunei, supaya berhati-hati dalam memberikan sebarang kebenaran.
Sepatutnya, kalau benar seseorang itu memiliki ilmu ugama yang mantap, maka sudah barang tentu dia akan lebih sensitif dengan amaran Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa yang senghaja berdusta atas nama Baginda, maka siaplah tempatnya di dalam Neraka” (Hadits riwayat Al-Bukhari).
Inilah makanya Beta mahu, supaya Pelajaran Ugama dan Al-Qur’an itu dikuatkan disemua sekolah, bukan sahaja di Sekolah-Sekolah Ugama dan Arab, malah juga di Sekolah-Sekolah Menengah, di bawah Kementerian Pendidikan dan juga Swasta.
Beta sangat berhasrat, rakyat di negara ini mendapat pendidikan ugama yang betul, yang tidak menyimpang daripada Al-Qur’an dan Al-Hadits, supaya negara benar-benar beroleh keberkatan dan rahmat daripada Allah.
Beta yakin, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan telahpun melangkah ke arah merancang satu kurikulum pengajaran Al-Qur’an dan Ugama di Sekolah-Sekolah Menengah dan juga Swasta, di mana salah satu yang turut menjadi keutamaan ialah pelajaran ‘Sejarah Islam’.
Adapun skop pelajaran Sejarah Islam itu amatlah luas, meliputi Al-Qur’an dan Al-Hadits. Bukankah apa-apa jua yang telah dikhabarkan berlaku dalam Al-Qur’an atau Al-Hadits itu sejarah?
Maka kerana itu, Beta, sangatlah berhajat untuk melihat perkara ini direalisasikan.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
