TITAH PERUTUSAN

 

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN

SA’ADUL KHAIRI WADDIEN,

SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

SEMPENA

MENYAMBUT BULAN RAMADHAN

TAHUN 1442H/2021M

 

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihiee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu’ Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Ramadhan yang ditunggu-tunggu menjelang lagi. Kita umat Islam wajar bersyukur kerana dapat menyambut kedatangannya. Ramadhan adalah bulan penuh berkat, yang didalamnya turun Al-Qur’an dan terdapat juga satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Pada tahun sudah, kita berpuasa dalam suasana berbeza, kerana penularan wabak koronavirus, yang sehingga kinipun masih saja berlaku melanda dunia.

Di negara kita alhamdulillah, keadaan menunjukkan perkembangan yang baik, dimana wabak yang menakutkan ini, dengan izin Allah, telah dapat dikawal. Ini semua, sudah tentu akan menjadi berita gembira kepada umat Islam di negara ini khasnya, untuk melakukan ibadat puasa dalam suasana lebih selesa.

Ini juga tidak syak lagi, adalah merupakan rahmat kepada Brunei yang wajib disyukuri. Cara bersyukur itu tidak lain, ialah dengan melakukan ketaatan dan ibadat kepada Allah jua, dimana pada saat ini, ibadat yang sangat dituntut ialah menunaikan puasa sepanjang bulan Ramadhan.

Beta berharap, kita semua akan dapat menjalani ibadat ini tanpa halangan atau gangguan, disamping juga ibadat-ibadat fardhu yang lain, dan bahkan kita juga insya Allah boleh menggandakan ibadat-ibadat sunat, seperti membaca Al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya, yang semua itu menjanjikan pahala dan keberkatan.

Inilah cara kita orang-orang Brunei dalam menagih berkat dan rahmat. Sayugia cara ini, jangan ia diubah-ubah.

Bagaimanapun, sebagai mengambil kira situasi yang ada, semua kegiatan harian kita masih saja perlu untuk mematuhi SOP yang telah ditentukan. Jangan diabaikan langkah berjaga-jaga, selama mana keadaan memerlukan.

Kita tidak pasti, bilakah wabak ini akan berakhir dan dunia bebas daripadanya. Tidak siapa pun yang dapat meramalkannya. Oleh itu, kewajipan berjaga-jaga itu, sewajarnyalah diteruskan.

Semua kegiatan harian kita mustahak dengan berhemah, iaitu ketika berkumpul, beriadhah, membeli-belah di tempat-tempat awam seperti pasar dan lain-lain. Jika peraturan untuk mematuhi SOP masih berjalan, maka hendaklah ia diikut.

Kita wajar teruskan kebiasaan baru, untuk keselamatan dan kesihatan. Kesihatan sangat penting, khasnya bagi tujuan kita menjalani ibadat puasa. Wajar bagi kita berazam untuk berpuasa genap sebulan, insya Allah, niat kita yang baik ini akan diperturut oleh Allah Subhanahu Wata’ala.

Tidak ada sebab, situasi negara pada masa ini akan mengganggu ibadat kita. Kalau pada tahun lepas, untuk beberapa ketika, kita memang terpaksa menangguhkan kehadhiran ke masjid, surau dan balai ibadat untuk Sembahyang Fardhu Juma’at dan sembahyang-sembahyang fardhu yang lain secara berjemaah serta juga Sembahyang Sunat Tarawih. Tetapi pada tahun ini alhamdulillah, situasi nampaknya tidak akan menghalang kita untuk hadhir ke tempat-tempat ibadat seperti biasa, kecualilah berlaku perkara-perkara diluar dugaan.

Selepas menyempurnakan puasa, kita akan memasuki pula gerbang Hari Raya, Semoga Allah akan mengurniakan kepada kita kesihatan untuk dapat merayakannya dalam keadaan aman dan selamat.

Sebelum itu, persediaan eloklah disederhanakan sahaja, sesuai dengan keadaan dan faktor ekonomi masa kini. Berjimat dalam berbelanja adalah bererti menolong diri kita sendiri.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta, dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan yang mulia.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.